First Novel

First Novel
Mujahadah Cinta

Wednesday 14 November 2012

Hijrah..Bukan SEKADAR lintasan SEJARAH

APAKAH HIJRAH?

Kata hijrah berasal dari Bahasa Arab, yang bererti MENINGGALKAN, MENJAUHKAN DIRI dan BERPINDAH TEMPAT. Dalam konteks sejarah hijrah ISLAM, hijrah adalah kegiatan perpindahan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat baginda dari Mekah ke Madinah, dengan tujuan mempertahankan dan menegakkan risalah Allah, berupa akidah dan syari’at Islam. Dengan merujuk kepada hijrah yang dilakukan Rasulullah SAW tersebut, sebahagian ULAMA' ada yang mengertikan bahawa hijrah adalah keluar dari 'DARUL KUFFUR' kepada 'DARUL ISLAM' iaitu Keluar dari KEKUFURAN menuju KEIMANAN.


Umat Islam sendiri perlulah ada semangat untuk berhijrah dari satu keadaan yang buruk kepada yang baik, satu keadaan yang baik kepada yang LEBIH baik. Ini juga merupakan salah satu monumen untuk kita meningkatkan tahap keimanan ke satu level yang lebih tinggi. Penghijarahan seseorang adalah kerana keinginan untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik dari yang sebelumnya. 


Seperti Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :



Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Hijrah yang manakah yang mahu kita tuju? Tepuk dada tanya IMAN. Apakah kita mahu menuju penghijrahan kepada Allah dan RasulNya? Ataukah penghijrahan dunia, dari KAYA kepada yang LEBIH KAYA? Thinking wisely!

SIRAH HIJRAH RASULULLAH

Menyingkap kembali rentetan sirah pernghijrahan Rasulullah, Peristiwa ini berlaku pada 632 Masihi disebabkan beberapa faktor antaranya ancaman daripada kaum Quraisy terhadap umat Islam. Malah, beberapa bulan sebelum hijrah, Rasulullah turut dihina penduduk Thaif yang angkuh dengan dakwah baginda. Justeru, bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah mengarahkan pengikut baginda keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah yang juga dikenali sebagai Yathrib.

PAda 622M, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah diberitahu bahawa kaum kafir Quraisy Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam. Lalu Allah menurunkan wahyu memerintahkan baginda meninggalkan Madinah waktu malam. Berikutan itu, baginda menemui sahabat, Abu Bakar as-Siddiq dan memintanya supaya menemani baginda dalam perjalanan berkenaan. Rasulullah juga memberitahu rancangan baginda kepada Ali bin Abi Talib supaya menggantikan tempat tidur baginda. Apabila malam menjelma, sekumpulan Quraisy mengepung rumah Rasulullah dengan niat mahu membunuh baginda. Selepas mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang lelaki sedang tidur di atas katil Rasulullah. Lalu, mereka begitu yakin bahawa Rasulullah tidak dapat melepaskan diri dan hampir pasti dapat membunuh baginda.

Bagaimanapun, apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Saidina Ali yang tidur di tempat berkenaan. Akibatnya, kaum Quraisy terpinga-pinga memikirkan bilakah Rasulullah keluar dari rumah berkenaan. Bagaimanapun, kaum Quraisy tetap mahu membunuh baginda dan mereka bersepakat mencari segenap pelusuk bagi menyempurnakan niat jahat itu. Rasulullah dan Abu Bakar keluar dari Makkah pada malam itu dan tidak ada sesiapa yang mengetahui arah tujuan mereka serta tempat persembunyian baginda kecuali Aishah dan Asma’ serta orang gaji mereka, Abdullah.

Ketika hendak meninggalkan kota Makkah untuk berhijrah ke Madinah, baginda s.a.w. pernah berkata: 

“Demi Allah wahai Makkah! Sesungguhnya engkau adalah tanah yang paling kucintai di bumi Allah ini sekiranya pendudukmu tidak mengusirku keluar.” 

Selepas itu, baginda dan Abu Bakar bertolak ke Gua Thur, tidak jauh dari bandar Makkah. Ada riwayat menyatakan baginda ke sana pada 27 Safar.

Setiba di Gua Thur, Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di situ selama tiga hari. Dalam saat getir itu, kaum Quraish masih mahu membunuh baginda. Mereka menghampiri gua berkenaan tetapi gagal menemui Rasulullah di situ. Mereka berpendapat, gua itu tidak berpenghuni selepas melihat sarang labah-labah yang masih elok menutupi kawasan berkenaan. Selepas kaum Quraisy beredar, Rasulullah dan Abu Bakar meneruskan perjalanan dengan menaiki unta yang dibawa orang gaji mereka, Abdullah.

Kaum Quraisy di Makkah kian marah dengan kehilangan Rasulullah. Mereka menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat menangkap baginda. Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya gagal. Akhirnya dengan perlindungan Allah, Rasulullah dan sahabat tiba di perkampungan kaum Bani Sabin. Penduduk di situ menyambut rombongan baginda dengan gembira.

Selepas sekian lama, Rasulullah dan sahabatnya akhir merasakan bakal menemui kejayaan. Ketika Rasulullah dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita mengenai kedatangan baginda. Malah, penduduk Madinah yang baru memeluk Islam gembira untuk menemui Rasulullah. Maka, pada Jumaat, Rasulullah akhirnya diumumkan sudah tiba di Madinah. Ada riwayat menyatakan baginda sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awal. Ketika itu, kaum Muslim keluar menyambut baginda. Rasulullah menunaikan solat di masjid di Lembah Ranuqna, tempat umat Islam berkumpul untuk melihat kelibat lelaki mereka sanjungi itu.

Sebaik sampai ke Madinah, Rasulullah mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dengan golongan Ansar berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

 “Hanya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Juga berdasarkan sabda Rasulullah yang bermaksud :

 “Seorang Muslim adalah saudara kepada seorang Muslim lain; dia tidak menzaliminya dan tidak boleh mengaibkannya. Dan sesiapa menunaikan hajat saudaranya, Allah tetap akan menunaikan hajatnya pula.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda juga membina Masjid Nabawi. Tempat itu asalnya adalah sebuah dusun kurma kepunyaan Bani Najjar yang diwakafkan untuk tujuan berkenaan. Rasulullah menyegerakan pembinaan masjid di Madinah adalah untuk dijadikan pangkalan bagi sebuah negara baru yang ditegakkan baginda. Di sinilah segala kegiatan masyarakat dijalankan. Sesungguhnya, hijrah Rasulullah bersama sahabat baginda bukan bertujuan melarikan diri bagi menyelamatkan nyawa, tetapi kerana suatu tujuan yang lebih besar yakni meneruskan perjuangan ke arah mendaulatkan agama Islam.

Jelaslah kini, penghijrahan Rasulullah adalah penghijrahan terbesar buat Islam dan seluruhnya. Peristiwa ini menjadi sejarah kepada Umat Islam sehingga kini di mana Umat Islam akan menyambut hari bersejarah ini pada setiap 1 Muharram dan merupakan bermulanya tahun baru dalam takwim Islam.

HIJRAH BUKAN SEKADAR LINTASAN SEJARAH

Apakah cukup sekadar kita mengetahui sejarah penghijrahan Rasulullah tanpa memahami apakah hijrah? Atau sekadar lintasan sejarah tanpa kita perlu menghayati dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian?

Sahabat, hijrah bukan sekadar lintasan peristiwa pada Zaman Rasulullah tetapi hijrah juga merupakan aset untuk seseorang berhijrah dalam kata yang lain berubah menjadi yang lebih baik, berilmu, beriman dan bertaqwa. Tidak cukup sekadar mengetahui sorotan sirah penghijrahan Nabi Muhammad. Rasulullah sendiri berhijrah adalah kerana mahu menyampaikan syiar Islam ke seluruhnya walaupun pelbagai bentuk ujian yang baginda hadapi. 

Ya, penghijrahan bukan sesuatu yang mudah tetapi jika kita niat untuk berhijrah ke jalan Allah, yakinlah bahawa Allah akan mempermudahkan penghijrahan kita. Semakin dekat kita kepada Allah, semakin banyak ujian dan cubaan yang dihadiahkan kepada kita untuk DIA menguji sejauh mana tahap keyakinan, keteguhan dan keimanan kita kepadaNYA. Sekadar berbicarakah atau sememangnya kita beriman kepadaNYA. 

Ayuhlah kita mulakan semangat dan jihad hijrah kita ke jalan Allah dan Rasulullah, Andai sebelum ini kita tidak berhijab, mulakan hijrah dengan berhijab. Andainya sebelum ini kita mengenakan pakaian yang sendat, hijrahkan diri kita dengan pakaian yang longgar dan labuh. Andai sebelum ini kita tidak menjalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah, nerhijrahlah untuk menjadi khalifaturrahman. InsyaAllah. Semoga penghijraham ini menjadi wadah untuk kita menjadi hamba dan muslim sejati.




Salam Hijrah : Aimuni Marjono


No comments:

Post a Comment