First Novel

First Novel
Mujahadah Cinta

Monday 24 September 2012

Dalam Sujud Cintaku

           Nasyid sebagai medium dakwah di mana sesuatu hasil karya yang diangkat sebagai cabang seni dan ianya mestilah diterbitkan dari panduan jalan hidup yang sebenar. Berpandukan konsep ketuhanan, juga sesuatu yang boleh memberi kesan dan impak yang mendalam pada jiwa-jiwa yang meminati lagu-lagu nasyid, pasti ianya menjadi dakwah yang paling mudah untuk diterima. Bukan saja golongan-golongan yang terlalu meminati seni nasyid bahkan juga nasyid merupakan satu bentuk promosi di mana dalam setiap lirik lagu-lagu nasyid lebih mempromosikan cinta Allah, Rasulullah, Islam malahan ada juga lirik-lirik nasyid yang menekankan batasan pergaulan dan percintaan bagi mereka yang belum halal dari sisi Allah dan Islam.

Sebagaimana seorang pendakwah yang menjadikan penulisan islamik sebagai medium untuk menyampaikan dakwah, begitu jugalah pendakwah yang berdakwah melalui nasyid iaitu dengan menulis lirik kemudian disampaikan pula dalam bentuk hiburan yang tidak melalaikan. Dengan cara begini, ramai lagi masyarakat di luar sana akan menyedari peri pentingnya sesuatu hiburan jika disampaikan melalui cara yang betul iaitu dengan cara bernasyid.

         Saya amat tertarik dengan sebuah lagu bertajuk Dalam Sujud Cintaku yang disampaikan oleh penasyid muda Abd Halim Ahmad dari kumpulan Devotees. Di mana dari penulisan lirik sehinggalah kepada penyampaian lagu, ia memberikan kesan yang sangat mendalam kepada para pendengar. Statistik yang saya ikuti dari laman sosial Youtube, jumlah penonton video ini adalah sebanyak 53,305 dan ini merupakan satu bukti di mana bermula dari lirik sehingga kepada muzik, ianya dapat diterima umum. Lirik yang sangat menyentuh hati sekaligus menebakkan rasa keinsafan inilah yang diperlukan untuk mendamaikan hati yang mungkin dilanda kegundahan. Ia juga boleh dijadikan santapan nurani agar kita menyedari tentang kenikmatan yang Allah anugerahkan. Kita sebagai manusia yang sering lupa dan leka akibat dek keseronokan dunia sebenarnya terlalu menginginkan sebuah rasa yang mana dalam perasaan itu, kita terlalu merindui Tuhan yang menjadikan. Tetapi, kita sering kali menolak rasa itu hanya kerana sikap kita yang terlebih batas.

         Untuk pertama kalinya saya mendengar dan menghayati lirik lagu Dalam Sujud Cintaku, saya akui merasa terlalu sedih kerana liriknya menyentuh dan menginsafkan. Kadang kala, untuk mencari sinar kehidupan, beginilah caranya. Kerana itu, dakwah melalui nasyid juga penting untuk mengharmonikan hati si pendengar. Daripada apa yang saya fahami, lirik lagu Dalam Sujud Cintaku ia berkisar tentang betapa nikmat kesenangan dunia ini terlalu banyak melekakan manusia dari mencintai yang selayaknya dicintai. Allah menganugerahkan segala-galanya termasuk nikmat cinta sesama manusia itu sendiri tetapi apabila Dia telah mencampakkan rasa cinta itu di hati manusia, manusia mudah terhibur dan melena daripada si Pemberi Cinta. Keasyikan melayari bahtera cinta manusia menjadikan kita manusia yang sanggup menafikan betapa cemburunya Allah kepada kita kerana Dialah sebenar-benarnya yang layak menjadi carta cinta pertama di hati kita si manusia.

          Sedar atau tidak, Allah memberikan manusia segala-galanya. Dalam setiap pemberianNya itu, terselit ujian untuk Dia mengukur tahap keimanan kita. Dalam kekayaan dan kesenangan, Dia menguji kita dengan manusia bernama cinta. Yang lelaki diujinya dengan kehadiran wanita di sisi. Yang perempuan pula, diujinya dengan kehadiran lelaki sebagai pendamping diri. Dia mahu melihat sama ada kita ikut atau tidak sunnah nabi dalam meniti kehidupan mencintai dan dicintai. Dia juga sering menguji manusia dengan kedudukan iaitu pangkat dan darjat dan ternyata, kedudukan itulah yang membuat kita berpaling dariNya. Lupa kepada Dia dan meninggalkan apa yang diperintahNya.

