First Novel

First Novel
Mujahadah Cinta

Thursday 11 October 2012

Syurga Hati

Ada dua SYURGA HATI dalam taman hati saya. AYAH dan IBU. Merekalah yang menjadi LADANG KASIH untuk saya MENANAM CINTA. Tanpa mereka siapalah saya. Bukan mudah tanggungjawab seorang ibu dan bapa dalam membesarkan, memberi didikan dan sebagainya. Hanya mereka yang tahu bagaimana susahnya untuk menjadikan anak-anak mereka manusia yang berguna kelak. Tetapi atas didikan agama yang diterapkan sejak kecil, kini mereka mampu melihat kejayaan seorang demi seorang anak mereka.

Apakah sudah selesai peranan kita sebagai anak untuk membahagiakan mereka?

Tepuk dada tanya hati. Apakah kita sudah cukup membahagiakan mereka selama hidupnya mereka? Apakah kita telah mampu membuat mereka tersenyum dengan kejayaan dan kecemerlangan akhlak kita? Belum.. Pasti itulah jawapan-jawapan yang seringkali kita dengar. Ya.. masih belum cukup lagi untuk kita membahagiakan mereka. Masih tidak terbalas budi si IBU yang MELAHIRKAN dan jasa si AYAH yang MENCARI REZEKI. Walau dihimpun segunug intan permata berlian atau emas sekalipun, belum cukup jika mahu dibandingkan dengan jasa dan bakti mereka yang berkodi. Hanya Allah yang mampu membalas segala susah ayah dan perih jerih mereka sehingga anak-anak mereka menjadi seorang yang berjaya.

Seperti sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

“Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”
 
 
Tanggungjawab Terhadap Ibu Bapa Yang Masih Hidup
 
 
Sejak kecil sememangnya kita telah dididik dan diasuh untuk menghormati ibu bapa. Walaupun ibu bapa kita bukanlah seorang yang berada di landasan Islam yang mengikut syariat tetapi kita sebagai anak WAJIB menghormati selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam.
 
Saya teringat tentang satu kisah pada zaman Nabi Musa di mana semua tahu mukjizat yang Allah SWT berikan kepada Nabi Musa sendiri iaitu boleh bercakap dengan Allah SWT. Setiap kali Nabi Musa mahu bermunajat, baginda akan naik ke BUKIT TURSINA dan di sanalah dia akan bercakap dengan Allah. Kelebihan Nabi Musa ini tiada pada nabi-nabi lain. Nabi Musa akan bertanya kepada Allah dan Allah akan menjawab waktu itu juga segala pertanyaan Nabi Musa. Subhanallah. Besar sungguh mukjihat dan kelebihan yang Allah berikan kepada Nabi Musa Alaihi Salam.
 
Pada suatu hari, Nabi Musa telah bertanya kepada Allah
 
"Ya Allah, siapakah orang yang akan berjiran denganku di SYURGA nanti?"
 
Lalu Allah pun menjawab dengan mengatakan siapa nama orang itu dan, kampung serta di mana tempat tinggalnya. Nabi Musa pun turun dari Bukit Tursina setelah mendapat jawapan dari Allah dan terus berjalan menuju ke tempat yang diberitahu Allah. Perjalanan yang memakan masa berhari-hari dan akhirnya Nabi Musa sampai ke tempat yang ditujunya. Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, baginda berjaya bertemu dengan orang yang dimaksudkan Allah. Setelah memberi salam Nabi Musa dijemput masuk dan  dipersilakan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor khinzir betina yang besar. Khinzir itu didukungnya dengan cermat. Jelas Nabi Musa terkejut.
 
"Apa hal ini?" Kata hati Nabi Musa berbisik penuh kehairanan.

Khinzir itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu khinzir itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor khinzir jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Khinzir itu kemudiannya dihantar semula ke bilik. Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa.
 
"Wahai saudara! Apa agama kamu?" Nabi Musa bertanya.
 
"Aku agama Tauhid." Jawab pemuda itu iaitu agama Islam.
 
"Habis, mengapa kamu membela khinzir? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa. "Wahai tuan hamba, sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi khinzir, aku tetap melaksanakan tugasku." Kata pemuda itu.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah  menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah  masih belum memakbulkan lagi." Tambah pemuda itu lagi.
 
Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa Alaihi Salam :
 
'Inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa khinzir pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami.'
 
Allah juga berfirman yang bermaksud :





"Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."


 
Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti  khinzir. Mudah-mudahan ibu bapa kita mendapat tempat yang terbaik di sisiNya kelak.
 
Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa. Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada -mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
 
Seperti doa yang diajarkan Nabi Muhammad :
 

Yang bermaksud : Ya Allah Ya Tuhan ku, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku dan kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihaniku sejak aku kecil lagi.

Jelaslah di sini, begitu besar dan tinggi darjat ibu bapa dalam kehidupan seorang hamba Allah. Seteruk mana dan seburuk mana sikap ibu bapa, mereka tetap ibu bapa. Kita tidak boleh menafikan kehadiran mereka dalam hidup kita. Tanpa cinta mereka, tiada kita di dunia.

Buat SYURGA HATI ku, IBU dan ARWAH AYAH, kalian adalah sumber kekuatan diriku. Tidak mampu aku membalas semua jasa dan pengorbanan kalian. Kerana kalian, aku mampu berdiri seteguh kini. Terima Kasih atas curahan rasa dan bukti cinta kalian padaku dan anak-anak kalian yang lain. Kalian SYURGA HATI buat kami. Tiada siapa yang mampu menggantikan tempat kalian dalam hati walaupun ternyata mereka adalah ibu dan bapa buat suami dan isteri anak-anak kalian nanti. Kerana kalian diriku ada dan kerana kalian diriku bahagia.


SYURGA HATI..

Teruntukmu di hatiku,
Ingin sekali aku berkata,
Buat segala susah payah,
Atas segala perih jerih,
Yang telah dikorbankan untukku.

Jasa Ibu..
Melahirkan dengan bersusah payah,
Walau nyawa di hujungnya,
Namun dikau rela,
Biar dirimu rasa peritnya,
Saat satu nyawa keluar dari rahimmu,
Demi rasa cinta padu pada sang bayi,
Dikau biarkan kesakitan itu mencucuk diri.

Kau tidak pernah mengeluh,
Malah dikau sentuhku dengan rasa syukur,
Saat tangisanku sampai di cupingmu,
Aku tahu ada senyuman manis di kerut wajahmu.

Bakti Ayah..
Sambutku dengan laungan azan bergema,
Dikau bisik di telingaku kalimah Allah,
Lalu kau ciumku dengan rasa gembira,
Kerana akulah permata berharga.

Bangunmu seawal pagi,
Demi mencari sisipan rezeki,
Biar kepenatan menerjah,
Kau tidak pernah peduli,
Kerana cintamu pada kami.

Atas pengorbanan dan cinta,
Kerana kasih sayang yang setia,
Aku menjadi insan bahagia,
Kalian didikku dengan ajaranNya,
Juga sunnah rasulNya.

