First Novel

First Novel
Mujahadah Cinta

Thursday 4 October 2012

Muhammad..Aku Rindu


Muhammad merenung buku Biografi Agung Rasulullah. Umurnya baru saja mencecah angka enam tetapi sifatnya terlalu matang. Agak pendiam dan lebih suka membaca terutama bahan-bahan bacaan yang menceritakan sejarah-sejarah zaman Rasulullah S.A.W dan para sahabat termasuk zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin.

“Adik, mana adik dapat buku ni?” Puan Hasnida, ibu kepada Muhammad bertanya. Hairan melihat anak tunggalnya itu memeluk buku itu. Puan Hasnida mengambil buku itu lembut dari pelukan anaknya.

“Cikgu adik hadiahkan. Adik kan dapat nombor satu masa periksa hari tu.” Ringkas jawapan Muhammad. Puan Hasnida menarik Muhammad ke dalam pelukannya. Anaknya itu sememangnya tidak banyak bicara. Nakalnya juga tiada. Sikapnya agak matang berbanding usianya.

“Ibu, adik rindu Nabi Muhammad.” Dalam kesunyian, Muhammad meluah kerinduan. Puan Hasnida sebak. Bersyukur kerana anak yang lahir dari rahimnya itu tahu erti merindui Muhammad.

“Kalau adik rindukan Nabi Muhammad, adik mesti sentiasa berselawat untuk baginda dan ikut semua sunnah baginda.” Puan Hasnida senyum. Dia faham kerinduan seorang anak kecil kepada kekasih Allah itu.

“Boleh adik tanya ibu sesuatu tak?” Muhammad merenung kedua mata wanita yang melahirkan dirinya. Puan Hasnida mengangguk.

“Kenapa ibu dan ayah namakan adik dengan nama Muhammad? Apa maksud Muhammad ya ibu?” Petah pertanyaan Muhammad.

“Muhammad tu maksudnya Yang Terpuji. Ibu dan ayah mahu adik mencontohi semua sifat Nabi Muhammad. Sebab tu ibu dan ayah beri nama Muhammad pada adik. Sifat Muhammad itu sangat terpuji sayang. Ibu dan ayah juga merindui Nabi Muhammad dan kami memknakan kerinduan kami dengan memberi permata hati kami nama seindah nama Muhammad.” Ada titis jernih yang mengalir dari tubir mata Puan Hasnida. Rasa kerinduan kepada pesuruh Allah itu terlalu mendalam. Puan Hasnida turut memeluk buku Biografi Agung Rasulullah itu erat ke dadanya.

“Terima kasih ibu.” Muhammad menyapu air mata ibunya. Puan Hasnida mengusap lembut rambut anak kesayangannya.

Puan Hasnida meninggalkan anaknya sendirian. Biarlah anaknya itu menghabiskan masa senggangnya dengan membaca sirah Nabi Muhammad. Anaknya itu sudah terlalu matang. Matang dalam berfikir dan matang dalam membuat penilaian tentang sesuatu. Semoga akhlak anaknya mencontohi akhlak acuan Nabi Muhammad.

Setelah susuk tubuh ibunya hilang di celahan pintu, Muhammad kembali membelek buku pemberian gurunya itu. Dia membuka helaian demi helaian buku tersebut. Bab satu yang menceritakan salasilah keturunan Nabi Muhammad dibacanya. Kini, dia mengetahui Nabi Muhammad juga dinamakan Ahmad juga yang membawa maksud Yang Terpuji.

Muhammad tertarik dengan sejarah bagaimana ibu Nabi Muhammad, Aminah mendapat mimpi yang meminta Aminah memberi nama anak di dalam kandungannya dengan nama Muhammad pada bulan pertama. Aminah juga didatangi oleh Nabi Adam sehinggalah bulan kesembilan yang juga turut meminta Aminah memberi nama Muhammad kepada bayi di dalam kandungannya apabila bayi iu dilahirkan kelak.

‘Ibu dapat mimpi juga ke macam ibu Nabi Muhammad dapat mimpi?’Muhammad berbisik halus.

