First Novel

First Novel
Mujahadah Cinta

Tuesday 28 August 2012

Mencari Mardhatillah


Pelangi cantik nan indah mempesonakan. Kelihatan seorang gadis genit yang berpakaian agak menjolok mata duduk termenung di kerusi yang diperbuat daripada simen. Kerusi itu sememangnya di khaskan untuk pengunjung yang datang ke taman itu untuk beriadah. Wajahnya nampak sugul dan kesedihan jelas teriak di wajah putih itu. Sesekali kelihatan dia menunduk. Sesekali kelihatan dia sedang merenung langit. Memuji ciptaan Ilahi barangkali.

Farhan turut memandang langit. Dia mengerti kini mengapa gadis itu leka memerhati jauh di atas sana. Subhanallah. Terucap lafaz tasbih di bibir merahnya. Benar, indah sungguh ciptaan Allah seperti indahnya Allah mencipta manusia bergelar muslimah. Perhatiannya sekali lagi tertumpu kepada gadis genit itu. Dalam hati tertanya-tanya kenapa gadis itu kelihatan murung? Apakah emosinya terganggu? Tapi kenapa? Farhan leka berteka-teki. Tanpa sedar, si gadis itu semakin menghampirinya dengan wajah yang masam mencuka. Farhan kaget. Malu kerana tindakannya disedari. Lebih malu lagi kepada Yang Esa kerana dia gagal menjaga pandangannya. Astaghfirullahaladzim. Farhan beristighfar dalam hati.

“Apa problem awak pandang-pandang saya? Ada yang tak kena pada saya ke?” Gadis genit tadi bertanya. Agak sinis juga pertanyaannya. Farhan tertunduk. Tidak mahu terlihat walau sedikit pun dari aurat gadis itu.

“Tiada apa-apa. Maafkan saya.” Farhan mengucap kata kemaafan dan bergegas mahu meninggalkan tempat itu.

“Saudara….” Langkah Farhan terhenti apabila mendengar panggilan gadis itu.

“Kalau saudara tak ada urusan dengan saya, lebih baik saudara jangan merenung saya sebegitu!” Jeritan gadis genit itu benar-benar memalukan Farhan. Langkahnya semakin laju tanpa berhenti walau sesaat pun. Dia sangat pasti, wajahnya memerah saat ini. Salah dia juga kerana asyik merenung yang tidak halal baginya. ‘Ampunkan aku ya Allah.’

Sebaik tiba di halaman rumahnya, Farhan lekas masuk ke kamar tidurnya. Kejadian tadi benar-benar memalukan. Belum pernah dia merenung seseorang gadis dengan sebegitu. Farhan menyesal. Dia kalah pada naluri hati. Ya Allah, semoga Imanku masih terjaga. Dia mengambil wudhu’ dan melakukan solat sunat dua rakaat untuk mendapat ketenangan hati.

Farhan menghidupkan notebooknya. Sememangnya sudah menjadi rutin harian, dia akan mencatat segala apa yang berlaku dalam hidupnya hari ini dan cuba untuk merungkai maksud dan hikmah di sebalik apa yang telah berlaku. Dia puas dengan berbuat demikian. Farhan memulakan tulisannya dengan lafaz Bismillah.



Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, kerana masih dipanjangkan usia untuk terus mencatat titik kehidupan yang Allah pinjamkan padaku hari ini. Kerana nafas ini, aku masih teguh berdiri. Kerana nyawa ini aku masih mampu berlari. Dan kerana anggota ini aku masih mampu bersujud menyembah Ilahi.

Benarlah pandangan mata itu umpama anak panah beracun yang bisa mengundang ketidakwarasan fikiran. Ia adalah jendela bagi hati. Barangsiapa yang mampu menjaga pandangan, bermakna dia mampu memelihara hatinya. Jika sebaliknya, dia adalah orang yang gagal menjaga hati apatah lagi menjaga Imannya. AstaghfirullahalAdzim. Semoga Imanku masih terjaga. Semoga hatiku masih terpelihara.

Aku juga tidak menyangka, pandanganku yang selama ini terjaga dari memandang sesuatu yang tidak halal bagiku, teruji juga. Aku yakin, itu salah satu ujian keimanan dari Allah untuk aku sama ada keimanan ku boleh meningkat lalu membukit atau semakin berkurang dan sedikit. Ku harap Imanku tidak berkurang ya Allah. Bukan aku sengaja mahu memandang dia, bukan aku sengaja mahu merenungnya, tetapi aku tertanya-tanya tentangnya. Kenapa dia bersedih? Kenapa dia murung? Pasti ada sesuatu yang mengganggu gugat perasaatnya tika itu. Apa pun alasan aku, aku tahu ia tetap tidak dipandang Allah kerana aku tahu tetap salah kerana aku merenung seorang wanita yang tidak halal bagiku apatah lagi gadis itu berpakaian sebegitu.

Tanpa aku sedar, si gadis tadi juga memerhati tingkahku yang sedang memerhati dan merenungnya. Jika aku berada di tempatnya, aku juga akan marah apabila direnung sebegitu. Ya, kesilapan berpunca dari aku. Mungkin gadis itu tidak ada sedikit pun niat untuk memalukan aku. Mungkin itu hanya tindakan spontannya. Dan kerana itu, Allah menyuruh hambaNya menjaga pandangan. Ia juga merupakan salah satu terapi untuk menghidupkan hati yang semakin mati. Hati ini Allah yang pegang tetapi kita harus menjaganya agar ia tak lesu di gugat nafsu.

Akhir kalam, aku bermohon Allah pegang dan jaga hati aku dari nafsu terburu yang akan membuatku lesu. Aku tidak mahu hidup tanpa redhaNya. Seluruh penghidupanku di atas muka bumi hanya kerana DIA. Dan aku juga akan kembali padaNya bila tiba janjiNya.



*************************

Farhana menekup telinganya dengan kedua telapak tangan. Perbalahan antara mummy dan daddynya sudah menjadi santapan hariannya. Setiap hari mereka akan bergaduh dan berkelahi sesama sendiri. Farhana juga tidak mengetahui punca perbalahan itu. Dia menangis semahunya. Bukan ini yang dia mahukan dalam kehidupannya. Bukan ini yang dia mahukan dalam menghabiskan usia remajanya. Bukan ini! Hatinya membentak keras. Farhana lantas keluar dari kamar indahnya dan menuju ke kamar pembantu rumah keluarga mereka yang juga wanita yang telah menjadi pengasuhnya sejak dari kecil lagi. Umi yang sentiasa bersamanya ketika dia memerlukan teman. Umilah yang menjadi penghiburnya saat dia kegundahan. Selepas pintu dibuka, Farhana terus memeluk tubuh kurus milik pembantu rumah itu.