Syurga Hati..
Dalam diri ini hanya kalian syurga hati,
Mencorak akhlak dan sahsiah cahaya mata,
Ayah Ibu..
Insan mulia..
Tak mampu aku membalasnya,
Segala rasa derita dalam membesarkan.

Syurga Hati..
Ku doakan agar kalian gembira,
Agar tiada lagi derita buat kalian,
Sentiasa aku meminta,
Agar DIA merafakkan cintaNya pada kalian,
Dan tempatkan kalian di syurga yang selayaknya,
Kalian ditempatkan.




SYURGA HATIMU : Aimuni Marjono




 


Tuesday 9 October 2012

KAU SAHABAT ABADI

SAHABAT, KAWAN, TEMAN, RAKAN semua membawa maksud yang sama dan serupa. Bezanya bagaimana seseorang itu BERSAHABAT, BERKAWAN, MENJADI TEMAN atau MENJADI RAKAN. Menurut penilaian saya sendiri, SAHABAT adalah seseorang yang sangat rapat dengan kita dan seseorang yang CUKUP MEMAHAMI, yang sentiasa cuba MENERIMA dan MEMBERI. Apabila kita susah, sedih dan kecewa, dia menjadi TAMAN yang sentiasa mewarnai hati. Tidak kiralah ketika itu bagaimana pun keadaan kita. Dia tidak pernah meninggalkan. ITU SAHABAT! Bila kita tengok wajahnya, ketenangan menjalari disegenap pelusuk jiwa. Tanpa ada rasa ragu dan sangsi. Sentiasa MEMPERCAYAI walau dia mendengar pelbagai cerita tentang kita kerana dia KENAL dan CUKUP KENAL siapa kita.
 
KAWAN pula hanya sekadar kawan yang TIDAK mengenali kita sepenuhnya. Hatinya dan kasih sayangnya pada kita juga cepat berubah mengikut peredaran masa. Berhubungan atau tak, sedikitpun tidak menjadi masalah pada dia dan kita.
 
TEMAN & RAKAN pula adalah sinonim dengan TEMAN dan RAKAN sekerja, sekuliah dan yang sama waktu dengannya. Juga TIDAK mengenali kita dengan sepenuhya. Hanya sekadar akrab apabila bersama.
 
Pada saya sendiri, hakikat PERSAHABATAN itu sangat indah. Kerana seorang SAHABAT yang cukup mengenali diri kita dengan sebenarnya kita adalah SAHABAT yang mampu menerima KELEMAHAN dan KEKURANGAN kita tanpa sedikitpun dia TIDAK PERNAH mahu meninggalkan kita bersendirian. Yang selesa apabila bercerita dan sentiasa memberi kata semangat apabila kita ditimpa duka. Yang MEMBANTU saat kita memerlukan tidak kira dari segi dan aspek apa sekalipun. Yang sentiasa BERTANYA khabar kita dan yang SENTIASA memaniskan wajahnya apabila bersama kita. Seorang SAHABAT tidak akan sekali-kali menceritakan kisah kita pada sesiapa pun apabila dia telah diamanahkan untuk menyimpannya. Seorang SAHABAT juga tidak akan menyimpan segala rasa sangsi kepada kita dan sentiasa meniupkan ukhuwwah agar lebih erat dan sempurna.
 
Seorang yang bergelar SAHABAT, TIADA galang gantinya. Pergilah ke seluruh pelusuk dunia sekalipun, dia tetap SAHABAT. SELAMANYA dia SAHABAT. Bila dia DEKAT, terasa mencintai dan saat dia JAUH teasa merindui. Itulah SAHABAT. Kehadirannya sentiasa DIDAMBA. Kehilangan dia selalu DIRINDUI.
 
Tidak saya nafikan, saya punya kawan-kawan yang dekat dengan jiwa saya. Tetapi untuk menobatkan mereka sebagai SAHABAT, belum mampu bagi saya. Kerana ERTI SAHABAT amat besar dan bermakna. Tetapi, tidak saya sangkal, kehadiran mereka membawa seri. Cuma untuk mewarnai sekeping hati, mereka juga belum mampu. Saya tidak mengharapkan seorang SAHABAT yang SEMPURNA. Cukuplah SEKADARNYA dan yang PALING PENTING, dia dan saya bersama mencipta CITA dan CINTA atas PERSAHABATAN LILLAHITA'ALA.
 
Bersama-sama melakar WACANA KEHIDUPAN agar lebih indah terarah berpandukan SYARIAT dan bersama MENJIWAI antara SATU SAMA LAIN.


KAU SAHABAT ABADI..

Saat bertentang mata,
Senyum indah terbias di wajah,
Bertukar leretan senyuman,
Kau hulurkan salam ukhuwwah,
Lebih mengeratkan,
Tautan pipi sunnah Nabi.


Kau pandu aku menuju Ilahi,
Lantas kau ukir cerita abadi,
Bersama...
Kau pamerkan pada ku,
Indahnya biasan syurga,
Dan kau pinta aku turut sama berdoa,
Agar ikatan masih utuh ketika di 'sana'.


Pesananmu sentiasa memekar hati,
Mewarnai seri hari,
Titipan demi titipan,
Kau kirimkan,
Mengecap redha Ilahi,
Dan demi sebuah ikatan hati.



Kau Sahabat Abadi..
Saat berjauhan kau tidak melupakan,
Malahan kau semakin berdekatan,
Membelah jiwa hati,
Dengan runtunan cinta Rabbi,
Seribu macam dakwah kau tarbiyahkan,
Sejuta kata hikmat kau lafazkan,
Walau hanya sekadar cebisan taipan.


Saat kau diuji duka,
Kau sentiasa menghadiahkan tawa,
Walau galau kau redha,
Kerana kau serahkan sepenuhnya pada Illah,
Bahuku kau jadikan curahan air mata,
Bersama...
Bersatu tangisan kita. 

Saat aku diduga derita,
Kau sentiasa ada mereda gelisah,
Kau pinjamkan ketabahan,
Melalui sentuhanmu dan pancaran mata,
Kau ucapkan kata cinta,
Padaku juga Rasul dan DIA. 

Saat kita sama berjaya,
Kau genggam tanganku gembira,
Bersama...
Kau janji kita kan selamanya,
Kerana..
Jiwa kau telah Allah pateri,
Dengan jiwaku berpadu hati,
Kataku...
Kau Sahabat Abadi.


Sahabat Abadi : Aimuni Marjono

 

Monday 8 October 2012

Saat Hidayah Menyapa

Hidayah merupakan anugerah terindah dari Allah kepada umat manusia. Saat datangnya hidayah, semuanya terasa begitu indah. Seperti kelahiran semula kerana terasa diri takut untuk berbuat dosa. Hidayah adalah petunjuk dari Allah seperti maksud ayat al-Quran :

"Sesungguhnya telah datang dari Tuhanmu bukti2 yg terang, maka barangsiapa yg melihat bukti2 itu (hidayah), maka bermanfa'atlah bagi dirinya"
 
 
Hidayah itu perlu dicari. Bukan datang bergolek di depan mata. Saat hidayah datang menyapa, hidup akan lebih terarah dan bahagia. Bukan saja mereka yang sememangnya dilahirkan Islam saja yang diberi hidayah Allah, malah mereka yang dilahirkan bukan Islam juga turut diberi hidayah oleh Allah apabila Allah berkehendakkan.
 