‘Mungkin ibu pun dapat mimpi agaknya sebab tu ibu bagi adik nama Muhammad.’ Masih lagi cuba berteka teki denga dirinya sendiri. Ada senyuman yang melirik di bibir Muhammad. Lumrah anak kecil yang sentiasa berfikir walaupun jelas fikirannya itu tidak bertepatan dengan logik akal.

****************************************

Puan Hasnida dan Encik Muaz masuk ke bilik Muhammad. Ketika itu, Muhammad ralit membaca buku yang menjadi sahabatnya itu. Puan Hasnida dan Encik Muaz pelik melihat air mata dari mata comel anak mereka. Mereka mendekati Muhammad.

“Kenapa anak ayah menangis ni?” Encik Muaz bertanya. Muhammad memeluk ayahnya. Erat seeratnya. Puan Muaz melontar pandangan ke arah isterinya dan menghadiahkan sebuah senyuman.

“Adik rindukan Nabi Muhammad. Bila adik baca buku ni, adik teringin nak berjumpa dengan nabi. Adik rindu sangat pada Nabi Muhammad.” Begitu sekali kerinduan seorang anak kecil kepada Habiballah itu. Pelukan Encik Muaz semakin erat.

“Sayang, siapa yang tak mahu berjumpa dengan Nabi Muhammad? Ayah, ibu dan semua orang Islam mesti teringin nak berjumpa nabi. Kalau adik betul-betul mahu jumpa dan bertemu Nabi Muhammad, adik banyakkan berdoa. InsyaAllah, kalau adik berdoa dengan seikhlas hati, Allah akan beri adik peluang untuk bertemu Nabi Muhammad.” Enci Muaz bijak memberi jawapan. Siapa yang tidak mahu bertemu dengan kekasih Allah itu?

“Allah akan beri adik peluang jumpa Nabi Muhammad? Betulkah ayah?” Muhammad teruja. Benarkah? Tapi bagaimana? Encik Muaz mengangguk.

“Betul sayang. Allah tidak akan menghampakan hamba-hambaNya. Mungkin Allah akan beri adik peluang bertemu Nabi Muhammad dalam mimpi.” Muhammad mengerutkan dahinya. Dalam mimpi?

“Tapi ayah, mimpi itukan mainan syaitan. Ibu selalu pesan pada adik macam tu,” Muhammad masih belum berpuas hati dengan jawapan si ayah. Puan Hasnida senyum. Bijak sungguh anaknya itu berfikir dan berkata-kata.

“Memang mimpi yang buruk itu mainan syaitan tetapi siapa-siapa yang bermimpikan Nabi Muhammad, itu adalah mimpi yang benar. Syaitan tak boleh menyerupai Nabi Muhammad. Bukan semua orang bertuah dapat bertemu Rasulullah dalam mimpi. Hanya yang dipilih Allah saja sayang.” Encik Muaz menerangkan.

“Ohhh, baru adik faham. Ayah dan ibu pernah mimpi Rasulullah?”

“Tak sayang. Tapi kami juga teringin mahu mimpikan Rasulullah.” Puan Hasnida menjawab. Lembut tutur katanya. Dia mendepangkan tangan dan anaknya itu masuk ke dalam pelukannya. Terasa bertuah kerana dihadiahkan oleh Allah cahaya mata yang soleh walaupun umurnya baru enam tahun.

“Ibu dengan ayah pun kenalah doa. Nanti adik doakan untuk ibu dan ayah sekali tau. Cikgu adik cakap, doa anak soleh Allah makbulkan. Adik anak soleh kan ibu?” Mulut comel itu menutur kata.

“Iya sayang. Adik anak soleh ibu dan ayah.” Puan Hasnida sebak. Harapannya pada Muhammad cukup tinggi. Biarlah anaknya itu tidak cemerlang di dunia tetapi cemerlang di akhirat. Itu lebih diimpikan.

“Ayah, ibu, boleh tak kalau ibu dan ayah panggil adik dengan nama Muhammad?” Permintaan Muhammad itu mencetuskan tawa kecil keduanya. Puan Hasnida dan Encik Muaz memeluk Muhammad dengan pelukan kasih sayang.