“Mummy dan daddy selalu bergaduh. Ana tak tahan kalau selalu macam ni. Mummy dan daddy tak sayang pada Ana ke umi?” Teresak-esak bagaikan anak kecil Farhana meluahkan. Dia rasa terpinggir oleh orang tuanya sendiri. Kenapa mummynya sendiri tidak menyayanginya seperti umi menyayangi dirinya?

“Ana, dengar sini sayang. Bukan mummy dan daddy tak sayang pada Ana. Mestilah mereka sayangkan Ana. Ana satu-satunya permata hati mereka. Mungkin mereka ada masalah. Masalah orang tua sayang. Masalah kerja mungkin. Sabarlah sayang. Umi sentiasa ada untuk Ana,” Lembut tutur umi meredakan tangisan Farhana. Umi menghadiakan sebuah kucupan di dahi anak gadis itu. Tanpa sedar, air mata umi dan Farhana menjadi satu. Dia memahami perasaan Farhana. Farhana sudah seperti anaknya. Walaupun Farhana kadangkala agak degil, namun dia tidak pernah menyalahkan Farhana. Anak itu terlalu muda untuk mengenal erti kehidupan. Tambahan pula kehidupan keluarga yang sudah tidak serupa kehidupan manusia.

“Umi, mummy tak pernah peluk Ana macam umi peluk Ana. Kenapa bukan umi je yang jadi mummy Ana?” Masih ada saki baki sesalan malahan terkilan dengan sikap ibu bapa yang lebih mementingkan kehidupan yang jauh dari Tuhan. Tuhan? Farhana terpempan apabila hatinya sendiri terdetik perkataan Tuhan. Sekali lagi tangisannya memecah keheningan. Umi terkejut. Dipeluk dan didakap anak itu seeratnya. Semoga kekuatan yang ada pada tubuh tuanya, Allah salurkan pada gadis ini. Begitu sekali sayang dan cintanya umi kepada Farhana.

“Umi, Ana jahat ke?” Farhana bertanya. Umi merenung anak mata gadis itu. Mancari ketulusan dalam pertanyaan itu. Pantas umi menggelengkan kepalanya. Dia mengusap lembut wajah polos anak itu.

“Tak sayang. Ana tak jahat. Siapa kata Ana jahat?” Umi kembali bertanya. Farhana menggelengkan kepalanya.

“Tapi Ana tak solat. Ana tak tutup aurat. Ana suka pakai seksi-seksi. Ana selalu dengar, ustazah Ana cakap masa Ana sekolah dulu, perempuan yang tak solat dan tak tutup aurat, tak boleh masuk syurga. Betul ke umi?” Umi senyum. Dia telah nampak sirna keinsafan pada hati anak itu. Inilah masa yang terbaik untuk dia mentarbiyah Farhana agar menutup aurat.

“Sayang, solat itu tanggungjawab kita sebagai seorang Islam. Allah yang mencipta kita dan kerana itu kita harus bersyukur dengan segala kurniaanNya dalam sujud cinta kita pada Dia. Itulah aturannya kepada kita sebagai hambaNya. Allah itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Dia Maha Pengampun. Selagi pintu taubat terbuka, selagi itu kita harus sentiasa mencari keampunanNya. Waktu dekatnya kita pada Allah adalah waktu kita bersujud. Sebab tu, berdoa waktu sujud adalah sangat digalakkan. Kita hampir sangat dengan Allah waktu tu. Aurat itu pula tuntutan dan kewajipan. Wanita itu aurat sebab wanita itu indah. Sangat indah. Sayangnya Allah pada wanita sehingga dia menyuruh wanita menutup keindahan yang ada pada kita hanya untuk lelaki yang selayaknya seperti keluarga kandung dan suami serta anak-anak,” Farhana tekun mendengar. Dia seperti terpana apabila mendengar umi bercerita tentang aurat wanita. Selama ini dia tidak pernah memahami apa itu aurat. Yang dia tahu hanyalah berpakaian.

“Aurat wanita kecuali muka dan kedua tapak tangan. Yang lain mesti ditutup rapi. Haram diperlihatkan. Wanita bukan bahan tontonan umum tapi wanita adalah permata berharga yang perlu disimpan dan disorokkan dari pandangan dan tatapan umum. Ok, umi bagi contoh ya. Andai kata ada dua utas jam untuk dipilih. Seutas jam tu dalam box, cantik dan tak boleh disentuh. Hanya boleh dilihat saja. Dan seutas jam tangan lagi, tak diletakkan di dalam box, bukan saja dapat dilihat malahan dapat disentuh oleh tangan ramai manusia. Ana nak pilih yang mana antara kedua-dua jam tangan tadi?” Farhana mengangkat keningnya. Dia masih belum memahami maksud umi. Dia menjawab dengan bersungguh-sungguh.

“Mestilah Ana mahukan yang dalam box. Orang tak pernah sentuh. Hanya dapat lihat je,” Umi senyum. Farhana semakin hairan. Umi mencapai tangan Farhana dan mengelus lembut.

“Begitulah seorang lelaki apabila mahu mencari seseorang yang boleh dijadikan calon isteri. Sudah tentu dia mahukan wanita yang hanya boleh dipandang tanpa boleh disentuh berbanding wanita yang boleh dipandang dan disentuh. Apa yang umi nak sampaikan pada Ana adalah, bila kita menutup aurat tanpa memperlihat dan mempertontonkan kecantikan kita, lelaki hanya mampu memandang dengan rasa kagum tanpa cuba mahu menyentuh kerana mereka menghormati wanita-wanita yang menutup aurat. Tetapi jika wanita tersebut sebaliknya, lelaki bukan saja akan memandang malah mereka akan menyentuh dengan sewenangnya tanpa ada rasa hormat. Sebab tu Allah memerintahkan wanita untuk menjaga batasan aurat agar kehormatan kita turut terpelihara.” Selesai umi menyudahkan penerangan, Farhana memeluk umi dengan seribu kekaguman. Ya Allah, ampunkan hambaMu ini. Air mata penyesalan kerana mengabaikan Tuhan mengalir deras. Farhana nekad mahu mengubah dirinya menjadi muslimah.



*************************

Malam itu, Farhana mengikut umi ke surau yang terletak di taman perumahan rumah barunya. Dia mahu membiasakan dirinya dengan rumah Allah. Dia mahu menghabiskan sisa hidupnya dengan ibadah. Dia mahu menebus kembali masa lalunya dengan mengingati Allah. Dia mahu merasa sendiri keindahan hidup barunya.

