First Novel

First Novel
Mujahadah Cinta

Sunday 16 December 2012

Shooting + Behind The Scenes Bebas Palestin

Alhamdulillah. Semalam berpeluang lagi sekali join Shooting Bebas Palestin (Behind The Scenes) selepas Shooting di UPM hari tu. Belum sempat nak ceritakan kenangan 'berharga' sepanjang mengikuti shooting di UPM bersama kumpulan nasyid Inteam, Nowseeheart & Rabbani. Even kepenatan dan kepanasan dengan terik mentari tetapi rasa puas hati mengatasi segalanya.

Palestin! U're Not Alone. Inilah tanda kami menyayangi saudara di Palestin. Kepanasan dan kepenatan serta peluh-peluh kecil ini diharapkan menjadi bukti pengorbanan dan perjuangan kami walaupun kami tidak ke Gaza dan merasai penderitaan mereka di sana. Kami sentiasa menyokong dan mempertahankan Bumi 'Anbiya Gaza. 

Apakah yang kita mampu lakukan lagi selain berdoa, berdoa dan teruskan berdoa untuk Gaza walaupun Gencatan Senjata telah pun diumumkan. Bukan sehari dua mereka dibedil Zionis Israil malahan, berminggu-minggu. Pelbagai bentuk seksaan yang dilakukan ke atas pejuang Islam di Gaza tanpa belas kasihan. Kanak-kanak dikelar, dibunuh dengan kejam. Orang tua dan wanita yang lemah juga turut menjadi mangsa kerakusan Israil yang zalim dan kejam. 

Kesakitan. kepedihan, kesengsaraan langsung mereka tidak ambil peduli. Apa yang mereka tahu, Bumi Islam perlu dipertahankan. Masjid Al-Aqsa perlu dipertahankan. Betapa besarnya pengorbanan pejuang Gaza kepada Islam. Berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Mampukah kita seperti mereka? Tepuk dada tanya Iman. 

Dan semalam pada 15/12/2012, sekali lagi saya dan dua orang sahabat, menghadirkan diri di set shooting Bebas Palestin di Flat Pekeliling bersama TheVIDEOGRAPHERZ dan kumpulan SAUJANA. Walaupun diuji dengan nyamuk yang banyak, tapi kami sangat happy. Akhi-akhi Saujana tersangatlah sporting. Contoh artis nasyid terbaik :)

Shooting MTV Bebas Palestin at UPM ~ Inteam, Nowseeheart & Rabbani

Behind The Scenes Bebas Palestin at Flat Pekeliling ~ Saujana Part






Wednesday 28 November 2012

Syuhada Palestina

Saat mentari memancar cahaya,
Sirna bergemerlapan menyilau pandangan,
Kedengaran dentuman demi dentuman,
Itulah tanda kekejaman bermula.

Bedilan peluru dari awanan,
Membunuh beribu manusia tak berdosa,
Kanak-kanak, wanita dan orang tua,
Terkulai layu menanti ajal tiba.

Hancur jasad di mamah bom kejam,
Berderai temulang putih menjadi cebisan,
Darah merah menitis demi titisan,
Mewarnai suasana palestina nan suram.

Jeritan demi jeritan,

Laungan demi laungan,
Tangisan demi tangisan,
Menjadi irama syahdu bumi Gaza Tuhan,
Angkara manusia bertopengkan syaitan,
Yang rakus menakluk bumi Islam.

Pejuang Islam..

Bangkitmu demi agama,
Bangkitmu demi Yang Kuasa,
Kalianlah tonggak semangat perjuangan pemuda,
Roh semangatmu,
Belaian jiwa para perwira.

Selamatkan Palestin..

Kekejaman itu bukan yang pertama,
Dentuman atom umpama muzik duka,
Gagah si pemuda,
Tegas si pemudi,
Menyusur alunan rentak kesakitan.

Zionis durjana..

Walau kau adalah tuan senjata,
Tapi kau lupa ada Tuhan Yang Esa,
Bedilanmu pada syuhada Allah,
Akan kau temu mereka di sana..

Usah kau bangga dengan kemenanganmu,

Usah kau bangga dengan hentamanmu,
Mereka yang telah kau ragut nyawanya,
Sedang berbahagia bertemu Tuhan mereka,
Sedangkan kau masih di takuk kejahatan,
Bahkan kezaliman kau jelas nyata,
Bukti kekalahan kau pada mereka..

Para syuhada..

Titisan darah merahmu,
Tanda wangian di taman syurga,
Bersemadi jasadmu,
Walau bergelimpangan rupa,
Tetapi daku percaya,
Kalian sedang tersenyum di sisi Pencipta..




Rindu Syahid : Aimuni Marjono

Monday 19 November 2012

MEMORI IPN 'Light Of Life'


Pada 18 November 2012, saya berkesempatan join Islamic Performance Night yang diadakan di CAC Main Hall, IIUM Gombak. Untuk kesekian kalinya, saya menjejakkan kaki di 'menara gading' yang pernah menjadi impian saya untuk menggapai cita-cita satu masa dulu. Walaupun saya tidak berjaya menjejakkan kaki saya untuk menjadi sebahagian dari warga UIA tapi saya masih menanam impian, sekiranya selepas 3 tahun saya di KIAS Kelantan nanti saya tidak berpeluang untuk meneruskan pengajian di Bumi Anbiya' maka, saya akan pastikan, saya akan menjadi sebahagian dari pelajar UIA. In Shaa Allah. Semoga Allah Swt membuka ruang, peluang dan jalan untuk saya berjaya dunia akhirat.

Saya sampai di UIA sekitar jam 2.30 petang dalam keadaan hujan renyai. Gap antara Gombak saya dan UIA tidaklah begitu jauh.Masih dalam area Gombak. Saya belum pernah lagi menaiki bas untuk ke UIA dan saya takut untuk mengambil risiko 'salah bas'.Makanya, saya mengambil teksi dari kawasan perumahan saya. Alhamdulillah, saya sampai dengan selamatnya. Saya meminta pakcik teksi memberhentikan saya di asrama perempuan dan dia menurunkan saya di bus stop berhadapan dengan bangunan Kuliah Of Engineering. Time tu terbisik di hati 'mungkin di sinilah pelajar-pelajar engineering menunutut lmu..maybe'..

Kemudian, semasa menunggu seorang sahabat baik saya sampai, saya bertaaruf dengan seorang pelajar perempuan yang sangat ramah. Seronok berbual dengannya. Saya mengambil peluang bertanyakan di mana masjid dan mahallah safiyyah. Allahu..jauh lagi rupanya. Mahallah Safiyyah terpisah dengan mahallah sisters yang lain. 

