First Novel

First Novel
Mujahadah Cinta

Tuesday 28 August 2012

Mencari Mardhatillah


Pelangi cantik nan indah mempesonakan. Kelihatan seorang gadis genit yang berpakaian agak menjolok mata duduk termenung di kerusi yang diperbuat daripada simen. Kerusi itu sememangnya di khaskan untuk pengunjung yang datang ke taman itu untuk beriadah. Wajahnya nampak sugul dan kesedihan jelas teriak di wajah putih itu. Sesekali kelihatan dia menunduk. Sesekali kelihatan dia sedang merenung langit. Memuji ciptaan Ilahi barangkali.

Farhan turut memandang langit. Dia mengerti kini mengapa gadis itu leka memerhati jauh di atas sana. Subhanallah. Terucap lafaz tasbih di bibir merahnya. Benar, indah sungguh ciptaan Allah seperti indahnya Allah mencipta manusia bergelar muslimah. Perhatiannya sekali lagi tertumpu kepada gadis genit itu. Dalam hati tertanya-tanya kenapa gadis itu kelihatan murung? Apakah emosinya terganggu? Tapi kenapa? Farhan leka berteka-teki. Tanpa sedar, si gadis itu semakin menghampirinya dengan wajah yang masam mencuka. Farhan kaget. Malu kerana tindakannya disedari. Lebih malu lagi kepada Yang Esa kerana dia gagal menjaga pandangannya. Astaghfirullahaladzim. Farhan beristighfar dalam hati.

“Apa problem awak pandang-pandang saya? Ada yang tak kena pada saya ke?” Gadis genit tadi bertanya. Agak sinis juga pertanyaannya. Farhan tertunduk. Tidak mahu terlihat walau sedikit pun dari aurat gadis itu.

“Tiada apa-apa. Maafkan saya.” Farhan mengucap kata kemaafan dan bergegas mahu meninggalkan tempat itu.

“Saudara….” Langkah Farhan terhenti apabila mendengar panggilan gadis itu.

“Kalau saudara tak ada urusan dengan saya, lebih baik saudara jangan merenung saya sebegitu!” Jeritan gadis genit itu benar-benar memalukan Farhan. Langkahnya semakin laju tanpa berhenti walau sesaat pun. Dia sangat pasti, wajahnya memerah saat ini. Salah dia juga kerana asyik merenung yang tidak halal baginya. ‘Ampunkan aku ya Allah.’

Sebaik tiba di halaman rumahnya, Farhan lekas masuk ke kamar tidurnya. Kejadian tadi benar-benar memalukan. Belum pernah dia merenung seseorang gadis dengan sebegitu. Farhan menyesal. Dia kalah pada naluri hati. Ya Allah, semoga Imanku masih terjaga. Dia mengambil wudhu’ dan melakukan solat sunat dua rakaat untuk mendapat ketenangan hati.

Farhan menghidupkan notebooknya. Sememangnya sudah menjadi rutin harian, dia akan mencatat segala apa yang berlaku dalam hidupnya hari ini dan cuba untuk merungkai maksud dan hikmah di sebalik apa yang telah berlaku. Dia puas dengan berbuat demikian. Farhan memulakan tulisannya dengan lafaz Bismillah.



Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, kerana masih dipanjangkan usia untuk terus mencatat titik kehidupan yang Allah pinjamkan padaku hari ini. Kerana nafas ini, aku masih teguh berdiri. Kerana nyawa ini aku masih mampu berlari. Dan kerana anggota ini aku masih mampu bersujud menyembah Ilahi.

Benarlah pandangan mata itu umpama anak panah beracun yang bisa mengundang ketidakwarasan fikiran. Ia adalah jendela bagi hati. Barangsiapa yang mampu menjaga pandangan, bermakna dia mampu memelihara hatinya. Jika sebaliknya, dia adalah orang yang gagal menjaga hati apatah lagi menjaga Imannya. AstaghfirullahalAdzim. Semoga Imanku masih terjaga. Semoga hatiku masih terpelihara.

Aku juga tidak menyangka, pandanganku yang selama ini terjaga dari memandang sesuatu yang tidak halal bagiku, teruji juga. Aku yakin, itu salah satu ujian keimanan dari Allah untuk aku sama ada keimanan ku boleh meningkat lalu membukit atau semakin berkurang dan sedikit. Ku harap Imanku tidak berkurang ya Allah. Bukan aku sengaja mahu memandang dia, bukan aku sengaja mahu merenungnya, tetapi aku tertanya-tanya tentangnya. Kenapa dia bersedih? Kenapa dia murung? Pasti ada sesuatu yang mengganggu gugat perasaatnya tika itu. Apa pun alasan aku, aku tahu ia tetap tidak dipandang Allah kerana aku tahu tetap salah kerana aku merenung seorang wanita yang tidak halal bagiku apatah lagi gadis itu berpakaian sebegitu.