Selesai solat isya’, mereka mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Imam yang telah mengimamkan solat mereka. Tazkirah yang bertajuk ‘Keindahan Syurga’ itu benar-benar masuk ke jiwa Farhana. Tanpa sedar, ada mutiara yang mengalir dari tubir mata. Kini, dia mula merindui syurga. Indahnya merindui jannahNya. Semoga Allah mempermudahkan perjalanan hidupnya untuk berubah. Farhana berdoa dalam hati.

Farhana nekad mahu mencari pakaian yang menutupi auratnya esok. Dia akan meminta umi menemaninya. Dia tidak malu untuk berubah. BIarlah andainya perubahan ini yang akan mencipta jarak antara dia dan teman-temannya. Biarlah. Yang penting jarak dia dan Allah semakin mendekat. Hatinya tenang kini setenang air di pinggir kali. Sedang asyik merenung masa depan, Farhana teringat tentang seseorang. Lelaki yang pernah merenungnya dua minggu lalu. Lelaki yang memerhatikan dia hanya dari jarak jauh tanpa mendekat. Apa yang dia perasan tentang lelaki itu, setelah perbuatannya disedari, dia hanya menundukkan wajahnya. Melarikan anak matanya dari melihat ke arah diri Farhana. Wajah lelaki itu putih bersih. Ada tanda hitam pada dahinya. Sungguh tenang apabila mengingati wajah itu. Siapakah dia? Akhirnya Farhana tertidur dengan persoalan yang tak terjawab.

“Assalamu’alaikum saudari. Maafkan saya kiranya pertanyaan saya ini mengudang kemarahan saudari,” Huluran salam itu kedengaran lembut di telinga Farhana. Dia memalingkan telinganya. Dia? Siapa dia?

“Wa’alaikumussalam. Silakan saudara,” Hanya itu jawapan Farhana. Dia hanya tenang walaupun jelas hatinya berdegup kencang.

“Sudikah sekiranya saudari menjadi suri hidup saya jika saudari bukanlah isteri atau tunangan orang. Sudikah saudari sama-sama menggapai redha Allah bersama saya untuk ke syurgaNya?” Farhana terpempan. Benarkah apa yang didengarinya? Lelaki itu? Lelaki itukah suaminya?

Farhana terjaga dari mimpi. Lantas dia beristighfar. Pelik benar mimpinya kali ini. Belum pernah dia mengalami mimpi sebegini. Petunjukkah ataupun sekadar mainan tidur kerana dia terlalu memikirkan tentang lelaki itu? Farhana merenung jam di meja sisinya. Jam 5 pagi. Masih sempat untuk dia bertahajjud dan berqiyamulail. Tidak susah untuknya melakukan ibadah itu kerana sewaktu dia berada di zaman persekolahan, segalanya jelas di ajar. Tambahan pula umi juga tidak jemu-jemu mendidiknya menjadi muslimah solehah. Alhamdulillah.

Selepas solat subuh, Farhana bertadarrus dan bertadabbur bersama umi. Terasa damai di hatinya saat ini. Inilah bahagia yang dicarinya. Inilah kehidupan sebenar buatnya. Hidayah Allah inilah hadiah paling berharga sepanjang dia masih di muka bumi. Benarlah kata orang, ‘hidayah itu perlu dicari kerana Allah akan memberi hidayah itu pada hati yang benar-benar sudi.’ Aktiviti ibadahnya diteruskan dengan solat sunat Dhuha. Semoga Allah mengganda dan membuka pintu rezeki buat dia dan keluarganya.

Sedang Farhana bersiap-siap mahu keluar bersama umi, mummynya masuk ke kamar bujangnya. Jelas riak terkejut pada wajah cantik mummynya. Farhana kaget. Dia memohon agar mummynya menerima perubahan yang dilakukan. Senyuman manis terpancar. Datin Fazura merenung lama anak gadisnya. Dalam hati dia memuji keayuan anaknya yang kita sudah bertudung. Dia memeluk erat tubuh genit Farhana. Buat pertama kalinya, Farhana merasai pelukan kasih seorang ibu.

“Mummy maafkan Ana. Ana tak minta izin mummy untuk memakai hijab. Maafkan Ana mummy,” Farhana mencapai tangan Datin Fazura dan mengucupnya lembut. Ada air mata yang mengenai kulit itu. Datin Fazura menyapu air mata Farhana. Dia tidak pernah menduga, anak yang tak pernah dia didik dengan didikan agama berjaya mencari jalan pulang sendiri.

“Mummy tak marah sayang. Mummy bangga miliki anak seteguh Ana. Maafkan mummy kerana mummy tak pernah ajar Ana dengan ajaran Islam. Maafkan mummy.” Tangisan dua beranak itu memecah suasana pagi. Datin Fazura mengusap lembut wajah ayu anaknya.

“Mummy, Ana tak pernah salahkan mummy. Ana yakin semua yang berlaku ada hikmah,” Farhana menarik mummynya duduk di birai katil. Terasa kebahagian menyelinap ke dalam jiwanya. Bahagia kerana baru kini dia mengenali siapa wanita yang telah melahirkan dirinya ini. Berjiwa lembut malah lebih lembut dari seputik kapas. Farhana berdoa dan berharap agar suatu hari nanti, mummynya juga bakal mengikut jejaknya mencari mardhatillah.





*************************

Masa berganti waktu, kini genap dua tahun penghijrahan Farhana. Mummy dan daddynya juga telah berhijarah menuju Allah. Mereka baru pulang dari mengerjakan umrah bersama umi. Farhana menajat kesyukuran kerana hikmah Allah sangat besar erti buat dia dan keluarganya. Siapa sangka, keluarga yang suatu masa dulu pernah retak menanti belah kini menjadi keluarga sefikrah. Keluarga Islam yang jauh lebih bahagia. Syarikat daddynya juga semakin maju. Perniagaan mummynya sudah beralih kepada butik pakaian muslimah. Inilah nikmat Islam dan Iman.

Petang itu, kaki Farhana laju menuju ke arah taman yang berdekatan dengan kawasan perumahannya. Kebetulan kerusi tempat dia melabuhkan punggungnya dua tahun lalu kosong tanpa manusia. Dia memandang ke langit. Tiada pelangi seperti yang pernah dilihatnya pertama kali dia datang ke taman itu. Rindu mahu melihat pelangi. Lama dia merenung langit membiru. Lafaz tasbih dan tahmid tidak lepas dari bibir mugilnya. Sedang asyik merenung ciptaan Allah, dia terdengar seseorang menegurnya. Dia menoleh… Dia dan seorang gadis bertudung labuh sepertiku. Tetapi kenapa penampilannya jauh berbeza? Sudah berkeluargakah dia?