Dalam jam 3.00 PM, saya dan sahabat saya Sara menuju ke Mahallah Safiyyah menaiki teksi. Mana larat nak jalan kan.. jauh kot..huhu. Beri salam dannnnn... PIJA!!! rindunya kat PIJA.. Kami bersalaman. Satu pengalaman, saya tak pernah tengok hostel yang pada saya tersangatlah uniknya. Dalam satu bilik ada empat pintu. Katil dan meja belajar macam katil double dacker. Bestnya!! Lengkap untuk privasi seorang pelajar. Borak punya borak, Aida pun sampai. Borak lagi dan pelbagai isu kami kemukakan. Ehhh, macam berhujah pulak :)

Dari isu palestin sampailah isu kerajaan Malaysia. Bla bla bla. Banyak jugak yang agak kami kesali dengan sistem keislaman dan kerakyatan di Malaysia. Saya suka sebab mereka sekepala dalam menitik beratkan isu-isu semasa. Boleh berkongsi pandangan dan pendapat. Apa yang bestnya, kami kukuhkan lagi ukhuwah kami dengan solat berjemaah di dorm Pija. Alhamdulillah, inilah kasih sayang kerana Allah. Lepas solat, siap-siap nak g cafe. Makan ler apa lagi. Masing-masing dah lapar. On the way nak ke cafe, sempat kitorang berphotoshoot. Memang bestlah. Masa tunggu makanan pun berphotoshoot. Tapi terasa kekurangan sebab FANIE & MIRZA tak join. Huuuu.

Lepas makan, kitorang round the UIA. Photoshoot lagi. Best-best! TQ Camera women AIDA. Pic cantik-cantik. Sementara menunggu maghrib, kitorang rehat di Masjid UIA. Besarnya. Alhamdulillah, buat pertama kalinya berpeluang solat di rumah Allah yang terletak dalam UIA. Syukur. Kami solat berjemaah beramai-ramai.

Lets go to CAC MAIN HALL!! IPN!! Light of LIFE! Ini yang ditunggu-tunggu. Pembukaan dengan bacaan ayatul Quran dan kemudian slot 'bingkisan rasa' dari Sister Syifaa from Syria. Ya Allah, sayu hati dengar luahan dia tentang rakyat Syria. Semoga mereka di dalam perlindungan Allah. Masa yang ditunggu-tunggu, IPN dimulakan dengan selawat kemudian kumpulan UNIC mengambil tempat untuk show. Ceria jer UNIC ni. Memang semangatlah bila tengok mereka perform. LAgu-lagu yang disampaikan oleh UNIC sememangnya best. Antaranya lagu MENUJU WAWASAN, BINNABIL HUDA, SELAWAT DOA SYIFAA, dan JALINAN. 

Next, DEVOTEES on stage. Even sedikit hambar tapi tetap terhibur. Banyak pesanan yang AKHI DEVOTEES titipkan specially tentang GAZA. Antara lagu-lagu yang diperdendangkan kepada kami ialan lagu HADIRNYA CAHAYA, HARAPAN, BERJALAN TANPA HENTI dan TIKA DINIHARI. Lagu-lagu yang sememangnya dah disave dalam kotak ingatan saya.

Time to SAUJANA. AKHI SAUJANA pun sangat osem. Gamble sangat. Lagu yang paling best NOTA CINTA. Memang superblah SAUJANA. Walaupun saya hanya sempat tengok sampai SAUJANA jer yang perform tapi keseluruhannya, IPN sangat best! Tahniah komiti UIA yang menjayakan. Syabas!!!

Merenung masa depan :)

UNIC on stage :)
DEVOTEES on Stage!!!
IIUM :)
Skrin Besar :p


Sahabat : Aimuni Marjono

Thursday 15 November 2012

HIJRAH : BERUBAH KERANA DIA ATAU dia?


Zaman remaja adalah zaman yang paling mencabar. Pada peringkat inilah manusia akan mula mencari identiti diri, termasuklah kerjaya dan pasangan hidup. Lazimnya, level ini merupakan level 'mencari cinta'. Zaman remaja jugalah bermula suatu kehidupan yang mungkin terlalu indah untuk dikenangi atau pun terlalu pahit untuk diingati. Bergantung kepada sejauh mana kita pandai mendefinasikan 'usia remaja' kita. Bagi sesetengah remaja, zaman remaja adalah zaman 'enjoy' sehinggakan 'enjoy' yang mereka agungkan memakan diri sendiri. Kata mereka, zaman remaja hanya sekali. Rugi sekiranya masa remaja dihabiskan dengan sesuatu perkara yang 'ketinggalan zaman'. Berbaju sendat, clubbing, lepak sana sini bercampur lelaki perempuan, smoking, bercouple'an' dan sebagainya adalah fenomena yang tidak asing lagi dalam arena dunia masa kini. Para ulama' dan ilmuan Islam sendiri jelas kebimbangan dengan sikap remaja yang seakan sudah hilang adat apatah lagi syariat. Kehidupan yang terlalu berpaksikan keseronokan sehingga mereka lupa adanya Tuhan dalam kehidupan seharian.

Saya sendiri pernah melalui zaman remaja. Usia remaja yang terlalu banyak dihabiskan dengan keseronokan adalah penyesalan sepanjang zaman. Usia remaja yang Allah berikan telah dipersiakan. Apakah cerita sebegini yang akan kita ceritakan kepada anak-anak kita nanti saat mendodoikan mereka tidur di kala malam menjelma? Apakah kita mahu mereka juga mengikut jejak langkah kita pada usia remaja. Jika baik haluan usia remaja kita, tidak mengapa diceritakan tetapi jika tidak?? Tanyalah hati sendiri. Jika kita tidak mahu kisah 'sadis' hidup kita pada usia remaja menjadi titik hitam dalam kehidupan, maka berhijrahlah. Kerana dengan hijrah, kita mampu mengemudi diri ke arah yang lebih baik.

DUNIA REMAJA

Dunia remaja sering dikaitkan dengan CINTA. Indahnya hidup kerana mencintai dan dicintai. Bahagia rasa. Tidur tak lena, mandi tak basah, makan tak lalu. Waduh waduh, kok hebat bangat penangan cintanya ya? Handphone pula tak lekang dari tangan. Tak boleh berenggang. Ada tu, time mandi pun dibawanya bersama. Manalah tau kot-kot insan tercinta called ke. Boleh lepas rindu. Apakah cinta seperti ini yang mahu diagungkan? Tidakkah terasa mencurangi cinta si Pemilik Cinta?

Saya cukup faham, apabila melangkah ke level 'remaja', pasti keinginan untuk bercinta akan membuak-buak. Itulah lumrahnya ketika melangkah kedunia baru. Feeling tu akan menjadi agak 'luar biasa'. Lebih ketara lagi apabila ada dikalangan remaja yang seronok membicarakan tentang 'rumah tangga' seperti sudah benar-benar bersedia untuk melangkah ke frasa 'perkahwinan'. Tetapi para remaja seringkali lupa, dalam melayari bahtera rumah tangga, perlunya asas yang kukuh. Apakah dia asas yang diperlukan dalam membina rumah tangga yang sakinah mawaddah dan warahmah? Ok, ayuh kita bincangkan tentang asas dalam membentuk rumah tangga berpaksikan Allah dan Rasulullah.

