First Novel

First Novel
Mujahadah Cinta

Tuesday 6 August 2013

Cerpen - Qasidah Buat Kekasih

Rusydi bingung. Bukan dia tidak mahu untuk turut serta dalam Pertandingan Qasidah Peringkat Universiti tetapi ibubapanya tidak mengizinkan. Sebaik sahaja dia memberitu keduanya bahawa dia mahu dan melibatkan diri di dalam pertandingan tersebut, ibu dan ayahnya membantah keras. Rusydi faham. Ibu dan ayahnya tidak menggemari qasidah kerana bagi mereka itu hanyalah bidaah.

                “Ibu tidak suka Rusydi libatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Tidak ada manfaat semua tu. Qasidah pula dah sekarang ni. Lebih baik Rusydi tumpukan pada pelajaran.” Ibunya bertegas. Seperti tiada kompromi.

                “Tapi bu, Rusydi orang penting dalam kelab qasidah bu. Kali ni je bu. Please,” Rusydi terusan merayu. Semoga hati ibunya cair dengan rayuannya.

                “Ayah rasa, kamu tak perlulah nak melibatkan diri dalam qasidah tu. Ayah pernah tengok di TV. Teruk sangat. Sampai berjoget-joget. Macam sesat dah ayah tengok. Ayah tak mahu kamu jadi seperti itu.” Ayah Rusydi, Encik Ramlan pula bersuara. Menyokong kuat tentangan ibunya, Puan Zaima.

                “Tapi ibu, ayah, qasidah tu bukan bidaah. Bukan sesat. Qasidah tu puji pujian buat Allah dan rasul. Syair.” Rusydi cuba untuk menerangkan. Moga-moga ibu dan ayahnya faham.

                “Sudah. Keputusan kami muktamad. Pergi masuk bilik, tidur.” Encik Ramlan menggunakan kuasa vetonya. Rusydi melangkah longlai menuju ke kamar bujangnya. Susahnya mahu membuka hati orang untuk menerima qasidah.

                Dalam kebingungan, Rusydi meneruskan latihan qasidahnya secara perseorangan. Dia tahu, sahabat-sahabat qasidahnya pasti sedang ternanti-nanti jawapan daripadanya. Dia merupakan orang penting dalam kelab qasidah universiti. Sebelum ini, ibu dan ayahnya tiada masalah jika dia terus bergiat aktif dalam qasidah tetapi selepas mereka menonton qasidah secara live di TV, mereka terus menfatwakan yang qasidah itu bidaah. Allahu.

                Alunan qasidah Ya Badrotim bermain di bibirnya. Semakin kuat dan kuat. Dalam diam dia memprotes keputusan dan tindakan kedua orang tuanya. Tanpa sedar, matanya mula basah dengan titisan jernih. Dia sangat merindui suasana qasidah. Terlalu rindu.

*Sewaktu Di Asrama*

                “Ayah dan ibu ana tak izinkan ana untuk turut serta dalam pertandingan tu.” Rusydi berterus terang. Dia serba salah. Keputusannya sekaligus telah menghancurkan harapan sahabat-sahabatnya. Seorang demi seorang mata sahabatnya dipandang. Dia tahu mereka kecewa.

                “Tak mengapalah Di. Kami faham. Tak semua orang boleh terima qasidah. Mungkin ianya terlalu baru bagi mereka yang tidak pernah dengar tentang qasidah. Minat macam mana pun, kalau tidak mendapat restu ibu ayah pun, Allah tak redha Di. Cuma kami mohon, enta ada time pertandingan nanti. Beri semangat pada kami. Boleh?” Tutur Halim. Dia terharu dengan pengertian sahabat-sahabatnya.

                “InsyaAllah. Ana akan hadir. Syukran. Tapi kalau ana nak join untuk sesi latihan boleh? Ana dah rindu nak berqasidah ramai-ramai macam dulu.” Rusydi meminta izin. Sahabat-sahabatnya mengukir senyuman. Tangan Rusydi diraih.