“Assalamu’alaikum. Saudari, saya mahu meminta maaf tentang kejadian dua tahun lalu. Saya tak bermaksud untuk merenung saudari. Saya cuba terfikir kenapa saudari seperti dalam kesedihan. Maafkan saya. Saya minta diri dulu.” Farhan bersedia untuk beredar. Farhana cepat memanggil.

“Saudara, saya tak pernah marahkan saudara. Saya dah melupakan apa yang berlaku. Mungkin salah saya juga kerana saya yang mengizinkan diri saya menjadi tontonan. Boleh saya tahu nama saudara?” Farhana bertanya. Gadis di sebelah lelaki itu hanya tersenyum. Ikhlas sekali senyumannya. Farhana membalas senyuman itu.

“Farhan. Nama saudari?” Giliran Farhan bertanya.

“Farhana.” Farhan terkesima. Nama mereka sama. Maksud juga serupa. Ya Allah…

“Farhan dan Farhana. Semoga Allah menciptakan untuk saling melengkapi.” Gadis tadi bersuara tiba-tiba. Farhana tertunduk malu mendengar bicara gadis itu.

“Saya Farihah. Adik Abang Farhan. Sebenarnya, abang selalu bercerita tentang awak walaupun dia hanya pernah melihat awak sekali cuma. Setiap hari abang akan minta Far temankan dia ke taman semata-mata untuk meminta maaf. Tapi, awak tak pernah datang lagi lepas kejadian abang merenung awak tu. Abang semakin rasa bersalah. Tak sangka, hari ni dia masih diberi kesempatan oleh Allah untuk bertemu awak dalam keadaan awak yang jauh berbeza dari dulu. Alhamdulillah.” Farihah menerangkan panjang lebar. Farhana memandang Farihah. Mencari kejujuran melalui anak mata gadis itu. Fariha senyum. Dia memeluk Farhana erat.

“Farhana, abang tak pernah jatuh cinta sekalipun sebelum dia ternampak awak. Dia susah untuk jatuh cinta. Mungkin kerana statusnya sebagai imam yang membuatkan perempuan takut untuk jatuh cinta. Tapi, Far yakin yang abang dah jatuh cinta pada Farhana,” Farihah menyambung kata. Farhana tersenyum.

“Far sudi tak kalau Ana nak jadi kakak ipar Far?” Farhana berbisik. Farihah mengangguk.

“Nanti Far minta ibu dan ayah pinangkan Ana untuk abang.” Selepas menitip janji, Farhana mengajak Farhan pulang. Farhana bahagia. Dia bakal berpimpinan dengan imamnya menuju ke syurgawi. Benarlah mimpi yang pernah mengganggu lenanya dulu. Kini dia yakin, Allah ciptakan Farhan dan Farhana untuk bersama mencari mardhatillah.
 
 
Nukilan : Aimuni Marjono




Syahadah Cintaku


AsyhaduAllailahaillallah..
WaasyhaduannaMuhammadarrasulullah..
Aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah,
Dan aku bersaksi Nabi Muhammad itu pesuruh Allah…

Syahadah Cinta..
Cintaku padaNya…

Meniti arus keduniaan,
Aku lupa padaNya yang satu,
Mengecapi nikmat hidup bahagia,
Hanya bertuhankan nafsu..

Saat teruji cinta,
Aku leka dikejar bahagia,
Juga mengejar cinta manusia,
Lantas aku melupakan cintaNya yang tulus,
Terumbang ambing mengikut arus,
Panggilannya tak ku sahut..

Allah..Allah..Allah..
Ampunkan ku…
Siapalah aku tanpa cintaMU,
Hanya hambaMU yang hina,
Hanyalah hambaMU yang lemah...

Kau menyedarkanku dengan cintaMU,
Kau berikan aku peluang itu,
Kau titipkan aku kasihMU,
Dan kau pandu jiwaku menujuMU…

Alhamdulillah..
Lafaz syukur terungkap,
Lantas aku bersujud,
Memohon keampunan,
Memohon Kau ampunkan,
Tuntun hatiku Ya Rabbi,
Inilah syahadah cintaku….

Syahadah Cintaku : Aimuni Marjono

Sebuah Cinta - Halim


Monday 27 August 2012

Sahabat...Kau Teman Syurgawi....

Kerana Allah, Ku Sayang Kamu...

Indahnya persahabatan andai bersulam keikhlasan. Sahabat sejati umpama ladang yang terbentang luas. Dialah taman hati dan dia jualah yang menjadi ladang untuk bercucuk tanam. Menanam kejujuran dan menuai kesabaran. Dialah yang cuba menenangkan saat kegundahan. Dialah yang menghiburkan saat kehilangan. Dialah yang turut tersenyum saat si sahabat menggenggam kejayaan dan dialah yang turut menitiskan air mata tika si sahabat berendam kedukaan. Sahabat bukanlah dia yang meninggalkan kita di saat kesulitan. Bukanlah yang membenarkan setiap kata-kata kita walaupun ternyata tiap apa yang kita lafazkan itu bertentangan. Bukanlah jua yang hanya menjadikan kita sandaran saat dia ditimpa kesusahan.

Sahabat itu adalah apabila kita bersamanya, kita merasa tenang. Apabila disampingnya kita sentiasa ingat akan Tuhan. Sewaktu dengannya kita terasa aman dan menjadi diri sendiri. Tanpa perlu berselindung sikap dan perwatakan kita yang sebenar. Itulah SAHABAT. Sahabat merupakan hadiah dari Allah untuk hamba-hambaNya yang berusaha mencari sahabat sebenar. Sahabat yang sama-sama membantu untuk beroleh JannahNya. Yang sama-sama berusaha berada di jalanNya. Yang sama bercita-cita untuk syahid di medanNya. Sahabat itu adalah apabila dia dan kita turut mencintai antara satu sama lain kerana kuatnya cinta kepadaNya.

Carilah Sahabat Yang Punya Agama...

 “Agama seseorang itu terletak di atas agama atau jalan yang dipilih oleh rakannya"
 
Itulah pesan yang Rasulullah SAW titipkan untuk kita dalam mencari seseorang yang layak digelar SAHABAT. Seorang yang mencintai AGAMA dan menjadikan agama sebagai jambatan untuk bersahabat ke jalan kebenaran. Andaikan seketika kiranya kita tersilap dan tersalah memilih seseorang yang bergelar sahabat. Apakah kesudahan dan pengakhiran hidup? Bersahabat dengan seseorang yang tidak mengenali apa itu Ad-Deen umpama bersahabat dengan kaum musyrikin. Mencintai sahabat yang tidak mengenali siapa Yang Maha Esa umpama menarik kita ke lembah hina. Bahayanya memilih sahabat yang tidak punya nilai agama.
 