Saya bukanlah seorang yang arif dalam ilmu rumah tangga tetapi, saya gemar membaca buku-buku motivasi yang menceritakan tentang rumah tangga. Sekadar untuk menambah ilmu kerana saya juga bakal menjadi raja sehari suatu hari nanti. InsyaAllah. Dalam konsep rumah tangga, tidak cukup sekadar dengan ucapan cinta malah sebenarnya lebih daripada itu. Suami isteri masing-masing punya amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dengan erti kata yang sebenar tentang tanggungjawab sebelum menapak untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu dan ayah kepada bakal dae'i pula. Nampak macam mudahkan? Tetapi sebenarnya sukar sekiranya kita tidak melaksanakan hukum Allah. Akan berlaku kepincangan di masa hadapan. Inilah salah satu punca berlakunya permasalahan ummat.

Seperti yang telah dibincangkan secara ringkas, asas rumah tangga yang bahagia bermula dari sikap ibu bapa dalam mengemudi keluarga terutama dalam mendidik mandiri positif dalam kehidupan anak-anak. Pentingnya didikan Islam dalam diri anak-anak sejak dari kecil. Asuhan yang diterapkan perlulah asuhan yang diajarkan oleh Allah dan Rasulullah. Solat lima waktu, puasa di bulan ramadhan, zakat dan bersedekah perlu diajar dan diamalkan oleh anak-anak sejak mereka masih kecil. Itu belum lagi amalan-amalan sunat yang teramat perlu untuk diperkenalkan pada jiwa anak-anak bagi mendidik jiwa hamba mereka kepada Tuhan Yang Esa. Ini juga merupakan proses untuk membangunkan modal insan dalam hati anak-anak. Terapkan dalam diri mereka cintai Allah melebihi segalanya. Cintakan akhirat melebihi cinta dunia.

NILAIAN CINTA MANUSIA

Seringkali kita leka dengan pentas lakonan dunia. Sehinggakan kita lupa bahawa dunia ini hanya sementara. Entah esok atau lusa, Izrail datang mengambil semula nyawa pinjaman dariNya. Pengakhiran kita dengan kalimah syahadah atau dengan pengakhiran yang sia-sia. Husnul khatimah atau su'ul khatimah. Semua itu bergantung kepada amalan dan bekalan hidup kita ketika di dunia.

Perlu disedari, nilaian cinta kita kepada manusia seperti teman lelaki ataupun teman wanita sebenarnya tidak memberi apa-apa makna. Malahan ia akan membawa keburukan pada diri dan hati. Seandainya tidak dicegah akan membawa mudharat pada jiwa dan sistem kehambaan pada Allah. Berbeza dengan nilaian cinta kepada Allah, hati kita akan menjadi tenang lantaran cinta kita yang mendalam kepada Pemilik Segala Cinta. Allah lah yang paling layak untuk dicintai. Kerana apa? Kerana hanya pada Allah tempat kita kembali.

Contohnya, apabila kita kehilangan seseorang. Berikutan permasalahan kepincangan cinta remaja yang semakin meruncing, putus cinta merupakan perkara biasa. Kehilangan boyfriend atau girlfriend, kemudian menangis tersedu-sedan seperti kehilangan punca lagaknya. Cammon brother sister!!! Wake up dear!!! Wake up!!! Putus cinta bukan pengakhiran kehidupan. Jangan menganggap apabila kita gagal dalam bercinta bermakna kita gagal dalam segala-galanya. Sedar atau tidak, bercinta sebelum lafaz nikah adalah cinta yang sia-sia. Ia juga merupakan jambatan menuju ke pintu zina. Berapa ramai anak- anak tidak saf taraf lahir lantas menjadi mangsa kekejaman ibu yang telah membawa dia ke dunia dengan perbuatan yang dilaknat Allah? Naudzubillahi min zalik.

Perlu diingat, apabila kita putus cinta dengan yang tidak halal itu adalah anugerah dari Allah sebenarnya. Allah memberi kita peluang untuk bertaubat. Allah mahu kita kembali kepadaNya. Allah tidak mahu kita berbuat lebih banyak dosa yang akan mengundang murkaNya. Kita sendiri perlu menyedari akan hikmah Allah ini. Jangan pernah menyalahi takdir Allah. Orang yang tidak redha dengan ujian Allah adalah orang yang kuffur nikmat. Sedangkan ujian adalah pentarbiyahan juga hadiah bernilai dari Allah. Pintu taubat sentiasa terbuka.

CINTA DALAM DIAM

"Benar aku mencintai dia dalam diam. Hanya Tuhan yang tahu seperti apa aku mencintai dia dan kerana apa aku mencintainya"

Mencintai dalam diam juga merupakan salah satu dilema pada belia remaja wanita khususnya. Mereka cinta tapi kerana maruah dan harga diri maka mereka memilih untuk berdiam diri. Mereka hanya serahkan kepada Allah dan berusaha dalam doa. Selayaknya inilah sikap seorang MUSLIMAH. Hanya mencintai dalam diam. Bukan tidak mahu meluahkan tetapi tiada keberanian untuk itu. Rentetan peristiwa Saidatina Khadijah R.A yang meminang Rasulullah SAW adalah bukti, tidak salah kiranya seorang wanita meminang lelaki untuk dijadikan suami jika si wanita tadi telah redha dengan agama lelaki tersebut sebagaimana yang diriwayatkan :

“Apabila datang (meminang) kepadamu orang yang kamu redha agamanya dan akhlaknya maka kahwinilah ia. Jika tidak engkau perbuat (demikian), akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang luas.” – (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Kerana cinta dalam diam tersimpan kekuatan iaitu kekuatan harapan. Mungkin satu saat nanti, Allah akan membuat harapan itu menjadi kenyataan yang membahagiakan. Bukankah Allah itu tidak pernah memutuskan harapan hambaNYA yang berharap kepadaNYA?

Jika 'cinta dalam diammu' itu tak memiliki ruang dan peluang untuk berbicara di alam dunia, biarkan ia tetap diam. Mungkin Allah punya aturan yang lebih hebat untuk dirimu. Jangan mengalah. Tetapkan berdoa semoga 'cinta dalam diammu' itu berjaya menjadi realiti.

Tetapi, jika benar kamu yakin 'cinta dalam diammu' itu tidak akan menjadi realiti, berdoalah semoga Allah menghapuskan rasa cinta kamu kepada dia. Tetapi, teruskanlah mencintai DIA. Kerana kamu lebih memerlukan DIA dari dia. Cintailah ia dalam diam, dari kejauhan, dengan kesederhanaan dan keikhlasan.

Saya pernah terbaca dalam sebuah buku motivasi berkenaan sebuah hadis yang berkaitan dengan CINTA DALAM DIAM. Hadis tersebut berbunyi :

man ‘asyaqa fakatama wa ‘afa famata fahua syahid
Maksudnya:

“Sesiapa yang jatuh cinta,kemudian menyembunyikannya hingga kematian datang menjemputnya, maka dia adalah seorang yang syahid.”

Mencintai dalam diam juga merupakan bukti kamu benar-benar mencintai sidia. Kerana kamu ingin memuliakan dia dan tidak mahu dia terjebak dalam hubungan cinta terlarang. Kamu tidak mahu merosakkan kesucian, penjagaan hati dan keimanannya. kerana diammu memuliakan kesucian diri dan hatimu juga menghindarkan dirimu dari hal-hal yang akan merosak izzah dan iffahmu. Alhamdulillah, batasan syariat tetap kau jaga walau kau mencintai dirinya. Cukup sekadar dalam diam kerana Allah adalah sebaik-baik Perancang segalan sesuatu.