Tanpa aku sedar, si gadis tadi juga memerhati tingkahku yang sedang memerhati dan merenungnya. Jika aku berada di tempatnya, aku juga akan marah apabila direnung sebegitu. Ya, kesilapan berpunca dari aku. Mungkin gadis itu tidak ada sedikit pun niat untuk memalukan aku. Mungkin itu hanya tindakan spontannya. Dan kerana itu, Allah menyuruh hambaNya menjaga pandangan. Ia juga merupakan salah satu terapi untuk menghidupkan hati yang semakin mati. Hati ini Allah yang pegang tetapi kita harus menjaganya agar ia tak lesu di gugat nafsu.

Akhir kalam, aku bermohon Allah pegang dan jaga hati aku dari nafsu terburu yang akan membuatku lesu. Aku tidak mahu hidup tanpa redhaNya. Seluruh penghidupanku di atas muka bumi hanya kerana DIA. Dan aku juga akan kembali padaNya bila tiba janjiNya.



*************************

Farhana menekup telinganya dengan kedua telapak tangan. Perbalahan antara mummy dan daddynya sudah menjadi santapan hariannya. Setiap hari mereka akan bergaduh dan berkelahi sesama sendiri. Farhana juga tidak mengetahui punca perbalahan itu. Dia menangis semahunya. Bukan ini yang dia mahukan dalam kehidupannya. Bukan ini yang dia mahukan dalam menghabiskan usia remajanya. Bukan ini! Hatinya membentak keras. Farhana lantas keluar dari kamar indahnya dan menuju ke kamar pembantu rumah keluarga mereka yang juga wanita yang telah menjadi pengasuhnya sejak dari kecil lagi. Umi yang sentiasa bersamanya ketika dia memerlukan teman. Umilah yang menjadi penghiburnya saat dia kegundahan. Selepas pintu dibuka, Farhana terus memeluk tubuh kurus milik pembantu rumah itu.

“Mummy dan daddy selalu bergaduh. Ana tak tahan kalau selalu macam ni. Mummy dan daddy tak sayang pada Ana ke umi?” Teresak-esak bagaikan anak kecil Farhana meluahkan. Dia rasa terpinggir oleh orang tuanya sendiri. Kenapa mummynya sendiri tidak menyayanginya seperti umi menyayangi dirinya?

“Ana, dengar sini sayang. Bukan mummy dan daddy tak sayang pada Ana. Mestilah mereka sayangkan Ana. Ana satu-satunya permata hati mereka. Mungkin mereka ada masalah. Masalah orang tua sayang. Masalah kerja mungkin. Sabarlah sayang. Umi sentiasa ada untuk Ana,” Lembut tutur umi meredakan tangisan Farhana. Umi menghadiakan sebuah kucupan di dahi anak gadis itu. Tanpa sedar, air mata umi dan Farhana menjadi satu. Dia memahami perasaan Farhana. Farhana sudah seperti anaknya. Walaupun Farhana kadangkala agak degil, namun dia tidak pernah menyalahkan Farhana. Anak itu terlalu muda untuk mengenal erti kehidupan. Tambahan pula kehidupan keluarga yang sudah tidak serupa kehidupan manusia.

“Umi, mummy tak pernah peluk Ana macam umi peluk Ana. Kenapa bukan umi je yang jadi mummy Ana?” Masih ada saki baki sesalan malahan terkilan dengan sikap ibu bapa yang lebih mementingkan kehidupan yang jauh dari Tuhan. Tuhan? Farhana terpempan apabila hatinya sendiri terdetik perkataan Tuhan. Sekali lagi tangisannya memecah keheningan. Umi terkejut. Dipeluk dan didakap anak itu seeratnya. Semoga kekuatan yang ada pada tubuh tuanya, Allah salurkan pada gadis ini. Begitu sekali sayang dan cintanya umi kepada Farhana.

“Umi, Ana jahat ke?” Farhana bertanya. Umi merenung anak mata gadis itu. Mancari ketulusan dalam pertanyaan itu. Pantas umi menggelengkan kepalanya. Dia mengusap lembut wajah polos anak itu.

“Tak sayang. Ana tak jahat. Siapa kata Ana jahat?” Umi kembali bertanya. Farhana menggelengkan kepalanya.

“Tapi Ana tak solat. Ana tak tutup aurat. Ana suka pakai seksi-seksi. Ana selalu dengar, ustazah Ana cakap masa Ana sekolah dulu, perempuan yang tak solat dan tak tutup aurat, tak boleh masuk syurga. Betul ke umi?” Umi senyum. Dia telah nampak sirna keinsafan pada hati anak itu. Inilah masa yang terbaik untuk dia mentarbiyah Farhana agar menutup aurat.

“Sayang, solat itu tanggungjawab kita sebagai seorang Islam. Allah yang mencipta kita dan kerana itu kita harus bersyukur dengan segala kurniaanNya dalam sujud cinta kita pada Dia. Itulah aturannya kepada kita sebagai hambaNya. Allah itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Dia Maha Pengampun. Selagi pintu taubat terbuka, selagi itu kita harus sentiasa mencari keampunanNya. Waktu dekatnya kita pada Allah adalah waktu kita bersujud. Sebab tu, berdoa waktu sujud adalah sangat digalakkan. Kita hampir sangat dengan Allah waktu tu. Aurat itu pula tuntutan dan kewajipan. Wanita itu aurat sebab wanita itu indah. Sangat indah. Sayangnya Allah pada wanita sehingga dia menyuruh wanita menutup keindahan yang ada pada kita hanya untuk lelaki yang selayaknya seperti keluarga kandung dan suami serta anak-anak,” Farhana tekun mendengar. Dia seperti terpana apabila mendengar umi bercerita tentang aurat wanita. Selama ini dia tidak pernah memahami apa itu aurat. Yang dia tahu hanyalah berpakaian.

“Aurat wanita kecuali muka dan kedua tapak tangan. Yang lain mesti ditutup rapi. Haram diperlihatkan. Wanita bukan bahan tontonan umum tapi wanita adalah permata berharga yang perlu disimpan dan disorokkan dari pandangan dan tatapan umum. Ok, umi bagi contoh ya. Andai kata ada dua utas jam untuk dipilih. Seutas jam tu dalam box, cantik dan tak boleh disentuh. Hanya boleh dilihat saja. Dan seutas jam tangan lagi, tak diletakkan di dalam box, bukan saja dapat dilihat malahan dapat disentuh oleh tangan ramai manusia. Ana nak pilih yang mana antara kedua-dua jam tangan tadi?” Farhana mengangkat keningnya. Dia masih belum memahami maksud umi. Dia menjawab dengan bersungguh-sungguh.

“Mestilah Ana mahukan yang dalam box. Orang tak pernah sentuh. Hanya dapat lihat je,” Umi senyum. Farhana semakin hairan. Umi mencapai tangan Farhana dan mengelus lembut.

“Begitulah seorang lelaki apabila mahu mencari seseorang yang boleh dijadikan calon isteri. Sudah tentu dia mahukan wanita yang hanya boleh dipandang tanpa boleh disentuh berbanding wanita yang boleh dipandang dan disentuh. Apa yang umi nak sampaikan pada Ana adalah, bila kita menutup aurat tanpa memperlihat dan mempertontonkan kecantikan kita, lelaki hanya mampu memandang dengan rasa kagum tanpa cuba mahu menyentuh kerana mereka menghormati wanita-wanita yang menutup aurat. Tetapi jika wanita tersebut sebaliknya, lelaki bukan saja akan memandang malah mereka akan menyentuh dengan sewenangnya tanpa ada rasa hormat. Sebab tu Allah memerintahkan wanita untuk menjaga batasan aurat agar kehormatan kita turut terpelihara.” Selesai umi menyudahkan penerangan, Farhana memeluk umi dengan seribu kekaguman. Ya Allah, ampunkan hambaMu ini. Air mata penyesalan kerana mengabaikan Tuhan mengalir deras. Farhana nekad mahu mengubah dirinya menjadi muslimah.



*************************

Malam itu, Farhana mengikut umi ke surau yang terletak di taman perumahan rumah barunya. Dia mahu membiasakan dirinya dengan rumah Allah. Dia mahu menghabiskan sisa hidupnya dengan ibadah. Dia mahu menebus kembali masa lalunya dengan mengingati Allah. Dia mahu merasa sendiri keindahan hidup barunya.

Selesai solat isya’, mereka mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Imam yang telah mengimamkan solat mereka. Tazkirah yang bertajuk ‘Keindahan Syurga’ itu benar-benar masuk ke jiwa Farhana. Tanpa sedar, ada mutiara yang mengalir dari tubir mata. Kini, dia mula merindui syurga. Indahnya merindui jannahNya. Semoga Allah mempermudahkan perjalanan hidupnya untuk berubah. Farhana berdoa dalam hati.

