First Novel

First Novel
Mujahadah Cinta

Monday 27 August 2012

Sahabat...Kau Teman Syurgawi....

Kerana Allah, Ku Sayang Kamu...

Indahnya persahabatan andai bersulam keikhlasan. Sahabat sejati umpama ladang yang terbentang luas. Dialah taman hati dan dia jualah yang menjadi ladang untuk bercucuk tanam. Menanam kejujuran dan menuai kesabaran. Dialah yang cuba menenangkan saat kegundahan. Dialah yang menghiburkan saat kehilangan. Dialah yang turut tersenyum saat si sahabat menggenggam kejayaan dan dialah yang turut menitiskan air mata tika si sahabat berendam kedukaan. Sahabat bukanlah dia yang meninggalkan kita di saat kesulitan. Bukanlah yang membenarkan setiap kata-kata kita walaupun ternyata tiap apa yang kita lafazkan itu bertentangan. Bukanlah jua yang hanya menjadikan kita sandaran saat dia ditimpa kesusahan.

Sahabat itu adalah apabila kita bersamanya, kita merasa tenang. Apabila disampingnya kita sentiasa ingat akan Tuhan. Sewaktu dengannya kita terasa aman dan menjadi diri sendiri. Tanpa perlu berselindung sikap dan perwatakan kita yang sebenar. Itulah SAHABAT. Sahabat merupakan hadiah dari Allah untuk hamba-hambaNya yang berusaha mencari sahabat sebenar. Sahabat yang sama-sama membantu untuk beroleh JannahNya. Yang sama-sama berusaha berada di jalanNya. Yang sama bercita-cita untuk syahid di medanNya. Sahabat itu adalah apabila dia dan kita turut mencintai antara satu sama lain kerana kuatnya cinta kepadaNya.

Carilah Sahabat Yang Punya Agama...

 “Agama seseorang itu terletak di atas agama atau jalan yang dipilih oleh rakannya"
 
Itulah pesan yang Rasulullah SAW titipkan untuk kita dalam mencari seseorang yang layak digelar SAHABAT. Seorang yang mencintai AGAMA dan menjadikan agama sebagai jambatan untuk bersahabat ke jalan kebenaran. Andaikan seketika kiranya kita tersilap dan tersalah memilih seseorang yang bergelar sahabat. Apakah kesudahan dan pengakhiran hidup? Bersahabat dengan seseorang yang tidak mengenali apa itu Ad-Deen umpama bersahabat dengan kaum musyrikin. Mencintai sahabat yang tidak mengenali siapa Yang Maha Esa umpama menarik kita ke lembah hina. Bahayanya memilih sahabat yang tidak punya nilai agama.
 
Seringkali saya terdengar ungkapan-ungkapan yang sering disalah tafsirkan seperti 'Dia tak solat tapi dia jauh lebih hebat.' 'Dia tak tutup aurat tapi dia jujur dalam bersahabat.' bla bla bla. Mudahnya apabila mengungkap kata. Fikir sejenak...
 
1- Dia tak solat tapi dia jauh lebih hebat.
 
 
Usah terlalu mudah meng'hebat'kan seseorang kerana nyata yang di atas sana jauh lebih Maha Hebat. Allah itu lebih hebat. Ke'hebat'an manusia juga kerana kehebatanNya yang mencipta. Hebatkah seseorang yang tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim? Hebatkah dia apabila dia dengan sengaja dan tanpa alasan merobohkan tiang agama yang sepatutnya dia kukuhkan dengan mendirikan solat? Hebatkah dia apabila dia yang kamu anggap hebat itu melanggar perintahNya sedangkan telah Allah catatkan dalam Al-Quran kehebatan solat.
 
 Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, Nabi SAW bersabda, “Solat itu tiang agama sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama.”
 
Tidak! Dia belum cukup hebat lagi. Dia telah melanggar garisan panduan seorang muslim. Dia tidak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang yang bergelar islam. Berhati-hatilah dalam memilih sahabat. Pilihlah sahabat yang berada dalam agama tanpa sedikit pun memalingkan wajahnya dari jalan islam. Tanpa sedikit pun mengurangkan waktunya untuk beribadah. Yang sedikit pun tidak mahu jadi hebat di mata kamu dan makhluk lain kerana hanya mahu hebat dipandangan Allah. Yang malu apabila tidak melaksanakan solat lima waktu. Yang menjadikan kamu sebagai tautan hati untuk bertaut hatinya hanya pada Ilahi. Bersahabatlah kerana Allah kerana bersahabat kelak kau akan merasa ketenangan jiwa.
 
2- Dia tak tutup aurat tapi dia jujur dalam bersahabat.
 
 
Saya tidak nafikan ungkapan di atas. Tidak semua wanita yang tidak menutup aurat itu tidak jujur dalam bersahabat. Malahan, ada yang jauh lebih jujur jika mahu dibandingkan dengan seseorang yang cukup sempurna menjaga batasan aurat. Ya, ini realiti dunia kini. Mungkin kerana merasa diri telah cukup 'sempurna' makanya dia hanya menjadikan sahabat sebagai tempat persinggahan. Jangan begitu sahabatku. Bersahabatlah dengan sejujurnya. Bersahabatlah dengan seikhlasnya. Kelak kau akan merasa indahnya persahabatan. Kelak kau bakal merasa indah hidup bersyariat kerana mempunyai sahabat.
 
Sahabat, selagi kau bergelar sahabatnya, selagi itu kau punya hak untuk menegur segala kesilapan dan kekhilafannya. Bukan kerana mahu menunjuk kebaikanmu apatah lagi mahu memandang hina pada sahabat yang tidak menutup aurat tetapi niatkan dalam hati yang kau mahu bersamanya di Jannah Allah. Katakan padanya yang kau benar-benar mencintainya dan masih mahu menjadi sahabatnya hingga ke syurga. Dakwahmu sangat diperlu saat kau berhadapan dengan sahabat sebegini. Ajarkan dia tentang aurat wanita islam. Kenalkan sahabatmu indahnya menutup kecantikan yang Allah kurniakan. Pastinya kamu sudah cukup mengenali siapa dia dan bagaimana sikap dan sifatnya. Yang paling penting, usah putus berdoa dan jangan berhenti berusaha. Usahamu memperlihatkan padanya tentang aurat islam sama seperti usahamu menariknya menuju syurga.
 
Sahabat Hingga Ke Syurga...

 
Bukan mudah untuk merasa syurgaNya. Terlalu banyak mujahadah yang perlu ditempuh kerana kemanisan syurga itu dapat kita rasai apabila kita benar-benar sudah ke'sana'. Inilah rantaian kehidupan. Ujian dan dugaan tetapkan bertamu dalam kehidupan seharian. Kerana Allah menyayangi, maka DIA anugerahkan hadiah berbentuk dugaan. Dan DIA juga hadiahkan kita teman yang boleh kita luahkan perasaan. Sahabat yang baik akan sentiasa mendoakan kesenangan kita dunia akhirat. Senantiasa mengucapkan kata-kata indah saat kita menghadapi getirnya ujian. Yang berjanji mahu bersama kita merebut cinta Rabbi. Yang sama mahu mendapat mardhatillah yang abadi. Sahabat sejati itulah taman syurga dunia dan dia jugalah taman syurga hakiki apabila dia sama mencintai Ilahi. Semoga sahabat-sahabatku juga kamu berpimpin tangan menuju Negeri Abadi dengan segala kerendahan hati untuk ke syurgawi.
 
 
Sahabat Illah : Aimuni Marjono


No comments:

Post a Comment