BERUBAH KERANA DIA atau dia?
"Aku mencintai lelaki soleh itu, tetapi dia tidak mencintaiku kerana aku tidaklah solehah. Aku tidak bertudung. Aku berpakaian mendedahkan aurat. Aku suka keluar malam. Aku bukan wanita yang baik. Aku tidak layak untuk lelaki sebaik dia"
Ini adalah antara dialog yang menjadi fenomena masa kini. Seorang wanita mencintai lelaki yang tinggi nilai agamanya. Tetapi kerana merasakan dia tidak layak untuk lelaki tersebut, makanya dia seperti terputus harapan untuk mendapat suami yang baik dan soleh.
Jika kamu mahu mendapat yang soleh, kamu perlu mensolehahkan diri kamu terlebih dahulu. Langkah pertama adalah MENJADI dan baru MENCARI. Dalam al-Quran juga ada menyebut dalam surah An-Nur ayat 26 yang berbunyi :

"Women impure are for men impure, and men impure for women impure and women of purity are for men of purity, and men of purity are for women of purity: these are not affected by what people say: for them there is forgiveness, and a provision honourable."

Bagaimana mahu menjadi solehah? Tanya pada hati. Apakah step pertama untuk menjadi wanita solehah.

1) NIAT

Tetapkan niat dalam hati untuk berhijrah menuju Allah. Kamu berubah bukan kerana dia tetapi kerana Allah. Sia-sia penghijrahan yang kamu lakukan sekiranya kamu hanya berhijrah kerana mahu memikat si polan dan si polan. Tiada gunanya.
Situasi inilah yang sering terjadi pada masa kini. Berubah semata-mata kerana mahukan perhatian. Bukan kerana mahu mendapat redha Allah. Ikhlaskah penghijrahan yang sebegitu? Pernah atau tidak kamu berfikir sejenak, apakah akan terjadi jika penghijrahan 'tidak ikhlas' kamu itu terbongkar? Sudahlah malu kepada Allah, manusia juga turut memandang enteng kepadamu. Kerana kamu yang menimbulkan ulah dan onar yang sebegitu maka kamu harus menanggung akibatnya.

Penghijrahan ke arah kebaikan wajiblah disusuri dengan niat bahawa kamu benar-benar mahu berubah kerana Allah. Bukan kerana pengaruh luar. Hanya kerana Allah. Tanamkan dalam hatimu, andai selepas kamu berhijrah, kamu masih tidak mampu memiliki sidia yang kamu harapkan, percayalah, mungkin dia bukan yang terbaik untukmu kerana Allah telah mempersiapkan yang LEBIH BAIK untuk dirimu.

2) ISTIQAMAH
Istiqamah adalah tetap dan teguh di atas jalan yang benar iaitu jalan Islam. Menurut Imam al-Minawi dalam kitabnya “Faidhul Qadir”; Istiqamah bermaksud tunduk-patuh kepada segala yang diperintahkan dan menjauhi segala tegahan. Ada ulama’ yang mentakrifkan istiqamah sebagai berterusan beramal dengan sunnah Nabi Muhammad s.aw. dan berakhlak dengan akhlak yang diredhai (Allah). Ada yang mentakrifnya sebagai mengikuti (sunnah Nabi s.a.w.) dan meninggalkan bid’ah. Ada juga mengertikannya dengan meletakkan diri di atas akhlak al-Quran dan as-Sunnah.

Jika kamu benar-benar sudah berniat untuk berubah, nah istiqamahlah. Tetap pada jalan yang kamu pilih kerana jalan ke arah kebaikan tidak pernah menghampakan. Lupakan masa lalumu kerana itu hanyalah sisipan kenangan buat dirimu. Istiqamahlah sehingga ke akhirnya.

3) AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR
Beramal dengan kebaikan dan mencegah kemungkran. Tunaikan segala kewajipan sebagai hambaNYA. Jangan sesekali meninggalkan perintahNYA dan jangan sesekali melakukan apa yang dilarangNYA. Tetapkan dengan keimananmu, ketaqwaanmu dan didik hatimu untuk terus berada di landasan cintaNYA. Solat, puasa dan segala kewajipan perlu dilaksanakan dengan sesempurnanya.

Jelaslah, jika kamu sungguh-sungguh berubah kerana Allah, DIA akan menyuluh cahaya di sepanjang jalan penghijrahanmu. Tetapi andainya kamu berubah hanya kerana dia, bertaubatlah dan mohonlah keampunan Allah. Bersih dan sucikan hatimu agar keikhlasanmu selepas ini hanya kerana Yang Maha ESA.

 
 
BY : Aimuni Marjono



Wednesday 14 November 2012

Hijrah..Bukan SEKADAR lintasan SEJARAH

APAKAH HIJRAH?

Kata hijrah berasal dari Bahasa Arab, yang bererti MENINGGALKAN, MENJAUHKAN DIRI dan BERPINDAH TEMPAT. Dalam konteks sejarah hijrah ISLAM, hijrah adalah kegiatan perpindahan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat baginda dari Mekah ke Madinah, dengan tujuan mempertahankan dan menegakkan risalah Allah, berupa akidah dan syari’at Islam. Dengan merujuk kepada hijrah yang dilakukan Rasulullah SAW tersebut, sebahagian ULAMA' ada yang mengertikan bahawa hijrah adalah keluar dari 'DARUL KUFFUR' kepada 'DARUL ISLAM' iaitu Keluar dari KEKUFURAN menuju KEIMANAN.


Umat Islam sendiri perlulah ada semangat untuk berhijrah dari satu keadaan yang buruk kepada yang baik, satu keadaan yang baik kepada yang LEBIH baik. Ini juga merupakan salah satu monumen untuk kita meningkatkan tahap keimanan ke satu level yang lebih tinggi. Penghijarahan seseorang adalah kerana keinginan untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik dari yang sebelumnya. 


Seperti Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :



Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Hijrah yang manakah yang mahu kita tuju? Tepuk dada tanya IMAN. Apakah kita mahu menuju penghijrahan kepada Allah dan RasulNya? Ataukah penghijrahan dunia, dari KAYA kepada yang LEBIH KAYA? Thinking wisely!

SIRAH HIJRAH RASULULLAH

Menyingkap kembali rentetan sirah pernghijrahan Rasulullah, Peristiwa ini berlaku pada 632 Masihi disebabkan beberapa faktor antaranya ancaman daripada kaum Quraisy terhadap umat Islam. Malah, beberapa bulan sebelum hijrah, Rasulullah turut dihina penduduk Thaif yang angkuh dengan dakwah baginda. Justeru, bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah mengarahkan pengikut baginda keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah yang juga dikenali sebagai Yathrib.

