First Novel

First Novel
Mujahadah Cinta

Tuesday, 9 October 2012

KAU SAHABAT ABADI

SAHABAT, KAWAN, TEMAN, RAKAN semua membawa maksud yang sama dan serupa. Bezanya bagaimana seseorang itu BERSAHABAT, BERKAWAN, MENJADI TEMAN atau MENJADI RAKAN. Menurut penilaian saya sendiri, SAHABAT adalah seseorang yang sangat rapat dengan kita dan seseorang yang CUKUP MEMAHAMI, yang sentiasa cuba MENERIMA dan MEMBERI. Apabila kita susah, sedih dan kecewa, dia menjadi TAMAN yang sentiasa mewarnai hati. Tidak kiralah ketika itu bagaimana pun keadaan kita. Dia tidak pernah meninggalkan. ITU SAHABAT! Bila kita tengok wajahnya, ketenangan menjalari disegenap pelusuk jiwa. Tanpa ada rasa ragu dan sangsi. Sentiasa MEMPERCAYAI walau dia mendengar pelbagai cerita tentang kita kerana dia KENAL dan CUKUP KENAL siapa kita.
 
KAWAN pula hanya sekadar kawan yang TIDAK mengenali kita sepenuhnya. Hatinya dan kasih sayangnya pada kita juga cepat berubah mengikut peredaran masa. Berhubungan atau tak, sedikitpun tidak menjadi masalah pada dia dan kita.
 
TEMAN & RAKAN pula adalah sinonim dengan TEMAN dan RAKAN sekerja, sekuliah dan yang sama waktu dengannya. Juga TIDAK mengenali kita dengan sepenuhya. Hanya sekadar akrab apabila bersama.
 
Pada saya sendiri, hakikat PERSAHABATAN itu sangat indah. Kerana seorang SAHABAT yang cukup mengenali diri kita dengan sebenarnya kita adalah SAHABAT yang mampu menerima KELEMAHAN dan KEKURANGAN kita tanpa sedikitpun dia TIDAK PERNAH mahu meninggalkan kita bersendirian. Yang selesa apabila bercerita dan sentiasa memberi kata semangat apabila kita ditimpa duka. Yang MEMBANTU saat kita memerlukan tidak kira dari segi dan aspek apa sekalipun. Yang sentiasa BERTANYA khabar kita dan yang SENTIASA memaniskan wajahnya apabila bersama kita. Seorang SAHABAT tidak akan sekali-kali menceritakan kisah kita pada sesiapa pun apabila dia telah diamanahkan untuk menyimpannya. Seorang SAHABAT juga tidak akan menyimpan segala rasa sangsi kepada kita dan sentiasa meniupkan ukhuwwah agar lebih erat dan sempurna.
 
Seorang yang bergelar SAHABAT, TIADA galang gantinya. Pergilah ke seluruh pelusuk dunia sekalipun, dia tetap SAHABAT. SELAMANYA dia SAHABAT. Bila dia DEKAT, terasa mencintai dan saat dia JAUH teasa merindui. Itulah SAHABAT. Kehadirannya sentiasa DIDAMBA. Kehilangan dia selalu DIRINDUI.
 
Tidak saya nafikan, saya punya kawan-kawan yang dekat dengan jiwa saya. Tetapi untuk menobatkan mereka sebagai SAHABAT, belum mampu bagi saya. Kerana ERTI SAHABAT amat besar dan bermakna. Tetapi, tidak saya sangkal, kehadiran mereka membawa seri. Cuma untuk mewarnai sekeping hati, mereka juga belum mampu. Saya tidak mengharapkan seorang SAHABAT yang SEMPURNA. Cukuplah SEKADARNYA dan yang PALING PENTING, dia dan saya bersama mencipta CITA dan CINTA atas PERSAHABATAN LILLAHITA'ALA.
 
Bersama-sama melakar WACANA KEHIDUPAN agar lebih indah terarah berpandukan SYARIAT dan bersama MENJIWAI antara SATU SAMA LAIN.


KAU SAHABAT ABADI..

Saat bertentang mata,
Senyum indah terbias di wajah,
Bertukar leretan senyuman,
Kau hulurkan salam ukhuwwah,
Lebih mengeratkan,
Tautan pipi sunnah Nabi.