Seringkali saya terdengar ungkapan-ungkapan yang sering disalah tafsirkan seperti 'Dia tak solat tapi dia jauh lebih hebat.' 'Dia tak tutup aurat tapi dia jujur dalam bersahabat.' bla bla bla. Mudahnya apabila mengungkap kata. Fikir sejenak...
 
1- Dia tak solat tapi dia jauh lebih hebat.
 
 
Usah terlalu mudah meng'hebat'kan seseorang kerana nyata yang di atas sana jauh lebih Maha Hebat. Allah itu lebih hebat. Ke'hebat'an manusia juga kerana kehebatanNya yang mencipta. Hebatkah seseorang yang tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim? Hebatkah dia apabila dia dengan sengaja dan tanpa alasan merobohkan tiang agama yang sepatutnya dia kukuhkan dengan mendirikan solat? Hebatkah dia apabila dia yang kamu anggap hebat itu melanggar perintahNya sedangkan telah Allah catatkan dalam Al-Quran kehebatan solat.
 
 Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, Nabi SAW bersabda, “Solat itu tiang agama sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama.”
 
Tidak! Dia belum cukup hebat lagi. Dia telah melanggar garisan panduan seorang muslim. Dia tidak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang yang bergelar islam. Berhati-hatilah dalam memilih sahabat. Pilihlah sahabat yang berada dalam agama tanpa sedikit pun memalingkan wajahnya dari jalan islam. Tanpa sedikit pun mengurangkan waktunya untuk beribadah. Yang sedikit pun tidak mahu jadi hebat di mata kamu dan makhluk lain kerana hanya mahu hebat dipandangan Allah. Yang malu apabila tidak melaksanakan solat lima waktu. Yang menjadikan kamu sebagai tautan hati untuk bertaut hatinya hanya pada Ilahi. Bersahabatlah kerana Allah kerana bersahabat kelak kau akan merasa ketenangan jiwa.
 
2- Dia tak tutup aurat tapi dia jujur dalam bersahabat.
 
 
Saya tidak nafikan ungkapan di atas. Tidak semua wanita yang tidak menutup aurat itu tidak jujur dalam bersahabat. Malahan, ada yang jauh lebih jujur jika mahu dibandingkan dengan seseorang yang cukup sempurna menjaga batasan aurat. Ya, ini realiti dunia kini. Mungkin kerana merasa diri telah cukup 'sempurna' makanya dia hanya menjadikan sahabat sebagai tempat persinggahan. Jangan begitu sahabatku. Bersahabatlah dengan sejujurnya. Bersahabatlah dengan seikhlasnya. Kelak kau akan merasa indahnya persahabatan. Kelak kau bakal merasa indah hidup bersyariat kerana mempunyai sahabat.
 
Sahabat, selagi kau bergelar sahabatnya, selagi itu kau punya hak untuk menegur segala kesilapan dan kekhilafannya. Bukan kerana mahu menunjuk kebaikanmu apatah lagi mahu memandang hina pada sahabat yang tidak menutup aurat tetapi niatkan dalam hati yang kau mahu bersamanya di Jannah Allah. Katakan padanya yang kau benar-benar mencintainya dan masih mahu menjadi sahabatnya hingga ke syurga. Dakwahmu sangat diperlu saat kau berhadapan dengan sahabat sebegini. Ajarkan dia tentang aurat wanita islam. Kenalkan sahabatmu indahnya menutup kecantikan yang Allah kurniakan. Pastinya kamu sudah cukup mengenali siapa dia dan bagaimana sikap dan sifatnya. Yang paling penting, usah putus berdoa dan jangan berhenti berusaha. Usahamu memperlihatkan padanya tentang aurat islam sama seperti usahamu menariknya menuju syurga.
 
Sahabat Hingga Ke Syurga...

 
Bukan mudah untuk merasa syurgaNya. Terlalu banyak mujahadah yang perlu ditempuh kerana kemanisan syurga itu dapat kita rasai apabila kita benar-benar sudah ke'sana'. Inilah rantaian kehidupan. Ujian dan dugaan tetapkan bertamu dalam kehidupan seharian. Kerana Allah menyayangi, maka DIA anugerahkan hadiah berbentuk dugaan. Dan DIA juga hadiahkan kita teman yang boleh kita luahkan perasaan. Sahabat yang baik akan sentiasa mendoakan kesenangan kita dunia akhirat. Senantiasa mengucapkan kata-kata indah saat kita menghadapi getirnya ujian. Yang berjanji mahu bersama kita merebut cinta Rabbi. Yang sama mahu mendapat mardhatillah yang abadi. Sahabat sejati itulah taman syurga dunia dan dia jugalah taman syurga hakiki apabila dia sama mencintai Ilahi. Semoga sahabat-sahabatku juga kamu berpimpin tangan menuju Negeri Abadi dengan segala kerendahan hati untuk ke syurgawi.
 
 
Sahabat Illah : Aimuni Marjono


Saturday 25 August 2012

Raya at Johor Bahru

Assalamu'alaikum..

Bismillahirrahmanirrahim..

Lama dah rasanya tak update blog sy ni. Hari ni sy nak cerita pengalaman raya yg utk pertama kalinya bukan di Gombak, Selangor. Untuk pertama kalinya, raya tahun ni 1433H, sy dan family beraya di Tampoi, Johor bahru (rumah kakak n abg ipar). Seminggu before pergi tu memang tersangatlah excited. Haha. Mana taknya, first time raya di tempat org kan. Pagi khamis tu pagi2 sy & family dah bangun. Lepas subuh mmg tak tidur dah. Punyalah excited nak bertolak ke Johor. Tepat jam 8 pagi, sy & family menunggu cab utk ke station KTM Sentul Timur utk ke TBS. Bas kami pd jam 11 pagi. Sampai je di TBS, sy n family pun menunggu di tempat menunggu selama 2 jam jugaklah. Tunggu punya tunggu, tepat pukul 10.30 pagi, kami gerak ke gate 7 di mana tempat kami naik bas. Sy & family menaiki bas Konsortium Express. Lepas check ticket settle, kami pun naik ke dalam bas tersebut. Mencari seat & duduk. Seat mmg terbaiklah. Selesa & luas. Alhamdulillah.