Farhana nekad mahu mencari pakaian yang menutupi auratnya esok. Dia akan meminta umi menemaninya. Dia tidak malu untuk berubah. BIarlah andainya perubahan ini yang akan mencipta jarak antara dia dan teman-temannya. Biarlah. Yang penting jarak dia dan Allah semakin mendekat. Hatinya tenang kini setenang air di pinggir kali. Sedang asyik merenung masa depan, Farhana teringat tentang seseorang. Lelaki yang pernah merenungnya dua minggu lalu. Lelaki yang memerhatikan dia hanya dari jarak jauh tanpa mendekat. Apa yang dia perasan tentang lelaki itu, setelah perbuatannya disedari, dia hanya menundukkan wajahnya. Melarikan anak matanya dari melihat ke arah diri Farhana. Wajah lelaki itu putih bersih. Ada tanda hitam pada dahinya. Sungguh tenang apabila mengingati wajah itu. Siapakah dia? Akhirnya Farhana tertidur dengan persoalan yang tak terjawab.

“Assalamu’alaikum saudari. Maafkan saya kiranya pertanyaan saya ini mengudang kemarahan saudari,” Huluran salam itu kedengaran lembut di telinga Farhana. Dia memalingkan telinganya. Dia? Siapa dia?

“Wa’alaikumussalam. Silakan saudara,” Hanya itu jawapan Farhana. Dia hanya tenang walaupun jelas hatinya berdegup kencang.

“Sudikah sekiranya saudari menjadi suri hidup saya jika saudari bukanlah isteri atau tunangan orang. Sudikah saudari sama-sama menggapai redha Allah bersama saya untuk ke syurgaNya?” Farhana terpempan. Benarkah apa yang didengarinya? Lelaki itu? Lelaki itukah suaminya?

Farhana terjaga dari mimpi. Lantas dia beristighfar. Pelik benar mimpinya kali ini. Belum pernah dia mengalami mimpi sebegini. Petunjukkah ataupun sekadar mainan tidur kerana dia terlalu memikirkan tentang lelaki itu? Farhana merenung jam di meja sisinya. Jam 5 pagi. Masih sempat untuk dia bertahajjud dan berqiyamulail. Tidak susah untuknya melakukan ibadah itu kerana sewaktu dia berada di zaman persekolahan, segalanya jelas di ajar. Tambahan pula umi juga tidak jemu-jemu mendidiknya menjadi muslimah solehah. Alhamdulillah.

Selepas solat subuh, Farhana bertadarrus dan bertadabbur bersama umi. Terasa damai di hatinya saat ini. Inilah bahagia yang dicarinya. Inilah kehidupan sebenar buatnya. Hidayah Allah inilah hadiah paling berharga sepanjang dia masih di muka bumi. Benarlah kata orang, ‘hidayah itu perlu dicari kerana Allah akan memberi hidayah itu pada hati yang benar-benar sudi.’ Aktiviti ibadahnya diteruskan dengan solat sunat Dhuha. Semoga Allah mengganda dan membuka pintu rezeki buat dia dan keluarganya.

Sedang Farhana bersiap-siap mahu keluar bersama umi, mummynya masuk ke kamar bujangnya. Jelas riak terkejut pada wajah cantik mummynya. Farhana kaget. Dia memohon agar mummynya menerima perubahan yang dilakukan. Senyuman manis terpancar. Datin Fazura merenung lama anak gadisnya. Dalam hati dia memuji keayuan anaknya yang kita sudah bertudung. Dia memeluk erat tubuh genit Farhana. Buat pertama kalinya, Farhana merasai pelukan kasih seorang ibu.

“Mummy maafkan Ana. Ana tak minta izin mummy untuk memakai hijab. Maafkan Ana mummy,” Farhana mencapai tangan Datin Fazura dan mengucupnya lembut. Ada air mata yang mengenai kulit itu. Datin Fazura menyapu air mata Farhana. Dia tidak pernah menduga, anak yang tak pernah dia didik dengan didikan agama berjaya mencari jalan pulang sendiri.

“Mummy tak marah sayang. Mummy bangga miliki anak seteguh Ana. Maafkan mummy kerana mummy tak pernah ajar Ana dengan ajaran Islam. Maafkan mummy.” Tangisan dua beranak itu memecah suasana pagi. Datin Fazura mengusap lembut wajah ayu anaknya.