Kau pandu aku menuju Ilahi,
Lantas kau ukir cerita abadi,
Bersama...
Kau pamerkan pada ku,
Indahnya biasan syurga,
Dan kau pinta aku turut sama berdoa,
Agar ikatan masih utuh ketika di 'sana'.


Pesananmu sentiasa memekar hati,
Mewarnai seri hari,
Titipan demi titipan,
Kau kirimkan,
Mengecap redha Ilahi,
Dan demi sebuah ikatan hati.



Kau Sahabat Abadi..
Saat berjauhan kau tidak melupakan,
Malahan kau semakin berdekatan,
Membelah jiwa hati,
Dengan runtunan cinta Rabbi,
Seribu macam dakwah kau tarbiyahkan,
Sejuta kata hikmat kau lafazkan,
Walau hanya sekadar cebisan taipan.


Saat kau diuji duka,
Kau sentiasa menghadiahkan tawa,
Walau galau kau redha,
Kerana kau serahkan sepenuhnya pada Illah,
Bahuku kau jadikan curahan air mata,
Bersama...
Bersatu tangisan kita. 

Saat aku diduga derita,
Kau sentiasa ada mereda gelisah,
Kau pinjamkan ketabahan,
Melalui sentuhanmu dan pancaran mata,
Kau ucapkan kata cinta,
Padaku juga Rasul dan DIA. 

Saat kita sama berjaya,
Kau genggam tanganku gembira,
Bersama...
Kau janji kita kan selamanya,
Kerana..
Jiwa kau telah Allah pateri,
Dengan jiwaku berpadu hati,
Kataku...
Kau Sahabat Abadi.


Sahabat Abadi : Aimuni Marjono

 

Monday, 8 October 2012

Saat Hidayah Menyapa

Hidayah merupakan anugerah terindah dari Allah kepada umat manusia. Saat datangnya hidayah, semuanya terasa begitu indah. Seperti kelahiran semula kerana terasa diri takut untuk berbuat dosa. Hidayah adalah petunjuk dari Allah seperti maksud ayat al-Quran :

"Sesungguhnya telah datang dari Tuhanmu bukti2 yg terang, maka barangsiapa yg melihat bukti2 itu (hidayah), maka bermanfa'atlah bagi dirinya"
 
 
Hidayah itu perlu dicari. Bukan datang bergolek di depan mata. Saat hidayah datang menyapa, hidup akan lebih terarah dan bahagia. Bukan saja mereka yang sememangnya dilahirkan Islam saja yang diberi hidayah Allah, malah mereka yang dilahirkan bukan Islam juga turut diberi hidayah oleh Allah apabila Allah berkehendakkan.
 
"Barangsiapa yg Allah kehendaki mendapat petunjuk, Dia melapangkan dadanya untuk Islam"
 
Teringat saya, kisah seorang sahabat yang mendapat hidayah dan petunjuk Allah. Dia bukanlah dilahirkan sebagai Islam. Dia dilahirkan sebagai bukan Islam iaitu berbangsa cina. Saat hidayah datang menyapanya, dia seupayanya mahu mencari sinar kehidupan dengan berpandukan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Mendapat tentangan daripada keluarga adalah detik yang amat perit untuknya. Dia terpaksa menanggung keperitan apabila ibu dan ayahnya tidak lagi menganggap dia sebagai anak. Dia di halau keluar dari rumah mereka dan dibiarkan terkontang kanting tanpa tempat tinggal.
 
Saat itu, hanya Allah yang tahu bagaimana perit dan pedihnya dia meneruskan kehidupan. Tetapi kerana keimanannya, dia teruskan melangkah dan tetapkan berjalan sehinggalah dia menemui titik pertemuan dengan seorang lelaki yang kini telah pun bergelar IMAM kepada dirinya. Meladeni detik-detik kepayahan dia tanpa keluarga, kerinduan sentiasa menjadikan dia lemah. Pernah dia terfikir untuk kembali ke asalnya tetapi, fitrah kehambaannya sebagai hamba Allah, menghalangnya untuk berbuat demikian. Malah, keimanannya semakin bercambah dari hari ke hari akibat kerinduan pada Allah yang tidak bertepi. Dia memilih Allah walaupun dia kehilangan keluarga. Sehinggalah saat dia menjadi orang yang berjaya, dia tidak pernah melupakan keluarganya. Dan kini, atas doa yang tak pernah putus-putus, keluarganya juga telah beroleh hidayah Allah.
 