PAda 622M, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah diberitahu bahawa kaum kafir Quraisy Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam. Lalu Allah menurunkan wahyu memerintahkan baginda meninggalkan Madinah waktu malam. Berikutan itu, baginda menemui sahabat, Abu Bakar as-Siddiq dan memintanya supaya menemani baginda dalam perjalanan berkenaan. Rasulullah juga memberitahu rancangan baginda kepada Ali bin Abi Talib supaya menggantikan tempat tidur baginda. Apabila malam menjelma, sekumpulan Quraisy mengepung rumah Rasulullah dengan niat mahu membunuh baginda. Selepas mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang lelaki sedang tidur di atas katil Rasulullah. Lalu, mereka begitu yakin bahawa Rasulullah tidak dapat melepaskan diri dan hampir pasti dapat membunuh baginda.

Bagaimanapun, apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Saidina Ali yang tidur di tempat berkenaan. Akibatnya, kaum Quraisy terpinga-pinga memikirkan bilakah Rasulullah keluar dari rumah berkenaan. Bagaimanapun, kaum Quraisy tetap mahu membunuh baginda dan mereka bersepakat mencari segenap pelusuk bagi menyempurnakan niat jahat itu. Rasulullah dan Abu Bakar keluar dari Makkah pada malam itu dan tidak ada sesiapa yang mengetahui arah tujuan mereka serta tempat persembunyian baginda kecuali Aishah dan Asma’ serta orang gaji mereka, Abdullah.

Ketika hendak meninggalkan kota Makkah untuk berhijrah ke Madinah, baginda s.a.w. pernah berkata: 

“Demi Allah wahai Makkah! Sesungguhnya engkau adalah tanah yang paling kucintai di bumi Allah ini sekiranya pendudukmu tidak mengusirku keluar.” 

Selepas itu, baginda dan Abu Bakar bertolak ke Gua Thur, tidak jauh dari bandar Makkah. Ada riwayat menyatakan baginda ke sana pada 27 Safar.

Setiba di Gua Thur, Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di situ selama tiga hari. Dalam saat getir itu, kaum Quraish masih mahu membunuh baginda. Mereka menghampiri gua berkenaan tetapi gagal menemui Rasulullah di situ. Mereka berpendapat, gua itu tidak berpenghuni selepas melihat sarang labah-labah yang masih elok menutupi kawasan berkenaan. Selepas kaum Quraisy beredar, Rasulullah dan Abu Bakar meneruskan perjalanan dengan menaiki unta yang dibawa orang gaji mereka, Abdullah.

Kaum Quraisy di Makkah kian marah dengan kehilangan Rasulullah. Mereka menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat menangkap baginda. Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya gagal. Akhirnya dengan perlindungan Allah, Rasulullah dan sahabat tiba di perkampungan kaum Bani Sabin. Penduduk di situ menyambut rombongan baginda dengan gembira.

Selepas sekian lama, Rasulullah dan sahabatnya akhir merasakan bakal menemui kejayaan. Ketika Rasulullah dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita mengenai kedatangan baginda. Malah, penduduk Madinah yang baru memeluk Islam gembira untuk menemui Rasulullah. Maka, pada Jumaat, Rasulullah akhirnya diumumkan sudah tiba di Madinah. Ada riwayat menyatakan baginda sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awal. Ketika itu, kaum Muslim keluar menyambut baginda. Rasulullah menunaikan solat di masjid di Lembah Ranuqna, tempat umat Islam berkumpul untuk melihat kelibat lelaki mereka sanjungi itu.

Sebaik sampai ke Madinah, Rasulullah mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dengan golongan Ansar berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

 “Hanya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Juga berdasarkan sabda Rasulullah yang bermaksud :

 “Seorang Muslim adalah saudara kepada seorang Muslim lain; dia tidak menzaliminya dan tidak boleh mengaibkannya. Dan sesiapa menunaikan hajat saudaranya, Allah tetap akan menunaikan hajatnya pula.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda juga membina Masjid Nabawi. Tempat itu asalnya adalah sebuah dusun kurma kepunyaan Bani Najjar yang diwakafkan untuk tujuan berkenaan. Rasulullah menyegerakan pembinaan masjid di Madinah adalah untuk dijadikan pangkalan bagi sebuah negara baru yang ditegakkan baginda. Di sinilah segala kegiatan masyarakat dijalankan. Sesungguhnya, hijrah Rasulullah bersama sahabat baginda bukan bertujuan melarikan diri bagi menyelamatkan nyawa, tetapi kerana suatu tujuan yang lebih besar yakni meneruskan perjuangan ke arah mendaulatkan agama Islam.

Jelaslah kini, penghijrahan Rasulullah adalah penghijrahan terbesar buat Islam dan seluruhnya. Peristiwa ini menjadi sejarah kepada Umat Islam sehingga kini di mana Umat Islam akan menyambut hari bersejarah ini pada setiap 1 Muharram dan merupakan bermulanya tahun baru dalam takwim Islam.

HIJRAH BUKAN SEKADAR LINTASAN SEJARAH

Apakah cukup sekadar kita mengetahui sejarah penghijrahan Rasulullah tanpa memahami apakah hijrah? Atau sekadar lintasan sejarah tanpa kita perlu menghayati dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian?

Sahabat, hijrah bukan sekadar lintasan peristiwa pada Zaman Rasulullah tetapi hijrah juga merupakan aset untuk seseorang berhijrah dalam kata yang lain berubah menjadi yang lebih baik, berilmu, beriman dan bertaqwa. Tidak cukup sekadar mengetahui sorotan sirah penghijrahan Nabi Muhammad. Rasulullah sendiri berhijrah adalah kerana mahu menyampaikan syiar Islam ke seluruhnya walaupun pelbagai bentuk ujian yang baginda hadapi. 

Ya, penghijrahan bukan sesuatu yang mudah tetapi jika kita niat untuk berhijrah ke jalan Allah, yakinlah bahawa Allah akan mempermudahkan penghijrahan kita. Semakin dekat kita kepada Allah, semakin banyak ujian dan cubaan yang dihadiahkan kepada kita untuk DIA menguji sejauh mana tahap keyakinan, keteguhan dan keimanan kita kepadaNYA. Sekadar berbicarakah atau sememangnya kita beriman kepadaNYA. 

Ayuhlah kita mulakan semangat dan jihad hijrah kita ke jalan Allah dan Rasulullah, Andai sebelum ini kita tidak berhijab, mulakan hijrah dengan berhijab. Andainya sebelum ini kita mengenakan pakaian yang sendat, hijrahkan diri kita dengan pakaian yang longgar dan labuh. Andai sebelum ini kita tidak menjalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah, nerhijrahlah untuk menjadi khalifaturrahman. InsyaAllah. Semoga penghijraham ini menjadi wadah untuk kita menjadi hamba dan muslim sejati.




Salam Hijrah : Aimuni Marjono


TAKWIM HIJRAH

Menyingkap lembaran Takwin Hijrah,
1 Muharram 622 Masihi,
Sejarah Islam terlakar indah,
Menghayati penghijrahan seorang Nabi..

Dari Makkah ke Madinah,
Nabi membawa umat Islam bersama,
Perjalanan peristiwa yang penuh mehnah,
Sarat dengan perjuangan dan pertentangan,
Jua cabaran yang tak pernah padam..