"Barangsiapa yg Allah kehendaki mendapat petunjuk, Dia melapangkan dadanya untuk Islam"
 
Teringat saya, kisah seorang sahabat yang mendapat hidayah dan petunjuk Allah. Dia bukanlah dilahirkan sebagai Islam. Dia dilahirkan sebagai bukan Islam iaitu berbangsa cina. Saat hidayah datang menyapanya, dia seupayanya mahu mencari sinar kehidupan dengan berpandukan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Mendapat tentangan daripada keluarga adalah detik yang amat perit untuknya. Dia terpaksa menanggung keperitan apabila ibu dan ayahnya tidak lagi menganggap dia sebagai anak. Dia di halau keluar dari rumah mereka dan dibiarkan terkontang kanting tanpa tempat tinggal.
 
Saat itu, hanya Allah yang tahu bagaimana perit dan pedihnya dia meneruskan kehidupan. Tetapi kerana keimanannya, dia teruskan melangkah dan tetapkan berjalan sehinggalah dia menemui titik pertemuan dengan seorang lelaki yang kini telah pun bergelar IMAM kepada dirinya. Meladeni detik-detik kepayahan dia tanpa keluarga, kerinduan sentiasa menjadikan dia lemah. Pernah dia terfikir untuk kembali ke asalnya tetapi, fitrah kehambaannya sebagai hamba Allah, menghalangnya untuk berbuat demikian. Malah, keimanannya semakin bercambah dari hari ke hari akibat kerinduan pada Allah yang tidak bertepi. Dia memilih Allah walaupun dia kehilangan keluarga. Sehinggalah saat dia menjadi orang yang berjaya, dia tidak pernah melupakan keluarganya. Dan kini, atas doa yang tak pernah putus-putus, keluarganya juga telah beroleh hidayah Allah.
 
Hidayah Allah tidak pernah mengecewakan. Malah, andai kita yakin dengan segala apa yang Allah tentukan, keimanan akan bercambah di setiap hembusan nafas kita lantas mewarnai hidup kita sehingga kita berjaya dan beroleh kecemerlangan dunia dan akhirat. Menjadi hamba yang diredhai hidup oleh Allah adalah detik yang ditunggu-tunggu oleh setiap insan.
 
Lihat saja, apakah dengan kejadian dan kewujudan alam ini belum cukup untuk membuktikan keESAan dan keKUASAan Allah SWT? Alam ini adalah buktinya. Apabila kita telah memperoleh hidayah dari Allah, secara sendirinya, kita akan bertafakkur tentang kejadian alam. Lantas, akan membuahkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk merenung keESAanNya.
 
Carilah dan usahalah untuk mendapat hidayah Allah. Percayalah, apabila hidayah menyapa hati, ada sinar yang akan menerangi. Cahaya hidayah itu bukan mudah untuk diperoleh. Apabila telah diberi Allah, peganglah dan genggamlah hidayah itu agar ia tak terlepas dari genggaman. Berusalah untuk terus istiqomah dalam menggapai redha Allah dan mencapai hidayah yang dimiliki sehingga ke dasarnya. Manusia tidak akan lemah dengan hidayah malah bertambah kekuatan kerana dalam hidayah itu tersemat azimat yang Allah letakkan agar hambaNya terus menjadi hamba yang setia disisiNya.
 
HidayahMU Untukku : Aimuni Marjono



 

 


 


Saturday 6 October 2012

Rindu Sentuhan Ayah

Aku merenung potret keluarga yang setia bergantungan pada dinding bilikku. Lengkap sebuah keluarga. Tanpa lompang walau seorang pun. Keluarga bahagia. Ibu, ayah dan adik beradik yang amat aku rindui. Terasa mereka terlalu dekat di hati. Walau kini terpaksa berjauhan demi sebuah masa depan. Keluarga bahagia asas paduan ummah. Itulah bingkisan yang pernah si ayah titipkan untuk anak-anak kesayangan.

"Ingat, walau di mana kita berada, kita tetap sujudkan kiblat yang sama," Pesanan sang ayah sentiasa memekar di hati. Ayah, seorang lelaki yang pandai membeli jiwaku dengan nasihat berharganya. Walau aku kesulitan, walau ditimpa kepayahan, ayah tak pernah meninggalkan. Malah dia setia memberi kata semangat dan bicara hikmat agar aku bangkit kembali meneruskan masa depan.

Ayah seorang yang amat tegas. Tetapi disebalik ketegasan, kelembutan jelas terukir di riak wajah. Menjadi sahabat bila anak-anaknya memerlukan nasihat. Ayah....

"Ayah, dah besar nanti Intan nak jadi cikgu. Ayah suka tak?" Masih aku teringat kasih ayah sewaktu aku menceritakan tentang cita-citaku. Ayah senyum dan menggosok lembut rambutku. Terasa tenang dalam  dakapan seorang ayah.

"Suka. Kalau nak jadi cikgu, Intan kena belajar rajin-rajin. Boleh masuk universiti." Ayah meniupkan kata semangat.

"Susah ke nak jadi cikgu?" Ayah menggeleng mendengar pertanyaanku. Aku senyum. Terasa lega dengan tindak balas yang ayah berikan.

"Intan nak jadi cikgu apa?" Ayah bertanya lembut.

"Nak jadi cikgu ajar agama. Intan nak jadi macam ayah dan ibu. Ayah baca al-quran best sangat. Ibu pulak pandai berzikir." Ayah tergelak kecil mendengar jawapanku. Aku tahu, ayah bahagia dengan cita-citaku. Mahu megikut jejak mereka. Syurga cinta dalam hatiku.

"InsyaAllah. Intan kena doa banyak-banyak tau. Minta pada Allah, tunaikan impian Intan tu." Ibu pula bersuara. Pipiku dicium mereka. Aku terasa terlalu disayangi.

Aku tersentak apabila mendengar pinti bilikku diketuk. Cepat-cepat aku mengesat air mata yang membasahi pipi. Allahu Rabbi. Apakah aku tidak boleh menerima takdirMU ini?

"Boleh ibu masuk?" Aku hanya mengangguk. Apabila terpandang saja wajah si ibu, hatiku bergetar sayu. Lantas, ku dakap ibu ke dalam pelukanku. Tangisan kami berpadu. Tetapi, tangisanku lebih lagi. Aku tahu ibu menyembunyikan kesedihannya di sebalik sebuah runtunan senyuman.

"Dah takdir Allah sayang. Redhakan." Aku memandang wajah ibu. Ada air yang cuba ditahan dari mengalir. Aku memegang muka suci ibuku.

"Intan tahu bu. Ini takdir Allah. Intan terima dan Intan redha." Aku cuba menipu. Aku tidak mahu ibu lagi sedih melihat kesedihanku.

 
**************************
 
Masih terbayang di ruang minda, bagaimana peritnya ayah menanggung kesakitan. Walau dia cuba menafikan, namun aku tahu dia sekadar tidak mahu aku bersedih. Adik-adikku juga tidak dapat menahan tangis apabila melihat ayah memegang perutnya.
 