         Sudah cukupkah kita mengucapkan kesyukuran dan bersyukur dengan segala kurniaan yang telah Dia berikan? Selagi kita bergelar manusia, kita tidak pernah puas dengan apa yang kita peroleh. Masih mahu mencari dan menggali segala sesuatu walau telah jelas itulah yang terbaik untuk kita. Tetapi bagi seseorang yang sentiasa menjaga nilaian Imannya, dalam dia menikmati kurniaan Allah, tidak mampu untuk dia mengucap lafaz terima kasih atas apa yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadanya. Apatah lagi dia masih belum mampu untuk menjadi hambaNya yang terbaik. Seseorang yang beriman akan cuba dan sentiasa bermuhasabah diri untuk menjadikan dirinya terbaik di pandangan Tuhannya. Sentiasa melakukan sesuatu untuk meningkatkan keimanan agar hatinya sentiasa dipeluk dengan pelukan rahmat Allah.

         Fikirkan sejenak, apakah erti sujud? Apakah cukup sujud yang kita lakukan dalam kehidupan harian kita? Apakah kita dapat merasakan kehadiran Allah yang semakin dekat dengan hati kita? Seperti mana yang disebut dalam hadith Rasulullah SAW, “Hendaklah engkau banyak bersujud kepada ALLAH kerana sungguh tiada sekali engkau bersujud melainkan dengannya ALLAH mengangkatmu satu derajat dan menghapuskan satu dosa darimu." Hadith ini juga telah membuktikan kesahihan di mana saat paling dekat kedudukan seorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika sujud. Lalu, apakah kita rela menangguhkan sujud kita sekaligus menjarakkan waktu untuk kita berada dekat dengan Sang Pencipta? Dalam sujud cinta kita, sering kali kita diulit kerinduan kepadaNya. Bahkan mengharapkan pintu untuk bertemu dengan Allah dalam kefanaan. Seperti yang sering diperkatakan oleh Sayyidina Ali “Di dalam fanaku, leburlah kefanaanku, tetapi di dalam kefanaan itulah bahkan aku mendapatkan Engkau Tuhan”.Letaklah Allah selalu di hati agar kita bisa merasakan pertemuan denganNya dalam setiap sajadah cinta kita.

         Yakinlah dengan kalimah Inna solati, wanusuki, wamahyaya, wamamati, Lillahirabbil 'alamin. Hanya kerana Allah kita hidup dan kembali juga padaNya. Hanya pada Dia Tuhan sekalian alam. Teguhkan keyakinan dengan keimanan dan ketaqwaan. Malahan gandakannya dalam sujud menyembah Tuhan. Tiada cinta di hati kita melainkan cinta kepada Pemilik Segala Cinta.

Inilah rungkaian dari lirik Dalam Sujud Cintaku pada saya. Betapa bermaknanya lagu ini andai kita menghayati dengan penuh rasa kecintaan kepada Ilahi. Tanya pada hati, apakah mampu kita menjadi manusia yang berbudi? Apakah diri kita telah kita serahkan sepenuhnya kepada Dia? Apakah jiwa kita masih berpaksi cinta dan rindu hanya untuk Tuhan kita? Olah hati kita dengan rasa keinsafan kerana apa yang Allah anugerahkan sama ada penghidupan, harta kekayaan, rasa kecintaan, pasangan hidup, pangkat dan darjat serta anggota badan adalah pinjaman sementara dariNya. Jangan tunggu sehingga tertariknya nikmat ini, baru kita tertunduk dan terngadah menadah tangan memohon dikembalikan kehidupan.

Dalam menghayati keindahan dunia dan alam, jangan sesekali kita terleka dan dibuai keasyikan sehingga terlupa siapa yang menjadikan. Sentiasalah mengadu dan meminta agar Dia memberikan kekuatan saat kita merasa kehilangan. Percayalah pada setiap hikmah yang Dia berikan. Teruslah berusaha untuk menjadi seorang manusia yang menjadikan Allah sebagai tujuan hidup, Rasulullah sebagai tauladan, al-Quran sebagai pedoman, jihad sebagai jalan juang dan mati di jalan Allah sebagai cita-cita tertinggi kita.

Akhir kalam, jelas lagi nyata peranan nasyid juga tidak kurang pentingnya dalam kehidupan seorang muslim dalam mengolah diri menjadi manusia mengikut acuan nabi. Apa yang penting, usaha dakwah melalui medan nasyid ini usahlah terlalu melekakan dengan alunan irama yang membuai rasa dan melenakan sehingga si pendengar tanpa sedar sudah melalui fasa kelalaian. Biarlah dakwah ini menjadi ibadah dan jangan biarkan ia menjadi musibah. Bersama-samalah mendidik diri dalam mencari perbezaan duniawi dan ukhrawi agar terbentuk manusia yang mendapat cinta sejati dari Ilahi.

**Artikel ni sy pertaruhkan dalam pertandingan menulis esei pada 10 Sept 2012**

 







 

No comments:

Post a Comment