Ansar dan Muhajirin bersatu,
Keteguhan Iman menjadi asas penjuru,
Keyakinan tak ternoda walau dicela,
Demi Agama tercinta,
Harta dan nyawa menjadi korbannya..

Maal Hijrah..
Menghayati detik sejarah Islam,
Saat Rasulullah diusir,
Dari tanah kelahiran baginda,
Kerana menegakkan syiar,
Agama Allah yang mulia..

Hijrah itu ujian,
Hijrah itulah pengorbanan,
Juga perpaduan dan mempersaudarakan,
Inilah jua tanda keimanan,
Bermatlamatkan kebaikan ke arah kebaikan..



Hijrahku : Aimuni Marjono

Friday 9 November 2012

Usrah Tautan Hati

Assalamu'alaikum...

Alhamdulillah wa syukurillah.

Semalam (8 Nov 2012) saya berkesempatan join Usrah Tautan Hati by Ustazah Fatimah Syarha di rumah beliau sendiri. Subhanallah. Buat pertama kalinya saya bertemu muka dengan penulis novel yang menjadi idola saya. Kalau sebelum-sebelum ni saya hanya dapat mengikutinya melalui karya-karya beliau jer tapi semalam saya dapat bertemu empat mata. Cairnya hati time bersalaman dan berpelukan sunnah nabi dengan ustazah yang lebih mesra menggelarkan diri beliau sebagai Kak Ha. Masih saya ingat lagi kata-kata Kak Ha 'Sayang Aimuni Kerana Allah'.

Usrah bermula dengan slot makan. Hehehe. Char kuew Tiow lagi. Memang best laa char kuew tiow ni. Kaw kaw punya. Terima kasih brader yg masak char kuew tiow ni untuk kitorg. Syukran Kak Ha yg support.

Lepas makan, usrah bermula dengan bacaan doa dan ucapan I love u all oleh Fatimah Syarha. Pelbagai input yang dapat walau hanya 10 minit je ucapan ni. Kemudian usrah diteruskan dengan ucapan Nice To Meet u ALL dari Makcik Ijal. Kak Ha kata, Makcik Ijal ni berjiwa remaja. Alhamdulillah. MAkcik ni sangat sporting dan kata-kata beliau tersangatlah menusuk ke jiwa. Memberi kesan pada hati-hati kami yang baru hendak berkembang mekar. Terima Kasih Makcik Ijal.

Nasyid Time! Dalam usrah kami, nasyid Amalulillah dari kumpulan nasyid Shoutul Amal menjadi lagu tema. Even ramai yang tak tahu nasyid ni tapi tetap kedengaran harmoni. Sama-sama semarakkan perjuangan dengan nasyid ketuhanan ini. Alhamdulillah..

JOM! JOM! Modul Pertama Usrah. Modul My Dream. Kami diminta oleh Kak Ha untuk menulis impian dan harapan tak kiralah dari aspek apa sekalipun. Kehidupan ke, kejayaan ke, rumahtangga ke, keluarga ke. Tak kisah. Kami diberi masa untuk menulis impian kami. Saya punya dua impian iaitu Mengimpikan kejayaan sehingga saya mampu belajar ke puncak tertinggi iaitu di Bumi Anbiya dan Mendapat sahabat yang sebenar-benarnya sahabat. Impian inilah yang saya jadikan modal dan wadah untuk saya terus berusaha ke arah yang lebih cemerlang di masa akan datang.

Next..next...next.. Modul  First Impression menyusul. Paling best sekali. Berjalan-jalan tanpa henti nak tulis First Impression pada helaian kertas yang ditampal pada belakang sahabat-sahabat. Memang osem lah! macam2 impression yg ditulis. Time ni laa masing-masing tanya nama, belajar mana, umur, tinggal mana, dari mana bla bla bla. Bersalam dan bertaut hati kerana Allah.

Last sekali  Salam Ilalliqa'. Sedihnya. Dah nak habis dah usrah. By the way, happy sangat dapat berkenalan dengan sahabat-sahabat sefikrah yang datang dari pelbagai backgorund. ALhamdulillah. Harapan saya semoga ikatan tautan hati ini akan kekal bertaut di jalan menuju Redha Ilahi. InsyaAllah. Sahabat Fillah Abadan Abada.

USRAH TAUTAN HATI

Pertama kali bersua,
Ada cerita antara kita,
Salam perkenalan dihulur,
Tanda mahabbah yang bakal bertaut,
Tinta ini khas untuk kalian,
Yang telah menjadi 'kesayangan'..

Bermadah bicara,
Memula celoteh hikmah,
Ustazah Fatimah Syarha pengantara kita,
Indahnya biasan kata demi cinta kepadaNYA,
Juga Rasul junjungan mulia..

Tautan hati kita,
Demi mencari Mardhatillah,
Sesi taaruf menjadi adat,
Bermula modul penuh ceria,
Menulis impian buat teman,
Yang sama berimpian ke jalan Tuhan..

Inilah barisan bakal dai'e pencetus warisan,
Demi agama kita bersatu tujuan,
Mengejar cinta atas cinta Rabbi,
Kitalah mawar berduri pilihan Ilahi..

Usrah ini menjadi saksi,
Kita akan tetap bersama meraih Cinta Hakiki,
Bukan hanya anganan kosong,
Bukan juga omongan dusta,
Tetapi inilah relaitinya,
Kita bersama berpegangan tangan,
Mencari jalan untuk ke syurga,
Bersama...

 
Bergambar bersama Ustazah Fatimah Syarha @ Kak Ha yang sporting

Geng Dapur and we're from Gombak!


Sahabat Fillah : Aimuni Marjono
 

Wednesday 7 November 2012

MengakrabiMU Tuhan

MengakrabiMU Tuhan,
Menjadikan aku berpengetahuan,
Merenung risalah cintaMU,
Meraih peluang Cinta Pertama,
Mendakap erat pelukan kasihMU,
Memberi makna sejatinya cinta..

MengakrabiMU Tuhan,

KAU ajari ku dengan tinta sabda,
Dalam firman KAU berbicara,
Ku olah menjadi renungan bahagia,
Lalu ku ukir menjadi garapan bahagia,
Aku merasa pelukan kasihMU,
Aku merasa sentuhan sayangMU,
Aku merasa dakapan cintaMU,
Saat aku datang melabuhkan sujudku..

MengakrabiMU Tuhan,
Aku merenung tentang kekuasaan,
Segala yang KAU ciptakan,
Juga sebuah harga kehidupan,
KAU berikan pernafasan,
Untuk ku terus menuai kesyukuran..

MengakrabiMU Tuhan,
Solatku menjadi senaman anggota,
Kekusyukan ku damba dalam gerakan cinta,
Takbiratul ihram memula segala,
Sehingga salam ku hulurkan buat junjungan mulia..

MengakrabiMU Tuhan,
Syahadahku terlalu bermakna,
Janjiku bukan sekadar omongan dusta,
Kerana didikan dan bimbinganMU,
Aku belajar makna HAMBA,
Kerana aku mengejar untuk ke syurga,
Meski ku tahu aku belum cukup layak,
Untuk ke sana..