"Ayah sakit?" Adik kedua ku bertanya? Ayah hanya menggeleng kepalanya. Aku tahu ayah tipu. Kerut di wajahnya menggambarkan kesakitan yang ditanggungnya saat itu.
 
"Intan, panggil ibu. Bacakan yaasin untuk ayah. Mana tahu, bila isteri dan anak-anak ayah bacakan yaasin, sakit ayah boleh berkurangan. Boleh?" Aku mengangguk. air mata sudah lencun membasahi pipi. Lantas kami mengalunkan bacaan yaasin. Tidak sanggup rasanya melihat wajah tua ayah. Ya, Allah, sembuhkan ayahku.
 
Selesai membaca yaasin, ayah senyum. Seorang demi seorang dari kami dipanggilnya. Dia meletakkan bibir keringnya pada dahi setiap kami. Hangat kucupannya. Aku memeluk ayah sekuat hatiku. Tidak mahu melepaskan. Aku terlalu rindukan ayah. Dua tahun aku di luar negara demi menggapai cita, kini aku bercuti kerana mahu dekat dengan ayah.
 
"Ayah, Intan sayang ayah." Terluah kata sayangku pada ayah. Ayah senyum. Kuat dakapannya pada tubuhku. Lemah tubuh ayah membuatku bertambah sedih. Jika diizinkan Allah, aku mahu memeluk ayah buat selamanya. Tetapi siapalah aku untuk meminta yang berlebihan? Hanya doa yang mampu aku titipkan.
 
**************************
 
Hari pernikahanku tiba. Ayah begitu bersemangat untuk menikahkan ku dengan kudratnya sendiri kerana aku anak sulungnya. Upacara pernikahan tiba. Segaknya ayah mengenakan gamis putih. Bercahaya wajahnya. Aku lihat ayah sihat seperti dulu.
 
Selesai saja suamiku melafaz akad, ayahku jatuh menyembah bumi. Aku kaget. Ayah.....
 
"Ayah, bangun ayah. Jangan tinggalkan Intan. Intan perlukan ayah. Hari ni hari bahagia Intan." Tersedu-sedu aku merayu ayah bangun kembali. Namun ternyata Allah lebih menyayangi. Kini perginya seorang wali. Nabil, lelaki yang baru saja menjadi suamiku menenangkanku. Aku memeluk ibu dan adik-adikku. Begitu cepat rasanya ayah pergi meninggalkan kami. Ayah pergi di saat inaiku masih merah di jari. Baru saja mewalikan pernikahanku, kini ayah pergi buat selamanya.
 
Majlis walimah menjadi majlis tahlil juga. Hari bahagiaku tiada makna tanpa ayah. Segala kenangan bersama ayah kekal bersemadi dalam sanubari.
 
"Intan, jadilah isteri yang solehah dan ibu mithali. Jadi macam ibu. Syurga hati suami. Ayah lepaskan Intan pada Nabil dengan ikhlas hati ayah." Kata-kata ayah malam semalam begitu menggamit hati. Kini, ayah melepaskan ku selamanya.
 
"Intan janji akan jadi syurga buat suami Intan. Intan sayang ayah."
 
Wali yang tiada berganti. Ayah yang tidak mampu ditandingi. Lelaki yang sentiasa memberi kasih sejati juga suami buat isteri yang melahirkan cahaya hati. Terima kasih Ayah.
 
Tinta Pena : Aimuni Marjono
 


Langit Cinta

Di bawah langit cintaMU,
Aku berdiri dan berlari,
Ingin aku melangkah sendiri,
Namun kegagalan ku temui,

Kerana aku perlukan cinta Ilahi,
Untuk ku lenyapkan noktah emosi..


Ingin sekali aku berjalan,              
Mencari hala tuju diri,
Namun ternyata aku lemah,
Kerana aku terlalu goyah,
Dengan dunia yang serba indah..

Di bawah langit cintaMU,     
KAU kuatkan aku dengan MEHNAH,
KAU ajar aku dengan MUSIBAH,      
KAU didik aku dengan MUJAHADAH,
Sehingga aku mampu menggenggam TABAH..

Di bawah langit cintaMU,
Bermula tarikan nafasku,
Sehingga hujung pernafasanku,
Setiaku hanya padaMU,
Cintaku satu hanya untuk Yang Maha Tahu.. 

Hamba Langit CintaMU : Aimuni Marjono

 




Friday 5 October 2012

Artis..Mereka Juga Manusia Biasa

MENG'IDOLA'KAN ARTIS BARAT

Benar atau tidak, segelintir masyarakat khususnya golongan belia remaja punya artis kegemaran mereka dalam atau luar negara. Sejauh mana minat itu, hanya hati yang mampu memberi jawapan. Sekadar minat kerana bakat, suara, lakonan atau pun peribadi seseorang artis itu? Ataupun minat kerana ketampanan wajah atau pun kecantikan rupa? Check your heart. Zaman kini, sememangnya seseorang artis itu akan dijadikan idola tidak kiralah dari segi apa sekalipun. Baik atau tidak corak kehidupan artis tersebut, tidak diambil peduli. Apa yang penting, lakonannya mantap, suaranya tip top. Bila menari, alahai mampu menggetarkan hati. Bila menyanyi, mampu menggoncang nurani.

"Hensemnya dia ni"

"Seksinya. Comel."

"Aduh muka dia, boleh terpikat ni."

Inilah antara komentar-komentar buat si artis.

Apakah kita lupa, Allah melihat pada hati kita? Apakah layak kamu memuji dan memuja manusia yang juga makhluk ciptaanNya? Menjadikan artis kegemaranmu sebagai idola walau sahih yang artis tersebut bukanlah artis yang beragama Islam. Mengikut tariannya, mengikut trend dia berpakaian yang jelas jauh tersasar dari ajaran dan panduan Islam. Apakah kita lupa, cara Islam itu lebih indah? Fikirkan... Apakah perlu kita menjadikan artis yang sudah nyata tiada tamadunnya, tiada cara Islamnya, juga yang menyembah tuhan selain Tuhan kita sebagai idola? Naudzubillah.

Usahlah terlalu meng'idola'kan mereka yang tidak pernah meng'idola'kan Nabi kita sebagai ikon mereka. Hanya buang masa! Apakah kamu rela kiranya ada sesetengah dari lirik lagu dan jalan cerita yang dicipta bangsa mereka, menghentam kita sebagai Islam? Menghina nabi kita dengan sewenangnya? Mempermainkan Allah, Tuhan kita umpama mempersendakan kekuasaannya. Lihat saja lirik lagu It Will Rain yang boleh menyebabkan kita terkeluar dari landasan aqidah lantas menjadi kaffir tanpa kita sedar.

There’s no religion that could save me

Seronok menyanyi tanpa sedar liriknya akan menjadikan Iman kita runtuh. Punah ranah dalam sekelip mata. Jika kita tersedar yang lirik tersebut akan menyebabkan Allah murka, lantas kita kembali bersyahadah cinta, Alhamdulillah. Masih ada Iman yang bertapak di hati. Tetapi kiranya kita bernyanyi tanpa menyedari lirik tersebut telah menyebabkan kita termasuk dalam golongan yang kufur dan tiada sempat untuk kembali mengucap kalimah syahadah, apakah pengakhiran kehidupan kita? Murtad tanpa sedar!