Hidayah Allah tidak pernah mengecewakan. Malah, andai kita yakin dengan segala apa yang Allah tentukan, keimanan akan bercambah di setiap hembusan nafas kita lantas mewarnai hidup kita sehingga kita berjaya dan beroleh kecemerlangan dunia dan akhirat. Menjadi hamba yang diredhai hidup oleh Allah adalah detik yang ditunggu-tunggu oleh setiap insan.
 
Lihat saja, apakah dengan kejadian dan kewujudan alam ini belum cukup untuk membuktikan keESAan dan keKUASAan Allah SWT? Alam ini adalah buktinya. Apabila kita telah memperoleh hidayah dari Allah, secara sendirinya, kita akan bertafakkur tentang kejadian alam. Lantas, akan membuahkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk merenung keESAanNya.
 
Carilah dan usahalah untuk mendapat hidayah Allah. Percayalah, apabila hidayah menyapa hati, ada sinar yang akan menerangi. Cahaya hidayah itu bukan mudah untuk diperoleh. Apabila telah diberi Allah, peganglah dan genggamlah hidayah itu agar ia tak terlepas dari genggaman. Berusalah untuk terus istiqomah dalam menggapai redha Allah dan mencapai hidayah yang dimiliki sehingga ke dasarnya. Manusia tidak akan lemah dengan hidayah malah bertambah kekuatan kerana dalam hidayah itu tersemat azimat yang Allah letakkan agar hambaNya terus menjadi hamba yang setia disisiNya.
 
HidayahMU Untukku : Aimuni Marjono



 

 


 


Saturday, 6 October 2012

Rindu Sentuhan Ayah

Aku merenung potret keluarga yang setia bergantungan pada dinding bilikku. Lengkap sebuah keluarga. Tanpa lompang walau seorang pun. Keluarga bahagia. Ibu, ayah dan adik beradik yang amat aku rindui. Terasa mereka terlalu dekat di hati. Walau kini terpaksa berjauhan demi sebuah masa depan. Keluarga bahagia asas paduan ummah. Itulah bingkisan yang pernah si ayah titipkan untuk anak-anak kesayangan.

"Ingat, walau di mana kita berada, kita tetap sujudkan kiblat yang sama," Pesanan sang ayah sentiasa memekar di hati. Ayah, seorang lelaki yang pandai membeli jiwaku dengan nasihat berharganya. Walau aku kesulitan, walau ditimpa kepayahan, ayah tak pernah meninggalkan. Malah dia setia memberi kata semangat dan bicara hikmat agar aku bangkit kembali meneruskan masa depan.

Ayah seorang yang amat tegas. Tetapi disebalik ketegasan, kelembutan jelas terukir di riak wajah. Menjadi sahabat bila anak-anaknya memerlukan nasihat. Ayah....

"Ayah, dah besar nanti Intan nak jadi cikgu. Ayah suka tak?" Masih aku teringat kasih ayah sewaktu aku menceritakan tentang cita-citaku. Ayah senyum dan menggosok lembut rambutku. Terasa tenang dalam  dakapan seorang ayah.

"Suka. Kalau nak jadi cikgu, Intan kena belajar rajin-rajin. Boleh masuk universiti." Ayah meniupkan kata semangat.

"Susah ke nak jadi cikgu?" Ayah menggeleng mendengar pertanyaanku. Aku senyum. Terasa lega dengan tindak balas yang ayah berikan.

"Intan nak jadi cikgu apa?" Ayah bertanya lembut.

"Nak jadi cikgu ajar agama. Intan nak jadi macam ayah dan ibu. Ayah baca al-quran best sangat. Ibu pulak pandai berzikir." Ayah tergelak kecil mendengar jawapanku. Aku tahu, ayah bahagia dengan cita-citaku. Mahu megikut jejak mereka. Syurga cinta dalam hatiku.

"InsyaAllah. Intan kena doa banyak-banyak tau. Minta pada Allah, tunaikan impian Intan tu." Ibu pula bersuara. Pipiku dicium mereka. Aku terasa terlalu disayangi.

Aku tersentak apabila mendengar pinti bilikku diketuk. Cepat-cepat aku mengesat air mata yang membasahi pipi. Allahu Rabbi. Apakah aku tidak boleh menerima takdirMU ini?

