First Novel

First Novel
Mujahadah Cinta

Monday 5 August 2013

Cerpen - Terhijab Cinta Sebelum Masa

Fateh merenung di kejauhan. Sejadah di hadapannya masih setia terhampar. Ada airmata yang tidak jemu menemaninya. Sungguh saat ini dia lemah. Berkali-kali nama Allah membasahi bibirnya. Tiada lain yang dia harapkan selain sebuah pengampunan dan keredhaan. Dia sujud kembali. Untuk kesekian kalinya, ada esakan kecil yang kedengaran.

‘Ya Allah, sungguh ujian ini berat untukku. Engkau ampunkanlah aku. Redhakan aku dengan semua ketentuan dan ketetapanMU.’

Fateh bangun dari sujud. Duduk kembali. Terimbau kejadian yang menjadi asbab dia menjadi terlalu lemah. Dia tidak menyangka, tunangnya yang selama ini dirasakan setia, ditangkap kerana disyaki terlibat dengan kes khalwat. Luluh hatinya apabila dia menerima panggilan daripada pejabat JAIS petang tadi.

*Mengimbau Kejadian*

Selepas mendapat panggilan daripada Jabatan Agama Islam Selangor, Fateh bergegas keluar. Dalam hatinya pelbagai perasaan. Sedih, kecewa, marah silih berganti. Malu tidak usah diperkatakan. Malu kepada Khaliq lebih lagi. Fateh meraup mukanya. Sesekali dia menanggalkan kopiah putih yang tersarung kemas di ata kepalanya. Memang sebegitulah imejnya sebagai seorang ustaz.

Dari kejauhan, dia sudah Nampak sesusuk tubuh Nadia, gadis yang telah menghancurkan hatinya. Kelihatan juga mama dan papa Nadia. Fateh terus mendapatkan bakal keluarga mentuanya. Bakal? Dia tidak pasti samada harus atau tidak dia meneruskan hubungan pertunangan mereka. Sampai hati Nadia.

                “Uncle,” Fateh menghulurkan tangannya untuk bersalam. Papa Nadia memeluk tubuhnya kuat sehingga dia terasa kelemasan. Ada air jernih di kelopak redup mata tua itu. Mama Nadia juga. Fateh yakin, mereka juga kesal dengan perbuatan anak mereka yang telah menconteng arang ke muka keduanya. Fateh menghampiri Nadia. Nadia yang masih dengan jeans dan tshirt pendeknya hanya menunduk. Malu untuk mengangkat muka.

                “Nadia, cerita pada Fateh apa yang telah berlaku?” Tutur Fateh lembut. Walau dia kesal dengan berita yang akan menggoyahkan hubungan pertunangan mereka namun, Fateh masih ada Iman. Dia masih punya sabar.

                Hanya kedengaran tangis kecil Nadia. Dia sedar, dia telah melukakan hati lelaki di hadapannya ini. Yang sekian lama setia kepadanya. Nadia malu untuk bertentang mata.

                “Apa yang Fateh dengar tu tak betulkan?” Sekali lagi Fateh bertanya. Sabar menunggu reaksi Nadia.

                “Say something please. Nadia tak buat semua tu kan?” Fateh masih berusaha untuk tahu. Hatinya kini bagaikan digoncang hebat. Kenapa Nadia enggan menjawab. Apakah dalam kes ini pun, diam tanda setuju?

                “Maafkan Nadia Fateh. Maafkan Nadia.” Ucapan maaf itu saja sudah cukup untuk memberi jawapan kepada kerisauannya. Fateh meraup mukanya. Puas ditahan airmata agar tidak mengalir di hadapan wanita itu tetapi dia gagal. Hatinya rapuh saat ini. Hanya untuk beberapa bulan saja lagi mereka bakal disatuka. Beberapa bulan saja.
                “Tapi kenapa Nadia?” Fateh bersuara lemah. Terasa berat dadanya.

                “Nadia minta maaf.” Itu saja yang mampu Nadia ungkapkan. Hanya ungkapan maaf.

                “Nadia, bukan semua benda boleh selesai dengan ucapan maaf. Kemaafan still tak mampu ubah apa yang telah jadi. Sekadar boleh menyejukkan hati. Kenapa Nadia sanggup malukan mama dan papa Nadia? Kenapa Nadia? Fateh kesal dengan sikap Nadia. Sekalipun Nadia tidak pernah menganggap Fateh seperti tunangan Nadia, Nadia kena ingat, Nadia masih ada orang tua yang wajib dijaga aib mereka,” Fateh meluahkan kekesalan. Dia sedar selama ini, pertunangan mereka tidak memberi apa-apa erti buat seorang Nadia namun dia akui, dia sudah mula belajar untuk mencintai Nadia. Walaupun pertunangan mereka hanyalah sekadar untuk membalas budi keluarga Nadia tetapi dia akur dengan kehendak takdir.

                “Nadia tahu Nadia salah. Nadia sanggup kalau Fateh mahu leraikan pertunangan ini.” Nadia mengalah. Inilah yang pernah dia harapkan. Memutuskan hubungan pertunangan dengan seorang lelaki warak yang tidak pernah dia cintai. Selama ini sekalipun dia tidak pernah menghormati Fateh sebagai tunangannya. Malah dia terus-terusan menyakiti hati Fateh. Sekalipun lelaki itu tidak pernah kalah dengan semua helahnya.

                “Mudahnya. Hubungan pertunangan kita memang boleh putus Nadia. Tapi majlis kita hanya tinggal beberapa bulan saja. Persiapan hampir siap. Nadia sanggup memalukan orang tua Nadia dengan pernikahan tak jadi kita?” Fateh mahu menguji tahap kesanggupan Nadia. Malahan tahap pengornbanannya turut diuji.