FITRAH NALURI MANUSIA

Ya, sememangnya lumrah manusia meminati. Tidak saya nafikan, saya juga turut meminati segelintir artis. Tetapi sejauh manakah rasa minat tersebut? Adakah dengan benar-benar mencintai sehinggakan 'Lautan Api Sanggup Ku Redahi'? Atau hanya sekadar meminati tanpa punya apa-apa 'feeling'? Tanya sama hati...
 
Berhabis duit beratus-ratus semata-mata mahu ke konsert. Bukankah pembaziran namanya. Tidak salah jika konsert tersebut dianjurkan kerana memberi kebaikan, seperti Konsert Amal atau pun konsert-konsert untuk menyumbang kepada negara-negara Islam kita di luar sana. Mungkin dengan cara sebegitu, tabung derma untuk mereka yang memerlukan, akan terisi dan dapat pula disalurkan untuk kegunaan saudara kita di sana. Konsert yang mengasingkan lelaki dan wanita. Juga konsert Ilmu yang turut menjemput penceramah dan pendakwah-pendakwah untuk berdakwah. Bukan sekadar konsert nyanyian. Tetapi, jika kita menghabiskan beratus-ratus malah ada yang sanggup berhabisan semata-mata kerana mahu ke konsert-konsert liar yang menjemput artis-artis barat yang sudah kita ketahui akan berpesta muda-mudi, bercampur gaul tanpa peduli agama yang dianuti. Berpakaian seksi, berpelukan bagai suami isteri. Tak kurang juga, yang membawa minuman 'syaitan' untuk menambah lagi keasyikan. Di manakah nilaian diri kita ketika itu? Kerana terlalu meminati, lantas harga, maruah dan jati diri rela menjadi korban.
 
Fitrah itu Anugerah tetapi jangan sampai ia menjadi fitnah.


FACEBOOK SEBAGAI MOMENTUM MELUAH RASA

Hebatnya dunia masa kini. Facebook, twitter menjadi momentum utama untuk berhubung. Lebih indah lagi bila artis kegemaran kita 'friend' di alam maya tersebut. Indahnya dunia, seperti ana yang punya. Tetapi, apakah kita lupa, Allah menyuruh kita menjaga maruah diri. Harga diri sepatutnya diletak tinggi. Jangan biarkan orang memandang kita sebagai 'gedik'. Kalau boleh, semua status artis tersebut kita nak COMMENT, nak LIKE. Terkadang tu sehingga lupa, yang sikap kita itu mengundang benci.
 
Tanya hati, bila difikirkan semula, apakah kita pernah terfikir bila kita memuji fizikal atau apa saja yang berkenaan dengan artis yang kita 'gila'kan tu, artis tu suka ke? Pernah tak fikir persepsi artis itu sendiri kepada diri kita? Artis juga manusia. Punya hati dan juga rasa. Tak mustahil kiranya artis tersebut turut 'meluat' dengan sikap kita yang terlebih batas. Itu belum lagi jumpa berdepan.
 
Di laman sosial juga seharusnya kita menjaga adab. Lebih-lebih lagi peminat wanita. Jangan sewenangnya membiarkan orang mentafsir dirimu hanya kerana apa yang kita taip di FB mahupun twitter. Cukuplah kiranya kamu hanya meminatinya sebagai artis. Usah terlalu taksub seperti kamu mahu memberitahu dunia 'AKU PEMINAT NOMBOR 1 DIA'.


ANDAI BERTEMU

Ingat! Jika bertemu secara sengaja atau tidak dengan artis yang kamu minati, istiqamahlah untuk menjaga mata dan hati. Jangan terlalu menunjukkan rasa 'cinta' dan 'suka' kamu terhadap artis tersebut sehinggakan kamu telah 'berjaya' menunjukkan siapa kamu sebenarnya.

Elakkan bergambar berduaan. Takut-takut nanti menjadi fitnah. Sukakah kiranya diri kita dijadikan bahan fitnah dunia? Melainkan artis tersebut sama jantina. Silakan jika kamu mahu berbuat demikian. Jika benar kamu menyayangi artis yang kamu minati itu, jangan biarkan dia juga mendapat saham dosa akibat daripada sikap kamu yang terlampau mengagungkan sehinggakan kamu turut mengheret dia ke kancah dosa apabila kamu dengan slumbernya memuji dia seperti dialah segala-galanya.

Jaga Iman agar tak berkurangan. Jaga Hati agar tak tersakiti. Jaga Diri agar tak dimurka Ilahi.


Tulusly : Aimuni Marjono

Thursday 4 October 2012

Akhi Wa Ukhti

Akhi Wa Ukhti..
Kau ciptaan terindah Tuhan,
Diberi akal fikiran,
Dibekalkan hati yang Allah letakkan IMAN,
Dihadiahkan ISLAM sebagai Ad-Deen,
Al-Quran dititipkan sebagai panduan..

Akhi Wa Ukhti..
Allah pandang dikau tinggi,
Tetapi kau haruslah berpekerti,
Berperibadi mengikut corak Nabi,
Kerana kau bakal mencorak masa depan negara,
Bakal menjadi pemimpin juga ibu bapa,
Pendakwah juga harapan semua,
Kau hebat jika kau solat,
Kau kuat jika kau baca al-Quran,
Kau gagah jika kau turut berjihad,
Kau perwira jika kau mampu melawan nafsu syaitan..

Akhi Wa Ukhti..
Jagalah pergaulan juga ikhtilat,
Agar kau sentiada mendapat redhaNya,
Titiplah kesabaran yang tinggi dalam diri,
Agar terdidik fitrah pahlawan sejati,
Kerana dikau bakal mengubah duniawi..

Akhi Wa Ukhti..
Ingatlah..
Duniawi ini hanya pentas lakonan,
Jadilah pelakon yang di pandang Allah,
Kerana di akhirat kelak kau kan di soalNya,
Apakah tanggungjawabmu sebagai khalifah kau galas?
Apakah kau sering berpesan-pesan kepada kebaikan?
Semoga kau terhindar dari pedihnya azab siksa.

Akhi Wa Ukhti..
Kau disayangi,
Tetapi lebih indah kau disayangi Ilahi,
Perjuangkan HAK Allah dan ISLAM sejajar seruan Nabi,
Agar kau mampu menggapai manisnya syurgawi..

Akhi Wa Ukhti : Aimuni Marjono

Muhammad..Aku Rindu


Muhammad merenung buku Biografi Agung Rasulullah. Umurnya baru saja mencecah angka enam tetapi sifatnya terlalu matang. Agak pendiam dan lebih suka membaca terutama bahan-bahan bacaan yang menceritakan sejarah-sejarah zaman Rasulullah S.A.W dan para sahabat termasuk zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin.

“Adik, mana adik dapat buku ni?” Puan Hasnida, ibu kepada Muhammad bertanya. Hairan melihat anak tunggalnya itu memeluk buku itu. Puan Hasnida mengambil buku itu lembut dari pelukan anaknya.

