First Novel

First Novel
Mujahadah Cinta

Saturday 6 October 2012

Rindu Sentuhan Ayah

Aku merenung potret keluarga yang setia bergantungan pada dinding bilikku. Lengkap sebuah keluarga. Tanpa lompang walau seorang pun. Keluarga bahagia. Ibu, ayah dan adik beradik yang amat aku rindui. Terasa mereka terlalu dekat di hati. Walau kini terpaksa berjauhan demi sebuah masa depan. Keluarga bahagia asas paduan ummah. Itulah bingkisan yang pernah si ayah titipkan untuk anak-anak kesayangan.

"Ingat, walau di mana kita berada, kita tetap sujudkan kiblat yang sama," Pesanan sang ayah sentiasa memekar di hati. Ayah, seorang lelaki yang pandai membeli jiwaku dengan nasihat berharganya. Walau aku kesulitan, walau ditimpa kepayahan, ayah tak pernah meninggalkan. Malah dia setia memberi kata semangat dan bicara hikmat agar aku bangkit kembali meneruskan masa depan.

Ayah seorang yang amat tegas. Tetapi disebalik ketegasan, kelembutan jelas terukir di riak wajah. Menjadi sahabat bila anak-anaknya memerlukan nasihat. Ayah....

"Ayah, dah besar nanti Intan nak jadi cikgu. Ayah suka tak?" Masih aku teringat kasih ayah sewaktu aku menceritakan tentang cita-citaku. Ayah senyum dan menggosok lembut rambutku. Terasa tenang dalam  dakapan seorang ayah.

"Suka. Kalau nak jadi cikgu, Intan kena belajar rajin-rajin. Boleh masuk universiti." Ayah meniupkan kata semangat.

"Susah ke nak jadi cikgu?" Ayah menggeleng mendengar pertanyaanku. Aku senyum. Terasa lega dengan tindak balas yang ayah berikan.

"Intan nak jadi cikgu apa?" Ayah bertanya lembut.

"Nak jadi cikgu ajar agama. Intan nak jadi macam ayah dan ibu. Ayah baca al-quran best sangat. Ibu pulak pandai berzikir." Ayah tergelak kecil mendengar jawapanku. Aku tahu, ayah bahagia dengan cita-citaku. Mahu megikut jejak mereka. Syurga cinta dalam hatiku.

"InsyaAllah. Intan kena doa banyak-banyak tau. Minta pada Allah, tunaikan impian Intan tu." Ibu pula bersuara. Pipiku dicium mereka. Aku terasa terlalu disayangi.

Aku tersentak apabila mendengar pinti bilikku diketuk. Cepat-cepat aku mengesat air mata yang membasahi pipi. Allahu Rabbi. Apakah aku tidak boleh menerima takdirMU ini?

"Boleh ibu masuk?" Aku hanya mengangguk. Apabila terpandang saja wajah si ibu, hatiku bergetar sayu. Lantas, ku dakap ibu ke dalam pelukanku. Tangisan kami berpadu. Tetapi, tangisanku lebih lagi. Aku tahu ibu menyembunyikan kesedihannya di sebalik sebuah runtunan senyuman.

"Dah takdir Allah sayang. Redhakan." Aku memandang wajah ibu. Ada air yang cuba ditahan dari mengalir. Aku memegang muka suci ibuku.

"Intan tahu bu. Ini takdir Allah. Intan terima dan Intan redha." Aku cuba menipu. Aku tidak mahu ibu lagi sedih melihat kesedihanku.

 
**************************
 
Masih terbayang di ruang minda, bagaimana peritnya ayah menanggung kesakitan. Walau dia cuba menafikan, namun aku tahu dia sekadar tidak mahu aku bersedih. Adik-adikku juga tidak dapat menahan tangis apabila melihat ayah memegang perutnya.
 
"Ayah sakit?" Adik kedua ku bertanya? Ayah hanya menggeleng kepalanya. Aku tahu ayah tipu. Kerut di wajahnya menggambarkan kesakitan yang ditanggungnya saat itu.
 
"Intan, panggil ibu. Bacakan yaasin untuk ayah. Mana tahu, bila isteri dan anak-anak ayah bacakan yaasin, sakit ayah boleh berkurangan. Boleh?" Aku mengangguk. air mata sudah lencun membasahi pipi. Lantas kami mengalunkan bacaan yaasin. Tidak sanggup rasanya melihat wajah tua ayah. Ya, Allah, sembuhkan ayahku.
 
Selesai membaca yaasin, ayah senyum. Seorang demi seorang dari kami dipanggilnya. Dia meletakkan bibir keringnya pada dahi setiap kami. Hangat kucupannya. Aku memeluk ayah sekuat hatiku. Tidak mahu melepaskan. Aku terlalu rindukan ayah. Dua tahun aku di luar negara demi menggapai cita, kini aku bercuti kerana mahu dekat dengan ayah.
 
"Ayah, Intan sayang ayah." Terluah kata sayangku pada ayah. Ayah senyum. Kuat dakapannya pada tubuhku. Lemah tubuh ayah membuatku bertambah sedih. Jika diizinkan Allah, aku mahu memeluk ayah buat selamanya. Tetapi siapalah aku untuk meminta yang berlebihan? Hanya doa yang mampu aku titipkan.
 
**************************
 
Hari pernikahanku tiba. Ayah begitu bersemangat untuk menikahkan ku dengan kudratnya sendiri kerana aku anak sulungnya. Upacara pernikahan tiba. Segaknya ayah mengenakan gamis putih. Bercahaya wajahnya. Aku lihat ayah sihat seperti dulu.
 
Selesai saja suamiku melafaz akad, ayahku jatuh menyembah bumi. Aku kaget. Ayah.....
 
"Ayah, bangun ayah. Jangan tinggalkan Intan. Intan perlukan ayah. Hari ni hari bahagia Intan." Tersedu-sedu aku merayu ayah bangun kembali. Namun ternyata Allah lebih menyayangi. Kini perginya seorang wali. Nabil, lelaki yang baru saja menjadi suamiku menenangkanku. Aku memeluk ibu dan adik-adikku. Begitu cepat rasanya ayah pergi meninggalkan kami. Ayah pergi di saat inaiku masih merah di jari. Baru saja mewalikan pernikahanku, kini ayah pergi buat selamanya.
 
Majlis walimah menjadi majlis tahlil juga. Hari bahagiaku tiada makna tanpa ayah. Segala kenangan bersama ayah kekal bersemadi dalam sanubari.
 
"Intan, jadilah isteri yang solehah dan ibu mithali. Jadi macam ibu. Syurga hati suami. Ayah lepaskan Intan pada Nabil dengan ikhlas hati ayah." Kata-kata ayah malam semalam begitu menggamit hati. Kini, ayah melepaskan ku selamanya.
 
"Intan janji akan jadi syurga buat suami Intan. Intan sayang ayah."
 
Wali yang tiada berganti. Ayah yang tidak mampu ditandingi. Lelaki yang sentiasa memberi kasih sejati juga suami buat isteri yang melahirkan cahaya hati. Terima kasih Ayah.
 
Tinta Pena : Aimuni Marjono
 


No comments:

Post a Comment