Walau dalam hati mengharap Rusydi untuk turut serta dalam pertandingan tersebut, namun Halim sebagai sahabat yang paling akrab dengannya memahami keadaan Rusydi. Antara ibu bapa dan qasidah buat Kekasih tercinta. Dia cukup mengenali Rusydi. Malah keluarga Rusydi juga. Pertama kali dia membawa Rusydi bersama-sama dalam Majlis Ta’lim Darul Murtadza yang dipimpin oleh Habib Ali Zaenal Abidin, dia sudah menjangkakan penerimaan Rusydi. Kini, dia dan Rusydi masih berkongsi minat yang sama.

*Di Rumah*

                “Ayah, ibu, Rusydi tidak akan membantah keputusan ayah dan ibu untuk tidak mengizinkan Rusydi turut serta dalam pertandingan. Cuma Rusydi minta, ayah dan ibu sama-sama ikut Rusydi beri semangat kepada sahabat-sahabat Rusydi.” Tutur Rusydi. Dia berharap ibu dan ayahnya akan mempertimbangkan permintaannya.

                “Bila pertandingan tu?” Encik Ramlan bertanya.

                “Sabtu ni ayah. Di Universiti Rusydi. Kami jadi tuan rumah.” Ada bunga harapan.

                “Okey. Sabtu ni kita pergi sama-sama.” Rusydi senyum. Dia mengucapkan terima kasih kepada ayah dan ibunya. Terima kasih Allah.

Walaupun dia tidak dapat turut serta dalam pertandingan qasidah itu namun dia masih boleh bersama-sama dalam Majlis Qasidah Buat Kekasih itu. Betapa dia bersyukur atas nikmatNya.


Seperti yang dirancang, Pertandingan Qasidah Peringkat Universiti berlangsung pada tarikh dan waktu yang ditetapkan. Pada saat terakhir, Izzul, merupakan suara penting dalam Kumpulan Qasidah Saff tidak dapat hadir atas faktor kesihatan. Halim buntu. Perlukah dia memujuk Rusydi?

                “Di, Izzul tak sihat. Kita kekurangan suara. Tolong Di.” Halim merayu. Rusydi serba salah.

                “Ibu, ayah, Rusydi mohon untuk kali ini, izinkan Rusydi untuk bersama mereka di atas pentas ayah. Kali ini je.” Rusydi merayu. Encik Ramlan dan Puan Zaima saling berpandangan. Encik Ramlan menganggukkan kepalanya. Rusydi memeluk ayah dan ibunya persis anak kecil yang baru mendapat alatan mainan.

Rusydi terus ke bilik persalinan untuk menukar seragam qasidah. Bibirnya sentiasa mengukir senyum. Pertandingan bermula. Kini tiba kumpulan Qasidah Saff mengalunkan qasidah. Semua seperti terpana mendengar alunan qasidah dari Rusydi sebagai vokal utama. Encik Ramlan dan Puan Zaima turut terpegun. Tidak pernah mereka menyangka aura suara anak mereka begitu asyik. Allahuakhbar.

Pertandingan ditamatkan dengan alunan qasidah terakhir dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini, mereka hanya menunggu keputusan penobatan juara qasidah. Dalam debaran, Rusydi berharap mereka menjadi juara dalam pertandingan ini. Ketika MC menobatkan juara Pertandingan Qasidah Peringkat Universiti, Rusydi dan sahabat-sahabatnya jelas terkejut. Mereka berpelukan. Tidak sia-sia usaha mereka. Syukur.

Encik Ramlan dan Puan Zaima sedar. Mereka tidak boleh menghalang Rusydi dari minatnya. Anak mereka berbakat. Sepatutnya mereka memberi sokongan bukan halangan.


Rusydi melakukan sujud syukur. Terima Kasih Allah. Qasidah Buat Kekasih ini terlalu bererti padanya. Dia yakin ibu dan ayahnya akan mengizinkan dia untuk terus memartabatkan qasidah di mata dunia. Senyuman Rusydi semakin melebar.

Gambar hanya hiasan. Qasidah Kolej Islam As-Sofa yang dipimpin oleh Ustaz Najib.

Tinta Pena : Aimuni Marjono

No comments:

Post a Comment