“Cikgu adik hadiahkan. Adik kan dapat nombor satu masa periksa hari tu.” Ringkas jawapan Muhammad. Puan Hasnida menarik Muhammad ke dalam pelukannya. Anaknya itu sememangnya tidak banyak bicara. Nakalnya juga tiada. Sikapnya agak matang berbanding usianya.

“Ibu, adik rindu Nabi Muhammad.” Dalam kesunyian, Muhammad meluah kerinduan. Puan Hasnida sebak. Bersyukur kerana anak yang lahir dari rahimnya itu tahu erti merindui Muhammad.

“Kalau adik rindukan Nabi Muhammad, adik mesti sentiasa berselawat untuk baginda dan ikut semua sunnah baginda.” Puan Hasnida senyum. Dia faham kerinduan seorang anak kecil kepada kekasih Allah itu.

“Boleh adik tanya ibu sesuatu tak?” Muhammad merenung kedua mata wanita yang melahirkan dirinya. Puan Hasnida mengangguk.

“Kenapa ibu dan ayah namakan adik dengan nama Muhammad? Apa maksud Muhammad ya ibu?” Petah pertanyaan Muhammad.

“Muhammad tu maksudnya Yang Terpuji. Ibu dan ayah mahu adik mencontohi semua sifat Nabi Muhammad. Sebab tu ibu dan ayah beri nama Muhammad pada adik. Sifat Muhammad itu sangat terpuji sayang. Ibu dan ayah juga merindui Nabi Muhammad dan kami memknakan kerinduan kami dengan memberi permata hati kami nama seindah nama Muhammad.” Ada titis jernih yang mengalir dari tubir mata Puan Hasnida. Rasa kerinduan kepada pesuruh Allah itu terlalu mendalam. Puan Hasnida turut memeluk buku Biografi Agung Rasulullah itu erat ke dadanya.

“Terima kasih ibu.” Muhammad menyapu air mata ibunya. Puan Hasnida mengusap lembut rambut anak kesayangannya.

Puan Hasnida meninggalkan anaknya sendirian. Biarlah anaknya itu menghabiskan masa senggangnya dengan membaca sirah Nabi Muhammad. Anaknya itu sudah terlalu matang. Matang dalam berfikir dan matang dalam membuat penilaian tentang sesuatu. Semoga akhlak anaknya mencontohi akhlak acuan Nabi Muhammad.

Setelah susuk tubuh ibunya hilang di celahan pintu, Muhammad kembali membelek buku pemberian gurunya itu. Dia membuka helaian demi helaian buku tersebut. Bab satu yang menceritakan salasilah keturunan Nabi Muhammad dibacanya. Kini, dia mengetahui Nabi Muhammad juga dinamakan Ahmad juga yang membawa maksud Yang Terpuji.

Muhammad tertarik dengan sejarah bagaimana ibu Nabi Muhammad, Aminah mendapat mimpi yang meminta Aminah memberi nama anak di dalam kandungannya dengan nama Muhammad pada bulan pertama. Aminah juga didatangi oleh Nabi Adam sehinggalah bulan kesembilan yang juga turut meminta Aminah memberi nama Muhammad kepada bayi di dalam kandungannya apabila bayi iu dilahirkan kelak.

‘Ibu dapat mimpi juga ke macam ibu Nabi Muhammad dapat mimpi?’Muhammad berbisik halus.

‘Mungkin ibu pun dapat mimpi agaknya sebab tu ibu bagi adik nama Muhammad.’ Masih lagi cuba berteka teki denga dirinya sendiri. Ada senyuman yang melirik di bibir Muhammad. Lumrah anak kecil yang sentiasa berfikir walaupun jelas fikirannya itu tidak bertepatan dengan logik akal.

****************************************

Puan Hasnida dan Encik Muaz masuk ke bilik Muhammad. Ketika itu, Muhammad ralit membaca buku yang menjadi sahabatnya itu. Puan Hasnida dan Encik Muaz pelik melihat air mata dari mata comel anak mereka. Mereka mendekati Muhammad.

“Kenapa anak ayah menangis ni?” Encik Muaz bertanya. Muhammad memeluk ayahnya. Erat seeratnya. Puan Muaz melontar pandangan ke arah isterinya dan menghadiahkan sebuah senyuman.

“Adik rindukan Nabi Muhammad. Bila adik baca buku ni, adik teringin nak berjumpa dengan nabi. Adik rindu sangat pada Nabi Muhammad.” Begitu sekali kerinduan seorang anak kecil kepada Habiballah itu. Pelukan Encik Muaz semakin erat.

“Sayang, siapa yang tak mahu berjumpa dengan Nabi Muhammad? Ayah, ibu dan semua orang Islam mesti teringin nak berjumpa nabi. Kalau adik betul-betul mahu jumpa dan bertemu Nabi Muhammad, adik banyakkan berdoa. InsyaAllah, kalau adik berdoa dengan seikhlas hati, Allah akan beri adik peluang untuk bertemu Nabi Muhammad.” Enci Muaz bijak memberi jawapan. Siapa yang tidak mahu bertemu dengan kekasih Allah itu?

“Allah akan beri adik peluang jumpa Nabi Muhammad? Betulkah ayah?” Muhammad teruja. Benarkah? Tapi bagaimana? Encik Muaz mengangguk.

“Betul sayang. Allah tidak akan menghampakan hamba-hambaNya. Mungkin Allah akan beri adik peluang bertemu Nabi Muhammad dalam mimpi.” Muhammad mengerutkan dahinya. Dalam mimpi?

“Tapi ayah, mimpi itukan mainan syaitan. Ibu selalu pesan pada adik macam tu,” Muhammad masih belum berpuas hati dengan jawapan si ayah. Puan Hasnida senyum. Bijak sungguh anaknya itu berfikir dan berkata-kata.

“Memang mimpi yang buruk itu mainan syaitan tetapi siapa-siapa yang bermimpikan Nabi Muhammad, itu adalah mimpi yang benar. Syaitan tak boleh menyerupai Nabi Muhammad. Bukan semua orang bertuah dapat bertemu Rasulullah dalam mimpi. Hanya yang dipilih Allah saja sayang.” Encik Muaz menerangkan.

“Ohhh, baru adik faham. Ayah dan ibu pernah mimpi Rasulullah?”

“Tak sayang. Tapi kami juga teringin mahu mimpikan Rasulullah.” Puan Hasnida menjawab. Lembut tutur katanya. Dia mendepangkan tangan dan anaknya itu masuk ke dalam pelukannya. Terasa bertuah kerana dihadiahkan oleh Allah cahaya mata yang soleh walaupun umurnya baru enam tahun.

“Ibu dengan ayah pun kenalah doa. Nanti adik doakan untuk ibu dan ayah sekali tau. Cikgu adik cakap, doa anak soleh Allah makbulkan. Adik anak soleh kan ibu?” Mulut comel itu menutur kata.

“Iya sayang. Adik anak soleh ibu dan ayah.” Puan Hasnida sebak. Harapannya pada Muhammad cukup tinggi. Biarlah anaknya itu tidak cemerlang di dunia tetapi cemerlang di akhirat. Itu lebih diimpikan.