"Boleh ibu masuk?" Aku hanya mengangguk. Apabila terpandang saja wajah si ibu, hatiku bergetar sayu. Lantas, ku dakap ibu ke dalam pelukanku. Tangisan kami berpadu. Tetapi, tangisanku lebih lagi. Aku tahu ibu menyembunyikan kesedihannya di sebalik sebuah runtunan senyuman.

"Dah takdir Allah sayang. Redhakan." Aku memandang wajah ibu. Ada air yang cuba ditahan dari mengalir. Aku memegang muka suci ibuku.

"Intan tahu bu. Ini takdir Allah. Intan terima dan Intan redha." Aku cuba menipu. Aku tidak mahu ibu lagi sedih melihat kesedihanku.

 
**************************
 
Masih terbayang di ruang minda, bagaimana peritnya ayah menanggung kesakitan. Walau dia cuba menafikan, namun aku tahu dia sekadar tidak mahu aku bersedih. Adik-adikku juga tidak dapat menahan tangis apabila melihat ayah memegang perutnya.
 
"Ayah sakit?" Adik kedua ku bertanya? Ayah hanya menggeleng kepalanya. Aku tahu ayah tipu. Kerut di wajahnya menggambarkan kesakitan yang ditanggungnya saat itu.
 
"Intan, panggil ibu. Bacakan yaasin untuk ayah. Mana tahu, bila isteri dan anak-anak ayah bacakan yaasin, sakit ayah boleh berkurangan. Boleh?" Aku mengangguk. air mata sudah lencun membasahi pipi. Lantas kami mengalunkan bacaan yaasin. Tidak sanggup rasanya melihat wajah tua ayah. Ya, Allah, sembuhkan ayahku.
 
Selesai membaca yaasin, ayah senyum. Seorang demi seorang dari kami dipanggilnya. Dia meletakkan bibir keringnya pada dahi setiap kami. Hangat kucupannya. Aku memeluk ayah sekuat hatiku. Tidak mahu melepaskan. Aku terlalu rindukan ayah. Dua tahun aku di luar negara demi menggapai cita, kini aku bercuti kerana mahu dekat dengan ayah.
 
"Ayah, Intan sayang ayah." Terluah kata sayangku pada ayah. Ayah senyum. Kuat dakapannya pada tubuhku. Lemah tubuh ayah membuatku bertambah sedih. Jika diizinkan Allah, aku mahu memeluk ayah buat selamanya. Tetapi siapalah aku untuk meminta yang berlebihan? Hanya doa yang mampu aku titipkan.
 
**************************
 
Hari pernikahanku tiba. Ayah begitu bersemangat untuk menikahkan ku dengan kudratnya sendiri kerana aku anak sulungnya. Upacara pernikahan tiba. Segaknya ayah mengenakan gamis putih. Bercahaya wajahnya. Aku lihat ayah sihat seperti dulu.
 
Selesai saja suamiku melafaz akad, ayahku jatuh menyembah bumi. Aku kaget. Ayah.....
 
"Ayah, bangun ayah. Jangan tinggalkan Intan. Intan perlukan ayah. Hari ni hari bahagia Intan." Tersedu-sedu aku merayu ayah bangun kembali. Namun ternyata Allah lebih menyayangi. Kini perginya seorang wali. Nabil, lelaki yang baru saja menjadi suamiku menenangkanku. Aku memeluk ibu dan adik-adikku. Begitu cepat rasanya ayah pergi meninggalkan kami. Ayah pergi di saat inaiku masih merah di jari. Baru saja mewalikan pernikahanku, kini ayah pergi buat selamanya.
 
Majlis walimah menjadi majlis tahlil juga. Hari bahagiaku tiada makna tanpa ayah. Segala kenangan bersama ayah kekal bersemadi dalam sanubari.
 
"Intan, jadilah isteri yang solehah dan ibu mithali. Jadi macam ibu. Syurga hati suami. Ayah lepaskan Intan pada Nabil dengan ikhlas hati ayah." Kata-kata ayah malam semalam begitu menggamit hati. Kini, ayah melepaskan ku selamanya.
 
"Intan janji akan jadi syurga buat suami Intan. Intan sayang ayah."
 
Wali yang tiada berganti. Ayah yang tidak mampu ditandingi. Lelaki yang sentiasa memberi kasih sejati juga suami buat isteri yang melahirkan cahaya hati. Terima kasih Ayah.
 
Tinta Pena : Aimuni Marjono