                “Nadia sanggup.” Tegas Nadia. Fateh bungkam mendengar jawapan dari Nadia. Hatinya seperti dicarik-carik. Dia meninggalkan Nadia dengan sejuta rasa kecewa.

Fateh menuju ke sebuah masjid. Dia situlah dia mencari ketenangan. Usai maghrib dan isya’ secara berjemaah, Fateh masih tidak berganjak. Apakah ini adalah kaffarah dosanya kerana meninggalkan Ustazah Hannah kerana dia bersetuju untuk mengikat tali pertunangan dengan Nadia atas alasan balas budi?

Masih terbayang di kotak minda ketenangan wajah Ustazah Hannah saat dia terpaksa membatalkan niat untuk menikahi gadis borneo itu. Bukan dia tidak sayang, Usazah Hannah punya semua kriteria isteri yang dia inginkan. Namun tiada siapa boleh menduga takdir Tuhan. Dia akur dengan pertunangan yang asasnya bukan dari kerelaan. Hanya sebuah paksaan hati atas nama budi.

Kini, hampir 2 tahun dia tidak mendengar khabar gadis borneo itu. Apakah kelukaan hatinya sudah sembuh dimakan waktu?

Fateh membetulkan silanya. Terasa lenguh kaki kerana terlalu lama duduk. Namun lenguh kaki itu tidak mampu untuk menandingi rasa sakit kerana ulah seorang tunang. Di atas hamparan sejadah itu, dia mengadu pada Yang Satu. Dia benar-benar buntu. Apakah seharusnya dia meneruskan pertunangan mereka atau melepaskan saja Nadia untuk bersama dengan lelaki yang dicintainya. Ada hati yang perlu dijaga. Allahu Allah.

*Majlis Pernikahan*

Fateh nekad. Selepas dari peristiwa yang merobek hatinya itu, demi maruah keluarga, dia rela meneruskan majlis pernikahan antara dia dengan Nadia.

Fateh tidak mampu melelapkan matanya sehinggalah kedengaran sayupan azan subuh. Hari ini, dia bakal disatukan dengan Nadia. Baik buruk Nadia selepas dari ijab dan qabul nanti adalah atas didikan dan bimbingannya. Dia mahu jadi imam yang baik buat Nadia. Walaupun dia tahu, Nadia masih belum mampu untuk menerima dirinya, dia akan berusaha untuk memberi kebahagiaan kepada bakal isterinya itu. Tuhan itu Maha Mengerti. Dia yakin janji Allah.

                Nadia lari.

Itulah antara SMS yang diterima Fateh ketika dia sedang bersiap-siap untuk ke majlis akad nikahnya. Sekali lagi Nadia membuat onar. Allah. Apakah tidak layak untuk aku merasa tenang dan bahagia? Fateh cuba untuk tenang. Dari awal lagi sudah dia jangkakan akan berlaku sebegini. Apakah salah dia kerana tidak meleraikan saja pertunangan mereka dulu?

Fateh beristighfar. Cuba untuk menahan rasa. Terasa sesak di dada. Nadia .. Nadia.. Fateh terus ke rumah Nadia tanpa pamitan.

Sesampainya di rumah Nadia..

                “Fateh, uncle minta maaf. Uncle sendiri tak sangka Nadia sanggup lakukan begini pada kami.”

                “Bukan salah uncle dan auntie. Salah Fateh. Kita batalkan saja majlis ni uncle.” Fateh membuat keputusan. Dia malu.

                “Tidak Fateh. Majlis tetap akan dilangsungkan.” Papa Nadia memutuskan.

Fateh bingung. Diteruskan? Allahuakhbar. Tanpa pengantin perempuan?

Seakan mengerti apa yang bermain di minda anak muda itu, Papa Nadia menyambung kata.

                “Ya, majlis tetap dilangsungkan. Uncle dan semua sudah sebulat suara untuk menyatukan Fateh dengan anak uncle tapi anak tiri auntie. Sebenarnya uncle pernah berkahwin sebelum uncle berkahwin dengan auntie dulu. Tetapi jodoh kami tak panjang. Allah telah menjemput Auntie Lina untuk bertemuNya.” Drama apakah ini? Fateh masih tidak mengerti. Dia cuba untuk mencerna setiap satu kata yang keluar dari mulut Papa Nadia tetapi dia gagal. Dia culas kali ini.

Dia akur untuk kali yang ketiganya. Dia letakkan semuanya kepada Allah. Apa pun, dia berharap gadis yang bakal dinikahinya ini adalah jodoh yang terbaik buatnya.

Nurul Hannah bt Ahmad?

Fateh kaget. Benarkah nama yang ditulis di dalam borang nikah ini adalah Hannah yang pernah dia cintai suatu masa dulu?

Dalam kegugupan melafazkan ijab dan Kabul, Fateh kini menjadi seorang suami buat seorang suri. Dia merapati isterinya. Dengan lafaz bismillah, niqab isterinya dibuka. Benar sangkaannya. Fateh menyarungkan cincin pada jari isterinya. Dia gembira. Inilah nikmat Allah setelah pelbagai ujian dihadiahkan kepadanya.


Kini Hannah adalah pendamping hidupnya. Fateh memanjatkan rasa syukur. Benarlah, cinta yang suci akan terhijab sebelum tiba masa yang dijanjikan DIA. Fateh dan Hannah bersatu dalam dakapan cintaNya.

Idea Cerita - Aimuni Marjono

No comments:

Post a Comment