“Boleh sayang.” Serentak jawapan dari Puan Hasnida dan Encik Muaz.

“Baiknya ibu dan ayah Muhammad.” Comel pujian Muhammad.

“Muhammad kami lagi baik dan bijak.” Encik Muaz bahagia. Kehadiran Muhammad adalah cahaya yang menyuluh kehidupan dia dan isterinya. Cahaya Muhammad. Muhammad menghadiahkan kucupan kepada keduanya.

***************************************

Sewaktu di sekolah, Muhammad lebih gemar membaca dari bermain. Dia mahu mengkhatamkan pembacaannya. Dia mahu menghabiskan buku Bioografi Agung Rasulullah. Cikgu Ainin turut duduk di sisinya. Anak muridnya yang seorang ini sememangnya tidak banyak karenah. Dalam pelajaran juga dia yang paling kedepan. Fikiran dan akalnya juga seperti orang dewasa. Membaca juga sungguh fasih. Tidak hairanlah dia menjadi juara ketika Pertandingan Alam Ria Pasti Malaysia tahun lalu dalam acara bercerita. Muhammad seindah nama dan pekerti Rasulullah. Semoga anak kecil ini akal menjadi dai'e suatu hari nanti.

“Muhammad dah baca sampai mana?” Cikgu Ainan bertanya. Muhammad mengalihkan pandangannya kepada guru kesayangannya dan melemparkan senyuman. Jelas kelihatan kedua lesung pipit di pipi kiri kananannya.

“Sampai Pemergian Rasulullah.” Ringkas jawapan Muhammad. Cikgu Ainan memeluk anak murid kesayangannya. Sikap dan sifat Muhammad yang berbeza dari kanak-kanak seusianya.

“Cepatnya Muhammad baca.” Timbul kekaguman pada Muhammad. Sungguh, cepat benar Muhammad mahu menghabiskan sebuah buku yang pada perkiraan kanak-kanak sepertinya agak tebal juga buku tersebut.

“Muhammad suka buku ni cikgu. Cikgu, apa maksud ummati?” Petah pertanyaan Muhammad. Lagaknya seperti seorang dewasa.

“Ummati itu bermaksud umatku. Nabi Muhammad sebutkan ummati..ummati..ummati sebanyak tiga kali sewaktu Nabi Muhammad nak wafat.” Cikgu Ainin memberi penerangan ringkas. Muhammad mengerut dahinya. Wafat? Apa wafat tu?

“Wafat tu apa cikgu?” Cikgu Ainan tergelak kecil. Lupa pula dia yang Muhammad juga masih kecil. Banyak lagi yang tidak difahaminya.

“Wafat tu meninggal dunia. Tetapi perkataan wafat hanya boleh digunakan untuk para anbiya'.”

“Anbiya' tu nabi kan cikgu? Sebab minggu lepas kan cikgu baru ajar hadth ulama'. Ada perkataan anbiya' dalam hadith tu.” Cikgu Ainan geram dengan kepetahan dan kebijaksanaan anak muridnya itu. Lantas dikucup kedua pipi anak kecil itu. Muhammad ketawa. Terasa sangat dimanjakan.

“Pandai sayang cikgu ni.”

“Cikgu pun pandai. Sebab tu cikgu ajar Muhammad.” Pujian Muhammad sangat mencuit hati. Cikgu Ainan mencucuk pinggang Muhammad. Terkekek kekek Muhammad ketawa.

“Muhammad sayang cikgu.”

“Cikgu pun sayang Muhammad. Semoga jadi anak yang soleh ye sayang. Tempat anak soleh di syurga. Muhammad nak masuk syurga?” Cikgu Ainin bertanya. Lembut bak seorang ibu. Tubuh kecil Muhammad masih di dalam pelukannya.

“Nak!!” Teruja benar Muhammad mendengar perkataan syurga.

“Kalau nak, Muhammad kena ikut semua perintah Allah. Ikut sunnah Rasulullah. Allah sayang orang yang taat tau.” Kata-kata semangat dititipkan. Bersinar-sinar mata galak anak kecil itu. Besar impiannya untuk menuju ke syurga Allah.