MengakrabiMU Tuhan,
Aku belajar erti puasa,
Bukan sekadar menahan lapar dahaga,
Tetapi aku terdidik dengan mehnah,
Kesusahan saudaraku di sana,
Yang tiada sahur dan waktu bukanya..

MengakrabiMU Tuhan,
Zakatku adalah amanahku,
Aku terpimpin dengan cara itu,
Terbimbing melalui ayat-ayat cintaMU,
Sedekah itu bukan mengurangi,
Bahkan memberiku kepuasan diri..

MengakrabiMU Tuhan,
Ingin sekali aku ke sana,
Menjadi tetamuMU dalam keramaian mereka,
Alangkah bertuahnya diri,
Andai kakiku mampu jejaki,
Tanah SuciMU nan indah berseri..

MengakrabiMU Tuhan,
Aku belajar mengenal diri,
KAU ajariku dengan sifat terpuji,
Walau belum mampu menjadi yang terbaik,
Terima kasih ya Rabbi,
Kau beri aku peluang dan ruang,
Untuk terus mengakrabiMU..



 
 
Aku Hamba : Aimuni Marjono

Monday 5 November 2012

Berbicara Dengan Tuhan

Berdoa adalah satu cara untuk kita berbicara dengan Allah SWT. Dalam doa jugalah kita boleh meluahkan apa yang terpendam dan tersimpan jauh di lubuk hati kita. Kesedihan, kegembiraan, kegusaran, kebahagian dan seribu satu tentang perasaan. Hanya Allah yang memahami tiap apa yang terbuku dalam hati tiap hambaNYA dan yang terbisik di benak setiap hamba yang diciptaNYA.

Setiap orang mempunyai rasa yang terkadang tidak mampu untuk dilafazkan pada manusia. Lantas pada siapa harus kita meluahkan? Pada siapa harus kita bicarakan? Jawapannya hanya pada ALLAH RABBUL IZZATI. Tidak semua orang mengerti apa yang sedang kita rasakan dan apa yang sedang kita alami. Samada, kesedihan yang meracun hati atau kebahagiaan yang memadu sanubari.

Selagi kita bergelar manusia, pergantungan kita hanya pada Allah. Hanya Allah. Tiada yang kedua dan ketiga tempat kita bergantung harapan. Ya, kita tidak mampu melihat Allah tetapi kita punya kemampuan untuk merasai kehadiranNYA saat kita merasakan hati kita semakin mendekatiNYA. Sahabat, Allah tidak akan meninggalkan tiap hambaNYA walau sesaat dan sedetik cuma. Tetapi, tanyalah pada hati kita, apakah kita sering meninggalkan Allah? Tentu saja jawapannya YA! Zalimnya kita kerana sering meninggalkan Tuhan yang telah memberi kita nyawa juga kesempatan untuk berteduh di bawah langit cintaNYA. Berdiri di atas hamparan bumiNYA. Tidak malukah kita? Sudahlah menumpang di dunia milikNYA, angkuh pula dengan kejadian yang diciptaNYA. Enggan bersujud apatah lagi menadah tangan cuma untuk berdoa.

Doa adalah kesempatan dan peluang yang Allah berikan kepada tiap hambaNYA untuk berbicara denganNYA. Doa adalah SENJATA ORANG MUKMIN. Seperti Firman Allah (mafhumnya) :

"Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah, ayat 186)
 
 
Dalam surah Al-Baqarah sendiri, Allah telah berfirman tentang hikmah doa di mana Allah akan memperkenankan doa hamba-hambaNYA yang sentiasa mengikut perintahNYA agar kita sentiasa mendapat petunjukNYA. Lantas, apakah kita masih tega untuk tidak berdoa padaNYA? Apakah kita mahu digelar hamba yang tidak tahu erti syukur?
 
Saat berbicara dengan Tuhan adalah saat yang paling bahagia. Allah adalah Pendengar Yang Maha Sempurna. Sentiasa mendengar tiap keluh kesah hambaNYA dan DIA juga mengajarkan pada kita erti kesabaran dan ketabahan. Ketenangan hati akan dapat kita rasai saat kita menadah tangan meminta kepadaNYA. DIA tidak pernah mengecewakan tiap hambaNYA. Malah DIA turunkan hikmah dan ganjaran yang besar bagi hambaNYA yang tidak pernah putus untuk berdoa.
 
Berdoalah dengan hati yang penuh keyakinan pada Allah. Berdoa dengan bersungguh-sungguh. Berdoa dengan penuh kekusyukan dan penyesalan. Percaya bahawa Allah mendengar tiap bicara yang kita tuturkan hatta hanya dalam hati sekalipun. Andai Allah belum memkbulkan doa kita, jangan pernah menyalahiNYA. Jangan pernah bersangka buruk padaNYA kerana mungkin DIA tidak memakbulkan doa kita ketika hidupnya kita di dunia tetapi DIA memperkenankan doa tersebut ketika di akhirat sana. ALLAH punya rencanaNYA yang tersendiri. Pasakkan keyakinan dan keteguhan hanya pada ALLAH saat tertadahnya kedua tangan kita saat meminta kepadaNYA.
 
BERBICARA DENGAN TUHAN
 
Saat aku diberi kesempatan,
Untuk berbicara dengan Tuhan,
Lantas kedua tangan ku tadahkan,
Memohon dan meminta dengan penuh pengharapan.
 
Saat DIA memberiku peluang,
Untuk berbicara denganNYA,
Aku merafakkan rasa syukur,
Tanda terima kasihku padaMU Tuhan,
Kerana memberi aku peluang mengakrabiMU,
Dalam munajat doa cintaku.
 
MendekatiMU Tuhan,
Memberi aku ruang rindu,
Untuk sentiasa berada dekat denganMU,
Agar aku lebih tahu,
Makna firman dan sabda yang termaktub,
Pada janji-janjiMU,
Yang tertulis dalam ayat-ayat cintaMU,
Juga terkandung dalam kitab suciMU.
 
Berbicara Dengan Tuhan,
Tak mungkin aku mendustakan,
Tiap titisan jernih mengalir,
Tanda penyesalanku,
MenzalimiMU...
Tanda keinsafanku,
MenduakanMU...
Tanda penyerahanku,
Pengabdian padaMU...
Tanda penghargaanku,
Atas cintaMU...
 
Berbicara Dengan Tuhan,
Aku yakin sinarnya berseri selamanya,
AKu pasakkan keyakinan,
Pada Tuhan yang memberikan,
Segala apa yang aku pintakan,
Dalam sujudku penuh pengharapan,
Dan ku sambungkan saat tercantumnya dua tangan,
Memohon DIA memakbulkan,
Kerana aku percaya,
ALLAH tidak pernah mengecewakan.
 
 
 
 
 
 
 
HambaMU ALLAH : Aimuni Marjono
 
 

Thursday 11 October 2012

Syurga Hati

Ada dua SYURGA HATI dalam taman hati saya. AYAH dan IBU. Merekalah yang menjadi LADANG KASIH untuk saya MENANAM CINTA. Tanpa mereka siapalah saya. Bukan mudah tanggungjawab seorang ibu dan bapa dalam membesarkan, memberi didikan dan sebagainya. Hanya mereka yang tahu bagaimana susahnya untuk menjadikan anak-anak mereka manusia yang berguna kelak. Tetapi atas didikan agama yang diterapkan sejak kecil, kini mereka mampu melihat kejayaan seorang demi seorang anak mereka.