Selama hampir 4 1/2 jam perjalanan, kami pun sampai di Larkin. Semasa kami sampaia di Larkin, kami terus mencari ticket utk pulang ke KL pd hari raya ke4 nanti. Sedang sy & kakak beratur untuk membeli ticket, tiba2 kami diterjah oleh krew2 RTM nak interview perasaan pulang ke kampung. Akibat malu dan teramatlah segan, sy pun dgn pro nya mengelak dr ditemu ramah. Sudahnya, kakak sy yg di interview. Hehe. Bila dah dapat ticket, kami pun menunggu abang ipar & kakak sy utk dtg menjemput.

Kami tiba di kediaman kakak & abang ipar sy yg terletak di Tampoi iaitu bersebelahan dgn Hospital Permai. Opss lupa nak bagitaw, abang ipar sy bekerja sbg PPK di Hospital Permai. Sebab tu mereka tinggal di Quarters Hospital Permai. Hari pertama berada di sana, tersangatlah seronok. Mungkin kerana masih berada di Bulan Ramadhan. Tiba je malam raya, kami berkumpul utk mendengar pengumuman raya & takbir raya. Bila tiba je takbir raya di TV3, sy ternampak laa pulak artis nasyid febret Abd Halim Ahmad dr kumpulan Devotees turut bertakbir. Haha. Tapi seriusly, malam raya tu tak rasa suasana raya. Mungkin sebab sy belum pernah beraya luar dr Gombak, makanya kemeriahan tu tak terasa. Sepanjang raya sehingga raya yang ke4, sy menghitung hari utk pulang ke tempat asal sy. Benarlah kata org, hujan emas di negeri org, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri. Pepatah tu tersangatlah sesuai utk sy.

Raya ke4 pun tiba. Alhamdulillah. Time balik pun sampai. Pengalaman dan dugaan sikit time balik ni. Macam-macam. Tapi semuanya Allah permudahkan. Sy percaya dgn ayat Allah Rabbi Yassir Wa'La Tu'Assir. Sepanjang berlaku kesulitan tersebut, mulut sy tak henti-henti menyebut kalimah itu dgn penuh keyakinan dan terbukti ayat Allah itu yg memudahkan segalanya. Terima kasih Allah. Bas yang kami naiki, driver dia seorang melayu & sudah tentu seorang islam kan? Tapi caranya tak langsung menunjukkan ciri-ciri sebagai seorang islam. Berhenti makan di gerai cina di Pagoh & selepas dari itu tiada langsung berhenti utk kami menunaikan solat zohor & asar secara jamak. Memang terkilan sangat. Tak takut dosakah? Tak takut tanggung dosa-dosa penumpang? Serik utk sy memilih bas Trans lagi. Cukuplah sekali.

Semasa di Johor pd raya ke3, kami adik beradik sempat membuat kejutan utk ibu tersayang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 49. Alhamdulillah Allah memanjangkan umur ibu kami utk bersama kami lagi. Pengalaman beraya di Johor adalah pengalaman yang tak mampu utk sy lupakan. Dalam kemeriahan menyambut lebaran, sy teringat arwah ayah yg pertama kalinya tak dapat menyambut raya bersama kerana Alalah lebih menyayanginya. Al-Fatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solehin. Amin. Assalamu'alaikum.

Monday 13 August 2012

Ini Cinta DariNya



Cinta Pertama...

"Hadirlah cinta cinta pertama
Hadirlah cinta cinta utama
Sayangi diri ini cinta cinta pertama
Hati ini cinta cinta pertama.."




Terngiang bait-bait lirik lagu nyanyian kumpulan nasyid FarEast. Alangkah indahnya apabila mengalami cinta pertama. Cinta yang bermula dengan panahan mata kemudian menjadi nilaian hati. Cinta itu fitrah. Rasa yang Allah aturkan dalam fitrah kejadian makhluk ciptaanNya.

Sememangnya fitrah kejadian manusia yang telah Allah tetapkan lelaki pasangannya wanita dan wanita pasangannya lelaki. Tiada siapa yang boleh mengubah hakikat kejadian yang Allah aturkan. Seadil-adilnya Allah meletakkan hak masing-masing dalam mengurus hati. Pandai kita mengolah hati, terdidiklah sifat mencintai kerana Si Pencinta Hakiki. Tapi andai kita hanya pandai mengulah hati, maka terbinalah cinta berpaksikan cinta duniawi.

Hakikatnya, sy juga sedang mengalami cinta pertama. Kerana Allah yang menggerakkan hati sy untuk memilih dia maka sy kuatkan rasa cinta ini atas cinta sy kepada Yang Hakiki. Itu lebih utama. Sy yakin, DIA mendengar setiap luahan dan isi hati sy. Bukankah Allah itu sifatnya Maha Mendengar? Sy tidak mahu tertipu hanya kerana sy melihat karakternya yg sgt2 dekat pada jiwa sy. Dia juga manusia seperti sy. Biarlah Allah yang mengatur segalanya. Andai sudah tertulis sememangnya dia untuk sy, pasti dia tetap juga untuk sy. Tetapi andai ini hanya mainan hati dan dia bukan tercipta bersama sy, redhalah yg sy perlukan. Sy yakin pasti ada hikmah yang tersembunyi.

Saya Memilih Jadi Yang Terakhir...


Realitinya, sy sedar siapa sy untuk berdampingan dengan dia. Hanya luahan rasa tanpa bicara. Hanya laman twitter untuk sy melihat apa aktiviti dan luahan hariannya. Sy mahu jadi yg terakhir untuknya kerana sudah terlewat untuk sy jadi yang pertama. Mungkin dia juga pernah lalui kisah sedih dan berhadapan dengan kegagalan cinta dan kerana itu, cukuplah kiranya sy berjaya jadi yang terakhir untuknya. Bukan mudah untuk mencintai dalam hati kerana cinta itu terkadang sifatnya harus berterus terang. Tetapi, sy suka cara ini. Sy yakin dengan Allah. Jika sy terus berdoa dan mengharap, DIA tidak akan pernah mengecewakan. Pasti Allah juga akan turut menggerakkan hatinya seperti hati sy tergerak untuknya. Bukankan Allah itu pemegang hati kita? Kuncinya iman kita.


Apabila Hati Rindu Menikah...