“Ayah Muhammad pun cakap macam tu. Ayah kata, kalau Muhammad nak jumpa Nabi Muhammad, Muhammad kena rajin doa. Nanti Allah bagi Muhammad jumpa Nabi Muhammad dalam mimpi. Betul kan cikgu?”

“Iya sayang. Siapa yang mimpikan Rasulullah, mimpi dia adalah mimpi benar. Syaitan tak boleh menyerupai Rasulullah.”

“Ibu Muhammad pun cakap macam tu. Ibu dan ayah pun teringin nak jumpa Rasulullah. Muhammad lagi rindu. Cikgu, kalau Muhammad mati masa kecil, Muhammad boleh jumpa Nabi Muhammad tak?” Cikgu Ainin tersentak mendengar pertanyaan anak muridnya itu. Semakin erat pelukannya kepada Muhammad. Ada titis mutiara dari tubir matanya.

“Kenapa cikgu menangis?” Muhammad yang tidak mengerti bahawa soalan dia tadi telah membuat hati seorang guru turut sebak.

“Cikgu tak jawab pun soalan Muhammad tadi. Cikgu, kalau Muhammad mati masa Muhammad masih kecil, Muhammad boleh jumpa Nabi Muhammad tak? Muhammad rindukan Nabi Muhammad. Boleh tak cikgu?” Muhammad mengulang pertanyaan.

“InsyaAllah sayang. Yakin dengan Allah. Allah tidak akan menghampakan permintaan hambaNya yang baik.” Dalam sedu Cikgu Ainin menjawab.

“Kalau macam tu, boleh tak Muhammad nak doa, nak mati awal?”

“Muhammad tak sayang ibu dan ayah? Tak sayang cikgu?” Cikgu Ainin semakin sedih.

“Sayang. Sebab tu Muhammad nak mati awal. Nanti kalau Muhammad dah besar, Muhammad buat jahat, ibu dan ayah yang kena tanggung dosa Muhammad kan cikgu? Kesian ibu dan ayah. Mesti sakit kalau ibu dan ayah kena siksa sebab Muhammad.” Ya Allah, sampai begini sekali kasih sayang seorang anak kecil kepada kedua orang tuanya.

“Cikgu janganlah menangis. Muhammad tanya je.” Muhammad menyapu titisan jernih yang mengalir di pipi Cikgu Ainin. Mengerti kesedihan gurunya itu barangkali.
 
****************************************

Muhammad sedang leka bermain basikal di depan rumahnya. Buku Biografi Agung Rasulullah diletakkan di bakul hadapan basikalnya. Sambil mengayuh, mulutnya tidak henti-henti berselawat. Buku Biografi Agung Rasulullah sudah habis dibacanya. Semakin kuat kerinduannya untuk bertemu dengan junjungan besar Allah itu. Tiba-tiba...

Tubuh kecil Muhammad tercampak di tepi jalan. Puan Hasnida dan Encik Muaz kaget melihat tubuh anak kesayangan mereka dipenuhi darah merah. Mereka mendapatkan Muhammad yang sedang nazak. Puan Hasnida mengambil buku kesayangan anaknya itu dan meletakkannya di sisi Muhammad. Mulut anaknya itu masih kedengaran sedang berselawat. Sempat dia berkata-kata walaupun ternyata ungkapan dia sangat lemah. Orang ramai sudah mengerumuni anak kecil itu.

“Ayah, ibu, maafkan Muhammad. Muhammad pergi dulu. Muhammad rindu Allah dan Rasulullah. Daoakan Muhammad dapat bertemu Nabi Muhammad.” Dalam kepayahan, Muhammad menghabiskan juga tuturnya. Puan Hasnida meraung sekuat hati apabila tubuh kecil itu sudah tidak bergerak lagi. Muhammad telah pergi menemui Penciptanya.

Kini, dua tahun sudah pemergian Muhammad. Namun semua kenangan ketika anaknya itu masih ada, tersemat kukuh di kotak ingatan. Muhammad, seindah nama Rasulullah. Semoga Allah mempertemukanmu dengan Nabi Muhammad mu wahai anakku. Muhammad..Aku rindu...


Reka Cipta : Aimuni Marjono




2 comments: