First Novel

First Novel
Mujahadah Cinta

Thursday 17 October 2013

As-Sofa Di Persada Dakwah

MENGENALI KOLEJ ISLAM AS-SOFA

Kolej Islam As-Sofa merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang bersistemkan pondok moden. Kolej ini adalah kolej yang diasaskan oleh seorang ulama’ muda iaitu’ Al-Musnid Dato’ Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin Al-Maliki As-Sanusi. Kolej ini mempunyai keunikan dan daya tarikan yang tersendiri antaranya adalah sistem pembelajaran merangkumi semua aspek keagamaan dan kuliah pengajian kitab secara bertalaqqi pada setiap malam serta penerapan terhadap mahabbah dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Kolej Islam As-Sofa yang terletak di Ampang, Selangor Darul Ehsan merupakan satu-satunya kolej yang menekankan dan mengutamakan pelajaran tentang ADAB. Berbeza dengan institusi-institusi lain, kolej ini sangat menitik beratkan tentang adab kepada para pelajar agar adab dan ilmu dapat diseiringkan.



Berkata Ibnu al-Mubarak :

"Adab walaupun sedikit, lebih kami perlukan daripada ilmu yang banyak."
-Sumber : Kitab Adab & Doa Penuntut Ilmu karangan Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki (Muka surat 3)

Kata-kata hikmat itulah yang menunjukkan betapa ketinggian adab yang cuba diterapkan dalam diri setiap pelajar yang bernaung di bawah Kumpulan Pendidikan Sofa lebih diperlukan daripada ilmu yang banyak. Kerana ilmu tanpa adab, adalah kosong. Seseorang yang tidak berilmu tetapi beradab lebih disenangi daripada seseorang yang mempunya ilmu yang tinggi tetapi ‘zero’ adab.

                 "Aku telah berkhidmat bersama Imam Malik RA selama 20 tahun; 2 tahun daripadanya untuk mempelajari ilmu dan 18 tahun untuk mempelajari adab. Alangkah baiknya sekiranya aku dapat menjadikan seluruh masa tersebut mempelajari adab."

Disini kita lihat betapa pentingnya adab dalam hidup kita. Kita dapat lihat ulama' yang terdahulu mengutamakan adab dalam kehidupan seharian mereka.

Kolej Islam As-Sofa mempunyai matlamat yang tinggi dalam melahirkan insan kamil dan bersahsiah. Oleh kerana itu, Kolej Islam As-Sofa menerapkan sistem pembelajaran yang mengandungi elemen akademik dan diniyyah. Aspek akademik diterapkan kepada pelajar dengan cara pembelajaran yang moden dan teratur mengikut sistem yang telah diwajibkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi. Manakala bagi elemen diniyyah pula, setiap pelajar akan diwajibkan untuk menghadiri kelas keagamaan secara bertalaqqi (berguru) untuk mendalami ilmu-ilmu agama, mereka akan mengkaji sumber asal kitab dan ilmu tersebut dan akan diberikan penjelasan dan penerangan oleh guru yang berpengalaman dengan menggunakan sistem pembelajaran yang moden dan sistematik.

Kolej Islam As-Sofa menawarkan beberapa program Diploma Islam antaranya Diploma Syariah Islam, Diploma Usuluddin dan Diploma Kewangan Islam. Program Diploma di Kolej Islam As-Sofa dijalankan selama 2 tahun.

MENGENALI PENGASAS TARBIYAH KOLEJ ISLAM AS-SOFA

Al-Musnid Dato' Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin Al-Maliki As-Sanusi


Al-Musnid Dato’ Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin Al-Maliki As-Sanusi

Beliau merupakan anak jati Negeri Sembilan yang berasal dari Kampung Chenong Chengkau Rembau Negeri Sembilan Darul Khusus. Dilahirkan pada 16 September 1974 dan merupakan anak kelahiran pertama di kampungnya. Oleh itu, gelaran al Rembawi dinisbahkan kepada daerah kampungnya Rembau. Gelaran Ahmadi pula dianugerahkan oleh gurunya Sayyid Idris ibn Sayyid Mustafa al Hasani. Manakala gelaran al Maliki pula dianugerahkan oleh gurunya Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al Maliki al Hasani RA yang menisbahkan beliau kepada nama keluarganya al Maliki setelah menganggap beliau sebagai anaknya.

Di dalam bidang feqah, beliau bermazhab Syafi'i. Manakala di dalam bidang tauhid beliau berpegang dengan methodologi Imam Abu Hasan al Asy’ari RA dan Imam Abu Mansur al Maturidi RA. Manakala di dalam bidang tasawwuf beliau berpegang dengan manhaj tasawwuf Imam Junaid al Baghdadi RA.


Beliau paling sukar menolak permintaan atau pertolongan yang diadukan kepadanya. Semasa masih menuntut, beliau sering memberikan pinjaman wang kepada sahabat-sahabatnya yang memerlukan dan menyara perbelanjaan harian rakan serumahnya.

Begitu juga sekiranya diundang untuk mengajar atau mengadakan ceramah di mana-mana, beliau merasa bersalah sekiranya menolak permintaan jemputan ahli jawatan kuasa surau atau masjid atau pihak tertentu yang mengundangnya. Justeru, sekiranya terdapat halangan yang tidak dapat dielakkan yang menyebabkan beliau terpaksa menolak sesuatu undangan, beliau hanya menyuruh wakilnya sahaja memberitahu hal tersebut.

Seorang yang berjiwa lemah lembut. Beliau tidak suka berdebat sekiranya ada orang yang mempertikainya atau mengada-ngadakan cerita di belakangnya. Malah beliau lebih suka mengambil sikap berdiam diri sehingga orang tersebut berhenti daripada perbuatannya.

Atas rasa tanggungjawab, beliau banyak menghabiskan masanya untuk mengisi dada anak-anak muridnya dengan ilmu dan kekuatan rohani. Seringkali beliau mengorbankan masa bersama isteri dan anak-anak untuk bersama-sama anak-anak muridnya mencurahkan ilmu dan berbincang tentang permasalahan mereka. Beliau juga sering mengorbankan masa rehatnya demi manfaat orang-orang yang memerlukan untuk berjalan menuju kepada Allah.

Beliau tidak akan menyembunyikan kebenaran tentang sesuatu ilmu sekalipun kebenaran itu tidak secocok dengan kehendak nafsunya kerana amanah ilmu yang wajib dijaga sebagaimana yang sering diwasiatkan oleh guru-gurunya.

Sering merendahkan diri dan tidak suka menonjolkan diri dan diberikan jawatan. Oleh itu, beliau menolak jawatan dan kedudukan yang diberikan kepadanya kerana menganggap dirinya tidak layak.

Walaupun pelbagai fitnah dan tohmahan yang dilalui oleh beliau, namun semua itu tidak sedikit pun menggugah sabar dan semangat beliau untuk meneruskan dakwah islamiyyah. Kata-kata beliau merupakan nikmat bagi anak-anak murid beliau. Beliau tidak pernah mengeluh walau satu keluhan pun dalam menyampaikan ilmu Allah.


PEMBELA AHLI SUNNAH WAL JAMAAH.

Al-Musnid Dato’ Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki as-Sanusi dipilih oleh Allah untuk menjadi salah seorang pewaris Rasulullah SAW dalam meneruskan usaha dakwah. Beliau menyambung usaha dakwah Rasulullah dalam menyelesaikan kemaslahatan ummat. Beliau juga merupakan pembela kepada firqah ahli sunnah wal jamaah. Dalam setiap usaha beliau, beliau sentiasa menegakkan dan mempertahankan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dalam keramaian manusia yang masih leka dengan Syiah, Wahabi dan sebagainya, beliau masih cekal dan tabah menjadi pembela agama Allah. Beliau mahu ahli sunni berada di lapangan dan landasan agama Allah yang telah diwariskan oleh Rasulullah SAW.

SEGALANYA DI KOLEJ ISLAM AS-SOFA

Kolej Islam As-Sofa merupakan satu-satunya kolej yang mengamalkan puji-pujian kepada Allah dan Rasulullah melalui qasidah. Sebelum memulakan sesuatu majlis, pelajar-pelajar Kolej Islam As-Sofa akan mengalunkan qasidah bagi menambahkan keberkahan majlis. Semoga majlis ilmu yang diadakan akan lebih berkah.

Kolej Islam As-Sofa juga mewujudkan integrasi pengajian turath. Apa dia kitab turath? Kitab turath merupakan kitab-kitab ulama’ lampau yang masih menjadi rujukan ilmuan-ilmuan Islam kepada umat sepanjang zaman. Di antara kitab-kitab yang digunakan dalam sesi bertalaqqi ialah Minhajul Abidin, taalim muta’allim dan sebagainya. Dalam sesi bertalaqqi, pelajar di minta membacakan kitab tersebut di hadapan Al-Musnid Dato’ Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki as-Sanusi dan seterusnya akan dikupas satu persatu oleh beliau sendiri. Selain itu, di Kolej Islam As-Sofa, kitab Sahih Bukhari juga akan dibacakan pada setiap Bulan Rejab. Pelajar Kolej Islam As-Sofa menghidupkan hadith-hadith Rasulullah di saat ada puak yang mengaku dirinya sebagai anti hadith. Yang lebih menariknya, pelajar-pelajar Kolej Islam As-Sofa akan menghabiskan satu juzuk al-Quran setiap hari secara berjemaah selepas solat maghrib.

Selain itu, pelajar-pelajar di Kolej Islam As-Sofa juga mengamalkan Ratib Pagi  Petang Al-Imam Al-Sayyid Abdul ‘Aali Ibn Ahmad Ibn Idris. Ratib ini akan dibacakan secara berjemaah selepas solat subuh dan maghrib. Semoga amalan pelajar-pelajar Koleh Islam As-Sofa ini mampu diikuti oleh orang awam khususnya bagi menambahkan kecintaan kepada Allah dan kekasihNya Rasulullah.

Kolej Islam As-Sofa Ampang




AS-SOFA BUMI TARBIYAH

Berdiri megah bumi tarbiyah,
Menjadi pusat pendidikan penuh barakah,
Kolej Islam As-Sofa namanya indah,
Terus bersinar di persada dakwah.

As-Sofa Bumi Tarbiyah,
Melakar cinta buat Rasulullah,
Tak terhitung cinta kepada Allah,
Untuk membentuk peribadi islamiyyah.

As-Sofa Bumi Tarbiyah,
Tegakmu atas cintaNya,
Untuk mendidik insan yang dahaga,
Untuk membentuk seorang manusia,
Yang berguna kepada agama dan negara.

As-Sofa Bumi Tarbiyah,
Andai dulu langkah kami pincang,
Namun kini kami bukanlah si tempang,
Yang terlalu seronok dengan nikmat malang,
Tetapi kamilah bakal pejuang terbilang,
Yang akan meneruskan dakwah Islam gemilang.

Andai dulu kami leka mengejar indahnya cita-cita,
Tetapi kini kami seronok mengejar satu cinta,
Cinta adab dan ilmu warisan Nabi kita,
Al-Quran dan hadith menjadi rujukan utama.

As-Sofa Bumi Tarbiyah,
Di sini terlalu bererti buat kami,
Di sini bermula titik hijrah kami,
Di sini bermula usaha dakwah kami,
Di sini bermula lapangan mujahadah kami,
Ya di sini segalanya pasti,
Di Bumi Tarbiyah ini,
Menjadi saksi cinta kami demi Ilahi.

Pelajar Kuliyyah Usuluddin KIS batch 4/13

-AIMUNI MARJONO-


1 comment:

  1. Assalamualaikum..nk tnya, akak,best dak blaja usuludin ni? Sukatan dia mcmne,smua blaja bhsa arab ke?


    ReplyDelete