Kerana nikah yang akan menyempurnakan, maka rindulah untuk bernikah. Tanyalah pada semua wanita, siapa yang tidak mahu disambungkan dgn ikatan pernikahan? Tentu semuanya mahukan ikatan pernikahan. Sy juga mahukan. Tetapi untuk bernikah, bukan semudah ABC. Masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Mental, fizikal dan segala aspek. Belum masanya lagi untuk Allah izinkan sy melalui pengalaman pernikahan. Dalam meniti hidup berumah tangga, sy memilih untuk mencari dia yang beragama. Ini kerana sy belum cukup ilmu agama untuk mendidik 'permata hati' andai Allah kurniakan rezeki. Sy mahu dia bersama-sama sy membentuk sahsiah si bintang hati. Dan kerana itu sy pilih dia untuk terus sy pinta padaNya dalam bait doa sy. Dia milik Allah dan sy harus memintanya juga dari Allah. :)
 
 
Hati Merindu : Aimuni Marjono








Hanya kerana kata-kata :(

Kecewa....

Sometimes kata2  itu cukup melukakan. Untuk beberapa bulan sy masih cuba bersabar namun ternyata batasan kesabaran sy sebagai seorang manusia teruji juga. Dalam pada terasa tersakiti, sy cuba untuk memaniskan wajah di hadapan mereka yg menyakitkan hny kerana sy cuba utk melupakan. Sy letak ketepi apa yg mereka katakan tentang sy. Walau perit namun sy tabahkan hati. Cuba utk menidakkan perasaan benci yg mula menapak di hati. Sy sedar, siapalah sy utk membenci makhluk yg juga ciptaanNya namun sy juga manusia. Juga punya hati dan perasaan. Lantas apakah sy hny perlu berdiam tanpa ada sebarang rasa? Sy menghormati mereka atas alasan mereka lebih dulu 'makan garam' dr sy dan akibat terlampau menghormati, sy dijadikan bahan bualan. Biarlah rasa ini bertakhta di hati. Untuk memaafkan, sy belum mampu. Biar masa yg menyembuhkan luka dan duka.

Sedih...

Awal-awal lagi kesedihan dah merajai hati. Mungkin krn sy tak pernah menyangka ini yg akan sy terima. Sy juga tidaklah sehebat dan sesempurna mana. Sy sedar dan akui. Tapi itu bukan bermakna mereka boleh berprasangka pd sy tanpa bertanya. Tak sangka sgt, kebaikan yg mereka tunjukkan pd sy sewaktu sy diuji kesakitan menjadi buah mulut mereka untuk berkata-kata. Demi Allah, hanya Allah je yg tau bagaimana rasa sakit yg sy tanggung. Sy bukan bodoh utk berpura-pura. Tapi itulah realitinya apabila sy terpaksa berdepan dgn kata-kata yg menyakitkan. Allahu Rabbi. Innallaha ma'ana. Hancur luluh hati sy apabila mengetahui kebenaran ini. Terasa kesabaran sy berada di tahap yg paling terendah. Kenapa membantu kalau bantuan itu bukan kerana Allah?



Kembali pada hakikat kehambaan...

Seteruk dan sesukar mana pun yg sy lalui, inilah fitrah sy sebagai hambaNya. Diuji dalam pelbagai bentuk ujian. Walau goyah namun sy haruskan tetap melangkah. Namun untuk memberi kemaafan, hati sy masih belum mampu untuk menghulurkan. Kerasnya hati sy bila sy disakiti dan terlalu sedihnya kerana mereka itulah yg pernah sy percayai satu ketika dulu. Sy serahkan segalanya pada Ilahi. Kerana sy tahu, di situlah letaknya nilai diri.



Thursday 9 August 2012

DIA Pemegang Hati

Ada sinar dalam langkah,
Ada harapan dalam doa,
Kerana ku punya Allah,
Kerana DIA memberiku rasa...

DIA Pemegang Hati,
Yang bisa membolak-balikkannya,
DIA Penjaga Iman,
Yang bisa bertambah dan berkurangan...

DIA memberi kita pakaian jihad,
Untuk kita sama harungi maslahah,
DIA juga mencipta ukhuwah,
Agar keimanan kita tetapkan bercambah...

Tika aku buntu,
DIA yang ku perlu,
Tika aku sayu,
Pada DIA aku mengadu,
Tika aku sedih,
Hanya DIA yang ku pilih,
Maka hanya pada DIA aku kembali,
Hanya pada Rabbul Izzati...

Wahai Pemegang hati,
Tetapkan hatiku dalam ad-DeenMU,
Wahai Pemegang hati,
Tetapkan aku dalam imanku,
Agar ketaatanku padaMU tetapkan berpadu..

Ya Allah,
Cambahkan imanku di setiap ketika,
Mekarkan imanku di setiap masa,
Kerana aku mahu diambil nyawa,
Husnul Khatimah pengakhiran cerita...

HambaMU : Aimuni Marjono

Wednesday 8 August 2012

Mereka...Permata Hatiku

Mereka menyuburkan jiwa,
Mereka mentafsirkan lega,
Mereka menghilangkan lelah,
Mereka menghiburkan gundah,
Mereka menyatukan hati,
Mereka anugerah Ilahi...

Wajah putih bersih,
Terlihat di depan mata,
Di awal pagi berjumpa,
Bersalaman hormat penuh mesra...

Kaletah mereka menghiburkan,
Walau terkadang mengundang penat,
Suara halus mereka mendamaikan,
Walau terkadang mengundang hangat...

Terbias wajah ahli syurga,
Tenang melihat raut indah,
Mereka tidak melakukan dosa,
Oh tingginya darjat mereka di sisiNya..

Diajar diasuh mengenal Yang Esa,
A,B,C, Satu Dua Tiga,
Alif Ba Ta, Wahid Isnani Salasa,
Juga dididik mengenal rasulNya...

Nama malaikay dinasyidkan penuh minat,
Ayat Allah dialun penuh hikmat,
Hadis Rasulullah dibaca penuh nikmat,
Kerana mereka dilatih menjadi ummat,
Juga hamba dan anak yang penuh taat..

Mereka....anak-anakku...
Juga anugerah berharga dariNya,
Takkan pernah aku melupakan,
Kehadiran mereka yang memberi sinaran,
Hanya kejayaan mereka yang ku perlu,
Dalam menyemai benih impian,
Dalam memandu menjadi mukmin idaman...

Hati Seorang Guru : Aimuni Marjono

Terima Kasihku Tuhan

Seringkali kepenatan terukir di wajah,
Keluh kesah menjadi permainan bibir,
Keletihan menguji diri,
Lantas terungkap berat beban...

Menyingkap tabir hati,
Bersyukurkah aku atau tidakkah,
Memaknakan sebuah dugaan,
Bicara tersembunyi tak terungkap kata sakti....

Pahit ujian itu tarbiyah,
Meladeni jiwa yang bernama manusia,
Menyelaraskan dengan kasihNya,
Tersimpul terikat sajadah cinta,
Menjadi perantara aku dan DIA...