Apakah sudah selesai peranan kita sebagai anak untuk membahagiakan mereka?

Tepuk dada tanya hati. Apakah kita sudah cukup membahagiakan mereka selama hidupnya mereka? Apakah kita telah mampu membuat mereka tersenyum dengan kejayaan dan kecemerlangan akhlak kita? Belum.. Pasti itulah jawapan-jawapan yang seringkali kita dengar. Ya.. masih belum cukup lagi untuk kita membahagiakan mereka. Masih tidak terbalas budi si IBU yang MELAHIRKAN dan jasa si AYAH yang MENCARI REZEKI. Walau dihimpun segunug intan permata berlian atau emas sekalipun, belum cukup jika mahu dibandingkan dengan jasa dan bakti mereka yang berkodi. Hanya Allah yang mampu membalas segala susah ayah dan perih jerih mereka sehingga anak-anak mereka menjadi seorang yang berjaya.

Seperti sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

“Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”
 
 
Tanggungjawab Terhadap Ibu Bapa Yang Masih Hidup
 
 
Sejak kecil sememangnya kita telah dididik dan diasuh untuk menghormati ibu bapa. Walaupun ibu bapa kita bukanlah seorang yang berada di landasan Islam yang mengikut syariat tetapi kita sebagai anak WAJIB menghormati selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam.
 
Saya teringat tentang satu kisah pada zaman Nabi Musa di mana semua tahu mukjizat yang Allah SWT berikan kepada Nabi Musa sendiri iaitu boleh bercakap dengan Allah SWT. Setiap kali Nabi Musa mahu bermunajat, baginda akan naik ke BUKIT TURSINA dan di sanalah dia akan bercakap dengan Allah. Kelebihan Nabi Musa ini tiada pada nabi-nabi lain. Nabi Musa akan bertanya kepada Allah dan Allah akan menjawab waktu itu juga segala pertanyaan Nabi Musa. Subhanallah. Besar sungguh mukjihat dan kelebihan yang Allah berikan kepada Nabi Musa Alaihi Salam.
 
Pada suatu hari, Nabi Musa telah bertanya kepada Allah
 
"Ya Allah, siapakah orang yang akan berjiran denganku di SYURGA nanti?"
 
Lalu Allah pun menjawab dengan mengatakan siapa nama orang itu dan, kampung serta di mana tempat tinggalnya. Nabi Musa pun turun dari Bukit Tursina setelah mendapat jawapan dari Allah dan terus berjalan menuju ke tempat yang diberitahu Allah. Perjalanan yang memakan masa berhari-hari dan akhirnya Nabi Musa sampai ke tempat yang ditujunya. Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, baginda berjaya bertemu dengan orang yang dimaksudkan Allah. Setelah memberi salam Nabi Musa dijemput masuk dan  dipersilakan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor khinzir betina yang besar. Khinzir itu didukungnya dengan cermat. Jelas Nabi Musa terkejut.
 
"Apa hal ini?" Kata hati Nabi Musa berbisik penuh kehairanan.

Khinzir itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu khinzir itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor khinzir jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Khinzir itu kemudiannya dihantar semula ke bilik. Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa.
 
"Wahai saudara! Apa agama kamu?" Nabi Musa bertanya.
 
"Aku agama Tauhid." Jawab pemuda itu iaitu agama Islam.
 
"Habis, mengapa kamu membela khinzir? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa. "Wahai tuan hamba, sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi khinzir, aku tetap melaksanakan tugasku." Kata pemuda itu.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah  menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah  masih belum memakbulkan lagi." Tambah pemuda itu lagi.
 
Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa Alaihi Salam :
 
'Inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa khinzir pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami.'
 
Allah juga berfirman yang bermaksud :





"Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."


 
Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti  khinzir. Mudah-mudahan ibu bapa kita mendapat tempat yang terbaik di sisiNya kelak.
 
Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa. Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada -mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
 
Seperti doa yang diajarkan Nabi Muhammad :
 

Yang bermaksud : Ya Allah Ya Tuhan ku, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku dan kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihaniku sejak aku kecil lagi.

Jelaslah di sini, begitu besar dan tinggi darjat ibu bapa dalam kehidupan seorang hamba Allah. Seteruk mana dan seburuk mana sikap ibu bapa, mereka tetap ibu bapa. Kita tidak boleh menafikan kehadiran mereka dalam hidup kita. Tanpa cinta mereka, tiada kita di dunia.

Buat SYURGA HATI ku, IBU dan ARWAH AYAH, kalian adalah sumber kekuatan diriku. Tidak mampu aku membalas semua jasa dan pengorbanan kalian. Kerana kalian, aku mampu berdiri seteguh kini. Terima Kasih atas curahan rasa dan bukti cinta kalian padaku dan anak-anak kalian yang lain. Kalian SYURGA HATI buat kami. Tiada siapa yang mampu menggantikan tempat kalian dalam hati walaupun ternyata mereka adalah ibu dan bapa buat suami dan isteri anak-anak kalian nanti. Kerana kalian diriku ada dan kerana kalian diriku bahagia.


SYURGA HATI..

Teruntukmu di hatiku,
Ingin sekali aku berkata,
Buat segala susah payah,
Atas segala perih jerih,
Yang telah dikorbankan untukku.

Jasa Ibu..
Melahirkan dengan bersusah payah,
Walau nyawa di hujungnya,
Namun dikau rela,
Biar dirimu rasa peritnya,
Saat satu nyawa keluar dari rahimmu,
Demi rasa cinta padu pada sang bayi,
Dikau biarkan kesakitan itu mencucuk diri.

Kau tidak pernah mengeluh,
Malah dikau sentuhku dengan rasa syukur,
Saat tangisanku sampai di cupingmu,
Aku tahu ada senyuman manis di kerut wajahmu.

Bakti Ayah..
Sambutku dengan laungan azan bergema,
Dikau bisik di telingaku kalimah Allah,
Lalu kau ciumku dengan rasa gembira,
Kerana akulah permata berharga.

Bangunmu seawal pagi,
Demi mencari sisipan rezeki,
Biar kepenatan menerjah,
Kau tidak pernah peduli,
Kerana cintamu pada kami.

Atas pengorbanan dan cinta,
Kerana kasih sayang yang setia,
Aku menjadi insan bahagia,
Kalian didikku dengan ajaranNya,
Juga sunnah rasulNya.

Syurga Hati..
Dalam diri ini hanya kalian syurga hati,
Mencorak akhlak dan sahsiah cahaya mata,
Ayah Ibu..
Insan mulia..
Tak mampu aku membalasnya,
Segala rasa derita dalam membesarkan.

Syurga Hati..
Ku doakan agar kalian gembira,
Agar tiada lagi derita buat kalian,
Sentiasa aku meminta,
Agar DIA merafakkan cintaNya pada kalian,
Dan tempatkan kalian di syurga yang selayaknya,
Kalian ditempatkan.




SYURGA HATIMU : Aimuni Marjono