“Ayah, ibu, boleh tak kalau ibu dan ayah panggil adik dengan nama Muhammad?” Permintaan Muhammad itu mencetuskan tawa kecil keduanya. Puan Hasnida dan Encik Muaz memeluk Muhammad dengan pelukan kasih sayang.

“Boleh sayang.” Serentak jawapan dari Puan Hasnida dan Encik Muaz.

“Baiknya ibu dan ayah Muhammad.” Comel pujian Muhammad.

“Muhammad kami lagi baik dan bijak.” Encik Muaz bahagia. Kehadiran Muhammad adalah cahaya yang menyuluh kehidupan dia dan isterinya. Cahaya Muhammad. Muhammad menghadiahkan kucupan kepada keduanya.

***************************************

Sewaktu di sekolah, Muhammad lebih gemar membaca dari bermain. Dia mahu mengkhatamkan pembacaannya. Dia mahu menghabiskan buku Bioografi Agung Rasulullah. Cikgu Ainin turut duduk di sisinya. Anak muridnya yang seorang ini sememangnya tidak banyak karenah. Dalam pelajaran juga dia yang paling kedepan. Fikiran dan akalnya juga seperti orang dewasa. Membaca juga sungguh fasih. Tidak hairanlah dia menjadi juara ketika Pertandingan Alam Ria Pasti Malaysia tahun lalu dalam acara bercerita. Muhammad seindah nama dan pekerti Rasulullah. Semoga anak kecil ini akal menjadi dai'e suatu hari nanti.

“Muhammad dah baca sampai mana?” Cikgu Ainan bertanya. Muhammad mengalihkan pandangannya kepada guru kesayangannya dan melemparkan senyuman. Jelas kelihatan kedua lesung pipit di pipi kiri kananannya.

“Sampai Pemergian Rasulullah.” Ringkas jawapan Muhammad. Cikgu Ainan memeluk anak murid kesayangannya. Sikap dan sifat Muhammad yang berbeza dari kanak-kanak seusianya.

“Cepatnya Muhammad baca.” Timbul kekaguman pada Muhammad. Sungguh, cepat benar Muhammad mahu menghabiskan sebuah buku yang pada perkiraan kanak-kanak sepertinya agak tebal juga buku tersebut.

“Muhammad suka buku ni cikgu. Cikgu, apa maksud ummati?” Petah pertanyaan Muhammad. Lagaknya seperti seorang dewasa.

“Ummati itu bermaksud umatku. Nabi Muhammad sebutkan ummati..ummati..ummati sebanyak tiga kali sewaktu Nabi Muhammad nak wafat.” Cikgu Ainin memberi penerangan ringkas. Muhammad mengerut dahinya. Wafat? Apa wafat tu?

“Wafat tu apa cikgu?” Cikgu Ainan tergelak kecil. Lupa pula dia yang Muhammad juga masih kecil. Banyak lagi yang tidak difahaminya.

“Wafat tu meninggal dunia. Tetapi perkataan wafat hanya boleh digunakan untuk para anbiya'.”

“Anbiya' tu nabi kan cikgu? Sebab minggu lepas kan cikgu baru ajar hadth ulama'. Ada perkataan anbiya' dalam hadith tu.” Cikgu Ainan geram dengan kepetahan dan kebijaksanaan anak muridnya itu. Lantas dikucup kedua pipi anak kecil itu. Muhammad ketawa. Terasa sangat dimanjakan.

“Pandai sayang cikgu ni.”

“Cikgu pun pandai. Sebab tu cikgu ajar Muhammad.” Pujian Muhammad sangat mencuit hati. Cikgu Ainan mencucuk pinggang Muhammad. Terkekek kekek Muhammad ketawa.

“Muhammad sayang cikgu.”

“Cikgu pun sayang Muhammad. Semoga jadi anak yang soleh ye sayang. Tempat anak soleh di syurga. Muhammad nak masuk syurga?” Cikgu Ainin bertanya. Lembut bak seorang ibu. Tubuh kecil Muhammad masih di dalam pelukannya.

“Nak!!” Teruja benar Muhammad mendengar perkataan syurga.

“Kalau nak, Muhammad kena ikut semua perintah Allah. Ikut sunnah Rasulullah. Allah sayang orang yang taat tau.” Kata-kata semangat dititipkan. Bersinar-sinar mata galak anak kecil itu. Besar impiannya untuk menuju ke syurga Allah.

“Ayah Muhammad pun cakap macam tu. Ayah kata, kalau Muhammad nak jumpa Nabi Muhammad, Muhammad kena rajin doa. Nanti Allah bagi Muhammad jumpa Nabi Muhammad dalam mimpi. Betul kan cikgu?”

“Iya sayang. Siapa yang mimpikan Rasulullah, mimpi dia adalah mimpi benar. Syaitan tak boleh menyerupai Rasulullah.”

“Ibu Muhammad pun cakap macam tu. Ibu dan ayah pun teringin nak jumpa Rasulullah. Muhammad lagi rindu. Cikgu, kalau Muhammad mati masa kecil, Muhammad boleh jumpa Nabi Muhammad tak?” Cikgu Ainin tersentak mendengar pertanyaan anak muridnya itu. Semakin erat pelukannya kepada Muhammad. Ada titis mutiara dari tubir matanya.

“Kenapa cikgu menangis?” Muhammad yang tidak mengerti bahawa soalan dia tadi telah membuat hati seorang guru turut sebak.

“Cikgu tak jawab pun soalan Muhammad tadi. Cikgu, kalau Muhammad mati masa Muhammad masih kecil, Muhammad boleh jumpa Nabi Muhammad tak? Muhammad rindukan Nabi Muhammad. Boleh tak cikgu?” Muhammad mengulang pertanyaan.

“InsyaAllah sayang. Yakin dengan Allah. Allah tidak akan menghampakan permintaan hambaNya yang baik.” Dalam sedu Cikgu Ainin menjawab.

“Kalau macam tu, boleh tak Muhammad nak doa, nak mati awal?”

“Muhammad tak sayang ibu dan ayah? Tak sayang cikgu?” Cikgu Ainin semakin sedih.

“Sayang. Sebab tu Muhammad nak mati awal. Nanti kalau Muhammad dah besar, Muhammad buat jahat, ibu dan ayah yang kena tanggung dosa Muhammad kan cikgu? Kesian ibu dan ayah. Mesti sakit kalau ibu dan ayah kena siksa sebab Muhammad.” Ya Allah, sampai begini sekali kasih sayang seorang anak kecil kepada kedua orang tuanya.

“Cikgu janganlah menangis. Muhammad tanya je.” Muhammad menyapu titisan jernih yang mengalir di pipi Cikgu Ainin. Mengerti kesedihan gurunya itu barangkali.
 
****************************************

Muhammad sedang leka bermain basikal di depan rumahnya. Buku Biografi Agung Rasulullah diletakkan di bakul hadapan basikalnya. Sambil mengayuh, mulutnya tidak henti-henti berselawat. Buku Biografi Agung Rasulullah sudah habis dibacanya. Semakin kuat kerinduannya untuk bertemu dengan junjungan besar Allah itu. Tiba-tiba...

