First Novel

First Novel
Mujahadah Cinta

Friday 9 August 2013

Al-Fatihah rantaian Rindu

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركته


Alhamdulillah, masih diberi keizinan oleh Allah untuk melakar cinta melalui kalam bisu ini. Dengan nikmat Iman dan Islam. Dengan nikmat kasih dan sayang. Selawat dan salam buat junjungan mulia, Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Raya tahun ini merupakan raya kedua tanpa seorang wali bergelar AYAH. Tidak mampu untuk saya tipu diri apabila saya mengatakan raya ini menggembirakan. Mungkin pada insan lain ya, tetapi tidak pada diri ini. Saya terlalu rindu kehadirannya di hari-hari saya. 

Cemburu melihat sahabat-sahabat yang masih punya ayah. Beraya bersama. Masih berpeluang menyalami tangan seorang lelaki kuat. Masih berpeluang mencium pipinya. Masih berpeluang memeluknya. Allah. Rindu. Hanya Dia yang Maha Tahu. Saya tidak lagi berpeluang untuk melakukan sedemikian. Ayah saya sudah dipanggil Tuhan. Hanya Al-Fatihah yang saya mampu kirimkan. Hanya untaian doa buat pengubat kerinduan.

Ambillah peluang selagi ada waktu untuk menghargai seorang ayah. Setiap titis peluh yang mengalir dari tubuh seorang ayah adalah bukti kasih dan sayangnya dia kepada kita. Bukan mudah menggalas tanggungjawab sebagai seorang ayah. Saya lihat sendiri bagaimana susahnya ayah sewaktu mahu menafkahi kami. Bersengkang mata, berpenat lelah. Sekali pun saya tidak pernah dengar keluhan dari mulutnya. Dia kuat. Sangat kuat. Dia tabah. Sangat tabah. Ayah saya bukanlah seorang yang berharta. Tetapi dia sentiasa cuba untuk memberi yang terbaik buat kami adik beradik. Juga buat isteri tercinta. Dia sentiasa ajar kami tentang Tuhan. Dia seorang yang sangat rajin mengkaji tentang Islam. Selepas itu, dia akan bercerita kepada kami. Dia akan terapkan mesej-mesej penting kepada kami.

Masih saya ingat, saya akan buat-buat tidur di ruang tamu semasa saya kecil semata-mata mahu didukung oleh si ayah. Sukanya apabila ayah mendukung saya ke bilik tidur. Hanya ayah satu-satunya insan yang memanggil saya dengan gelaran Dek 'A'. Ketika saya menginjak ke sekolah menengah, saya tidak izinkan ayah memanggil saya sebegitu. Namun kini saya amat merindui panggilan itu dari seorang ayah. 

Ayah tidak pernah menunjukkan kesakitan yang dia tanggung sehingga kami menyedari bahawa dia sedang menanggung kesakitan. Dia sebolehnya menyorokkan dari pengetahuan kami. Ketika dia tenat dulu, terasa tak berdaya untuk saya lihat keadaannya. Setiap hari saya mohon agar Allah memindahkan rasa sakit ayah itu kepada saya. Biar saya yang menanggungnya. Biar saya yang rasa sakitnya. Biar saya. Namun saya tak mampu untuk menidakkan Takdir apabila pada raya kelapan tahun 2011, ayah menghembuskan nafas terakhir dipangkuan kami sekeluarga. Ayah sangat kuat walaupun ketika dicabut nyawanya. Sedikitpun saya tak dengar erangan sakit ayah. Dia pergi dengan tenang dan dalam keadaan senyum. Alhamdulillah.

Jujurnya, susah untuk saya terima pemergian ayah. Namun kerana takdir, saya relakan sepenuh hati saya. Masih saya ingat kata-kata seorang sahabat saya, Khidir Hassan saat saya menangisi pemergian ayah saya. Dia kuatkan saya dengan kata-kata yang membuat saya berfikir : 'Ayah kau pergi jumpa Pencipta Dia. Dia dah rindu pada Allah tu. Sepatutnya kau tumpang gembira sebab dia pergi dengan senyuman.' Kata-kata itulah yang menjadi penguat saya apabila saja saya menangis kerana rindukan ayah.

Sesusuk tubuh ayah masih segar dalam ingatan saya. Sampai bila-bila. Pengorbanannya akan menjadi saksinya di sana. Walaupun ayah tidak sempat melihat saya berjaya sebagai seorang penulis novel, at least saya bersyukur kerana ayah sempat melihat saya berubah menjadi muslimah. Semangat ayah yang saya bawa ke mana pun saya pergi. 

Ayah..

Tak mungkin dapat orang hitung kasih sayang ayah kepada kami. Tak mungkin orang dapat balas semua jasa dan pengorbanan ayah yang terlalu banyak. Orang tak tahu apakah suami orang nanti hebat seperti ayah dalam mendidik anak-anak. Dalam menafkahi keluarga. Orang rindu ayah. Sangat rindu. Tapi orang hanya mampu luahkan dengan bait-bait tulisan, melalui doa dan melalui kenangan. Walau jasad ayah tak lagi bersama tapi ayah tetap hidup dalam jiwa. Ayah, bersemadilah dengan aman di sana. Orang yakin, ayah sedang bahagia. Orang titipkan al-fatihah buat ayah disepanjang masa dan usia. 

Ayah, kami ada khalifah kecil. Syabil Aiman nama dia. Wajah ayah menjadi sinar kepada wajah dia. Serupa. Bila tengok muka dia, pasti akan terbayang wajah bersih ayah. InsyaAllah, kami akan ingatkan dia tentang ayah. Hero kami dunia akhirat. 

Ya Allah, Kau cucurilah rahmat ke atas roh ayahku dan tempatkanlah dia di syurga yang selayaknya untuk seorang ayah yang mithali dan suami yang soleh. Aku merindui tiap alunan al-Quran dari bibirnya. Aku rindu untuk menjadi makmumnya dalam solat. Aku rindu bacaan al-ma'thurat darinya. Aku rindu untuk menyalami dan mengucupi tangannya. Semoga Kau himpunkan aku, keluargaku dan dia di jannahMu kelak.

Arwah Ayah (Marjono Tasmin) - AlFatihah

Dikejauhan Rindu : Aimuni Marjono

No comments:

Post a Comment