“Mummy, Ana tak pernah salahkan mummy. Ana yakin semua yang berlaku ada hikmah,” Farhana menarik mummynya duduk di birai katil. Terasa kebahagian menyelinap ke dalam jiwanya. Bahagia kerana baru kini dia mengenali siapa wanita yang telah melahirkan dirinya ini. Berjiwa lembut malah lebih lembut dari seputik kapas. Farhana berdoa dan berharap agar suatu hari nanti, mummynya juga bakal mengikut jejaknya mencari mardhatillah.





*************************

Masa berganti waktu, kini genap dua tahun penghijrahan Farhana. Mummy dan daddynya juga telah berhijarah menuju Allah. Mereka baru pulang dari mengerjakan umrah bersama umi. Farhana menajat kesyukuran kerana hikmah Allah sangat besar erti buat dia dan keluarganya. Siapa sangka, keluarga yang suatu masa dulu pernah retak menanti belah kini menjadi keluarga sefikrah. Keluarga Islam yang jauh lebih bahagia. Syarikat daddynya juga semakin maju. Perniagaan mummynya sudah beralih kepada butik pakaian muslimah. Inilah nikmat Islam dan Iman.

Petang itu, kaki Farhana laju menuju ke arah taman yang berdekatan dengan kawasan perumahannya. Kebetulan kerusi tempat dia melabuhkan punggungnya dua tahun lalu kosong tanpa manusia. Dia memandang ke langit. Tiada pelangi seperti yang pernah dilihatnya pertama kali dia datang ke taman itu. Rindu mahu melihat pelangi. Lama dia merenung langit membiru. Lafaz tasbih dan tahmid tidak lepas dari bibir mugilnya. Sedang asyik merenung ciptaan Allah, dia terdengar seseorang menegurnya. Dia menoleh… Dia dan seorang gadis bertudung labuh sepertiku. Tetapi kenapa penampilannya jauh berbeza? Sudah berkeluargakah dia?

“Assalamu’alaikum. Saudari, saya mahu meminta maaf tentang kejadian dua tahun lalu. Saya tak bermaksud untuk merenung saudari. Saya cuba terfikir kenapa saudari seperti dalam kesedihan. Maafkan saya. Saya minta diri dulu.” Farhan bersedia untuk beredar. Farhana cepat memanggil.

“Saudara, saya tak pernah marahkan saudara. Saya dah melupakan apa yang berlaku. Mungkin salah saya juga kerana saya yang mengizinkan diri saya menjadi tontonan. Boleh saya tahu nama saudara?” Farhana bertanya. Gadis di sebelah lelaki itu hanya tersenyum. Ikhlas sekali senyumannya. Farhana membalas senyuman itu.

“Farhan. Nama saudari?” Giliran Farhan bertanya.

“Farhana.” Farhan terkesima. Nama mereka sama. Maksud juga serupa. Ya Allah…

“Farhan dan Farhana. Semoga Allah menciptakan untuk saling melengkapi.” Gadis tadi bersuara tiba-tiba. Farhana tertunduk malu mendengar bicara gadis itu.

“Saya Farihah. Adik Abang Farhan. Sebenarnya, abang selalu bercerita tentang awak walaupun dia hanya pernah melihat awak sekali cuma. Setiap hari abang akan minta Far temankan dia ke taman semata-mata untuk meminta maaf. Tapi, awak tak pernah datang lagi lepas kejadian abang merenung awak tu. Abang semakin rasa bersalah. Tak sangka, hari ni dia masih diberi kesempatan oleh Allah untuk bertemu awak dalam keadaan awak yang jauh berbeza dari dulu. Alhamdulillah.” Farihah menerangkan panjang lebar. Farhana memandang Farihah. Mencari kejujuran melalui anak mata gadis itu. Fariha senyum. Dia memeluk Farhana erat.

“Farhana, abang tak pernah jatuh cinta sekalipun sebelum dia ternampak awak. Dia susah untuk jatuh cinta. Mungkin kerana statusnya sebagai imam yang membuatkan perempuan takut untuk jatuh cinta. Tapi, Far yakin yang abang dah jatuh cinta pada Farhana,” Farihah menyambung kata. Farhana tersenyum.

“Far sudi tak kalau Ana nak jadi kakak ipar Far?” Farhana berbisik. Farihah mengangguk.

“Nanti Far minta ibu dan ayah pinangkan Ana untuk abang.” Selepas menitip janji, Farhana mengajak Farhan pulang. Farhana bahagia. Dia bakal berpimpinan dengan imamnya menuju ke syurgawi. Benarlah mimpi yang pernah mengganggu lenanya dulu. Kini dia yakin, Allah ciptakan Farhan dan Farhana untuk bersama mencari mardhatillah.
 
 
Nukilan : Aimuni Marjono




No comments:

Post a Comment