Tubuh kecil Muhammad tercampak di tepi jalan. Puan Hasnida dan Encik Muaz kaget melihat tubuh anak kesayangan mereka dipenuhi darah merah. Mereka mendapatkan Muhammad yang sedang nazak. Puan Hasnida mengambil buku kesayangan anaknya itu dan meletakkannya di sisi Muhammad. Mulut anaknya itu masih kedengaran sedang berselawat. Sempat dia berkata-kata walaupun ternyata ungkapan dia sangat lemah. Orang ramai sudah mengerumuni anak kecil itu.

“Ayah, ibu, maafkan Muhammad. Muhammad pergi dulu. Muhammad rindu Allah dan Rasulullah. Daoakan Muhammad dapat bertemu Nabi Muhammad.” Dalam kepayahan, Muhammad menghabiskan juga tuturnya. Puan Hasnida meraung sekuat hati apabila tubuh kecil itu sudah tidak bergerak lagi. Muhammad telah pergi menemui Penciptanya.

Kini, dua tahun sudah pemergian Muhammad. Namun semua kenangan ketika anaknya itu masih ada, tersemat kukuh di kotak ingatan. Muhammad, seindah nama Rasulullah. Semoga Allah mempertemukanmu dengan Nabi Muhammad mu wahai anakku. Muhammad..Aku rindu...


Reka Cipta : Aimuni Marjono




Monday 1 October 2012

Rehlah Wardah Halaqah Ilmiah

Assalamu'alaikum WBT..

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk berkogsi rasa dan cerita yang mungkin berguna kepada semua pembaca. Sebelum saya meneruskan penulisan dan cerita hati saya, suka rasanya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ukhti Nasyidfm kerana telah menganjurkan satu program ilmiah yang sangat mnemberi kesan dan impak positif kepada para peserta. Syukran Lillah.

Pada hari Ahad bersamaan 30 September 2012, saya telah mengikuti satu program ilmiah yang dianjurkan oleh Ukhti nasyidFm dan program tersebut telah diadakan di Masjid As-Syakirin, KLCC. Alhamdulillah kerana saya dipilih oleh Allah SWT untuk bersama-sama sahabat yang lain berkongsi dalam Rehlah Wardah ini. Alhamdulillah. Syukur Ya Allah.

Pertama kali bertemu, dalam hati saya terdetik, ramahnya mereka. Mudah untuk peserta-peserta mesra dengan exco-exco Ukhti Nasyidfm kerana sifat positif yang mereka tunjukkan. Mesra, ramah tamah dan ceria. Program bermula dengan bacaan doa kemudian diteruskan dengan sesi taaruf exco-exco kepada peserta-peserta. Kemudian, kami memulakan program Rehlah Wardah dengan satu game 'KAU DAN AKU BERBEZA'. Kami para peserta diminta melukis salah satu bentu yang kami suka sama ada bentuk Segi Tiga, Segi Empat, Bulat atau Ombak. Selepas kami melukis bentuk tersebut, kami diminta mencari 'partner' yang sama citarasa bentuk tanpa mengeluarkan satu suara pun. Setelah kami berjaya mengumpul geng yang sama cita rasa, kami diminta pula menulis satu daripada karakter yang ada dalam diri kami. Kemudia, sekali lagi kami diminta mencari group yang sama karakter dan diminta duduk di dalam group karakter. Setelah itu, MC membacakan sifat-sifat bentuk yang kami pilih. Sangat seronok!

Program kedua 'SAMA TAPI TAK SERUPA' juga tak kurang hebatnya. Kami diminta mencari group yang sama bulan kelahiran dan diminta menulis karakter kami dan boleh dibincangkan sesama ahli kumpulan. Setelah itu, kami diminta membacakan sifat-sifat yang ada dlam diri masing-masing. Pelbagai karakter yang wujud antara kami tapi kami still happy.

Waktu makan tiba! Alhamdulillah, dapat breakfirst ramai-ramai. Seronok sangat. Bercerita dengan santai dari hal biasa-biasa sampailah kepada topik rumahtangga. Perghhhhhh, hot topic. Pengalaman jumpa bakal suami dikongsi. Jangan tak tau, ada tauladan dalam cerita pengalaman tersebut. Bukan sekadar bercerita tapi ada input unuk kami juga. Tak kurang hebatnya yang bertanya tentang ISTIKHARAH. Specialnya bab munakahat ni. Hihi.

Selesai makan, kami sambung semula aktiviti dengan santai usrah. Tajuk menjadi pilihan exco adalah TAHARAH dan HATI-HATI DENGAN HATI. Dalam TAHARAH kami berbincang mengenai bersuci yang mana bersuci adalah satu perkara yang tersangat penting lebih-lebih lagi ketika mahu beribadat. Alhamdulillah, banyak ilmu yang dikongsikan. Sharing is Caring kan?

Topik inilah yang paling best sekali. HATI-HATI DENGAN HATI. Rasanya semua pun tahu masalah belia remaja kini. Bercinta dah jadi perkara rasmi. Dengan usrah santai macam ni, dapatlah kami lebih berhati-hati dalam memberi hati. Fikiran dan minda turut sama terbuka. Mungkin selepas ini antara kami akan lebih menjaga ikhtilat dengan lelaki yang bukan mahram. InsyaAllah.

Apa pun, program ini sangat memotivasikan diri kami. Perkenalan, persahabatan seperti inilah yang akan menjadi tunjang untuk lebih mencintai Allah. Sahabat Teman Syurgawi. InsyaAllah.


PUISI UNTUK MEREKA

Sejenak Pertemuan..
Sebuah Perkenalan..
Seikhlas Kemesraan..
Sejujur Persahabatan..

Bertemu dalam halaqah,
Bersatu dalam usrah,
Berkongsi dalam Rehlah Wardah,
Berpaut kasih kerana Allah..

Kau dan Aku Berbeza,
Membuka tirai ceria,
Tanpa suara kita mencari 'partner',
Yang sama berkongsi bentuk citarasa,
Subhanallah indahnya ukhuwah kita,
Bersama berkenalan mencipta cereka..

Juga Sama Tapi Tak Serupa,
Membentuk kumpulan bulan kelahiran,
Mencari identiti diri bersama kawan,
Bergelak ketawa merencah suasana,
MasyaAllah, pelbagai karakter rupanya kita..

Usrah bermula menambah pengetahuan,
Tajuk TAHARAH mula dibincangkan,
Pendapat dikongsi ilmu dipraktikkan,
Serius, ketawa, gurau senda penguat ikatan..

Hati-Hati Dengan Hati,
Topik hangat belia remaja masa kini,
Semakin hebat usrah ukhti,
Diskusi zina mata dan hati,
Juga tentang ikhtilat bersama ajnabi,
Semoga terhindar dari murka Ilahi..

Rehlah Wardah..
Mencoret kenangan, menyimpan impian,
Untuk menjadi muslimah impian,
Bukan pilihan manusia,
Tapi pilihan Yang Esa,
Bersama menuju mercu kasihNya,
InsyaAllah kita tetap bersahabat hingga ke JannahNya.


Sahabat Fillah Abadan Abada : Aimuni Marjono