Bahtera jiwa dididik penuh hikmah,
Membajai kesyukuran dengan kesuburan,
Ternoktah rasa gundah,
Terhapus keluh kesah,
Lantas terucap sebuah penghargaan,
Tanda terima kasihku Tuhan...

Terima Kasih Tuhan : Aimuni Marjono

Monday 6 August 2012

Sinergi Cinta Insani

Menghayati halaqah cinta,
Menabiri usrah kasih,
Membina rantaian sayang,
Terbina ikatan aqidah,
Tercipta untaian fitrah kehambaan...

Kau dan aku mencipta bahagia,
Restu bersama kasih mereka,
Bersatu tuju melangkah ke satu fasa,
Ungkapan jiwa dan luahan rasa,
Tertabir bicara tersingkap makna,
Berjalan ke arah syurga cinta milik Dia...

Pesanmu JAGA DIRI,
Kerana diriku milik Ilahi,
AmanahNya untuk ku jagai,
Jangan biarkan tertindas diri ini,
Dengan maksiat dan dosa yang dibenci,
Takut-takut andai Dia murkai,
Entah sempat atau tidak aku diampuni...

Pesanmu lagi JAGA HATI,
Kerana hati ini dipegang olehNya,
Dia bisa mengolah mengikut kehendakNya,
Hanya doa sebagai senjata,
Agar Dia menetapkan Iman teguh bersama,
Agar matiku nanti jua dalam agamaNya...

Pesanmu jua JAGA IMAN,
Kerana Iman yang membezakan,
Antara seorang muslim dengan mukmin yang lain,
Jangan biarkan nafsu mendahului,
Jangan biarkan al-Hawa mengetuai,
Kerana Iman terletaknya di hati,
Dan kerana itu kau mengingatkan agar aku menjaga hati.

Kerana pesananmu itu aku hargai,
Lalu aku letak kau bersama,
Di suatu sudut kurniaan Ilahi,
Agar Allah membuka pintu hati,
Untuk kita lorongi dengan kasih suci,
Mengikat dengan sinergi cinta insani,
Yang mengalir arus dalam halaqah cinta Ar-Rahim...

Sinergi Cintaku : Aimuni Marjono

Devotees - Bukan Niatku

Aku Mahu Menjadi

Aku mahu menjadi...
HambaNya yang tulus,
Dalam mengejar cinta Ilahi,
Dalam merebut Kasih Hakiki,
Menghambakan diri kudus padaNya,
Membuat penyerahan diri hanya untuk DIA,
Yang menciptakan dan menghidupkanku,
Yang meminjamkan jua memberi nafas baru,
Di setiap kali aku bangkit dari mati,
Mati sementara yang dinikmatkanNya..

Aku mahu menjadi...
'Ummati' seperti yang disebut Nabi,
Sebelum baginda diambil Ilahi,
Mencontohi sunnahnya dalam kehidupan sehari-hari,
Melakar cinta melalui sejarah cinta Nabi,
Ucapan selawat tak pernah ku lupai,
Hanya itu hadiah buat baginda yang dicintai...

Aku mahu menjadi...
Anak solehah buat ibuku,
Jua anak solehah buat ayah yang telah pergi,
Kerana didikan yang diserap tinggi,
Kerana nilai akhlak yang dipupuk dalam diri,
Lantas aku belajar menjadi muslimah sejati...

Aku mahu menjadi...
Sahabat sejati buat sahabat sejati,
Persahabatan atas persahabatan,
Cinta atas cinta Robbul Izzati,
Bersama mengolah cerita hati,
Bersama mencipta bingkisan hidup bererti,
Melakar indah corak perhiasan diri,
Menjadi mukmin yang dirindui...

Aku mahu menjadi...
Qurratul A'yun buat si suami,
Penyejuk matanya juga penghibur hati,
Hadir di setiap panggilannya,
Bersama-sama bercita-cita mahu ke syurga,
Dan mencipta sejarah hati untuk disayangi,
Tanpa ada ragu di hati,
Dan mengecap cinta Rabbi...

Aku Mahu Menjadi : Aimuni Marjono

Thursday 2 August 2012

Seusia Bersama

Seusia kita bersama,
Berteman, berkawan, bersahabat,
Mencari satu arah kiblat,
Ke arah Tuhan Yang Esa,
Menuju ke puncak jaya,
Walau terkadang tersalah bicara,
Namun kita masih bersama..


Ya Allah..
Mereka telah bersama menempuh suka duka,
Dalam meladeni satu cita,
Mencari redhaMU dalam sama rasa,
Kerana KAU kami masih bersama...


Sahabat...
Di pentas dunia kita dicipta,
Bertemu, berkenalan dan bersahabat,
Seusia tujuh tahun sebagai angka,
Mencari ilmu untuk tuju bahagia..


Teman...
Kita masih bersama,
Kau dan aku masih dipandu cerita,
Tiap hari yang dilalui mengukir cinta,
Agar ikatan ini sentiasa mekar,
Walau nyawa di pengakhiran...

~Buat Sahabat-sahabat sejati Sekolah Rendah Islam Al-Abqari, Taman Sri Gombak~

Sahabat Kalian : Aimuni Marjono

Seindah Mahar Al-Quran

Seindah Mahar Al-Quran,
Termakna dalam surah an-Nuur,
Ku pinta kau bacakan,
Buat sebuah mahar pernikahan...

Seindah Mahar Al-Quran,
Termaktub sejarah cinta Rasul mulia,
Tercatat indahnya cinta ke syurga,
Demi mencari redha Yang Esa...

Seindah Mahar Al-Quran,
Kau pintaku dari waliku,
Mulakan ikatan dengan lafaz bismillah,
Lalu terpateri sebuah ikatan aqidah..

Seindah Mahar Al-Quran,
Bukan harta kekayaan menjadi ukuran,
Bukan pangkat darjat menjadi kebanggaan,
Cukuplah sekadar kau mampu mengimamkan,
Solat waktuku juga tahajjud di sepertiga malam..

Seindah Mahar Al-Quran,
Kau hulurkan padaku kalam Allah,
Ku sambut penuh rasa bahagia,
Kerana Dia menyatukan dua jiwa,
Tercipta cinta bersama rahmatNya...

Seindah Mahar Al-Quran,
Kau titip janji pada taklik,
Mendidikku menjadi wanita syurga,
Juga bidadarimu di alam sana,
Bersama mahu mencapai mardatillah,
Demi kerana cinta Allah...

Seindah Mahar Al-Quran itu,
Kita disatukan penuh cinta,
Melakar cinta baru penuh jiwa,
Bersyahadah cinta kita pada Yang Kuasa...

Seindah Maharmu Untukku : Aimuni Marjono