First Novel

First Novel
Mujahadah Cinta

Monday 27 June 2011

SEPI SEORANG PERINDU...

Pagi yang dingin melenakan tidur Zahiril. Rumah milik arwah ayahnya masih sunyi. Hanya kedengaran kokokan ayam yang bersahut-sahutan. Sesekali kedengaran batuk ibunya yang pada pendengarannya begitu teruk sekali. Ditoleh pada jam di dinding biliknya. Jarum menunjukkan ke angka lima pagi. Dia harus bangkit untuk menyiapkan sarapan untuk ibu dan adik-adiknya.
“Kalau ayah dah tiada nanti, Airil mesti jaga keluarga kita. Airil adalah harapan kami. “ Zahiril sebak mendengar kata-kata terakhir arwah ayahnya sebelum ayahnya pergi untuk selamanya.
“Airil janji ayah. Airil janji akan jaga ibu dan adik-adik sebaik-baiknya. Ayah juga tidak akan ke mana-mana. Ayah tetap akan bersama kami. Kami sayangkan ayah. Airil janji Airil tidak akan nakal lagi.” Zahiril memahat janji. Dia tidak mahu kehilangan salah seorang pun daripada keluarganya. Keluarga adalah nyawanya.
“Ayah tak boleh hidup lama nak. Airil mesti ingat janji Tuhan pada setiap ciptaanNya. Yang hidup pasti akan mati….” Selepas menamatkan kata-kata dan mengucap kalimah syahadah, ayahnya pergi menghadap Ilahi. Kehilangan ayah amat dirasainya. Sejak dari itu, sikap Zahiril berubah. Dari seorang pelajar yang nakal kepada seorang pelajar yang terlalu pendiam.
“Eh, Abang dah bangun? Abang nak masak apa ni?” Zafira, satu-satunya adik perempuan Zahiril menegur.
“Abang nak masak nasi goreng. Fira boleh tolong abang tak?” Zahiril melirik senyuman pada adiknya.
“Boleh bang. Abang nak Fira tolong apa? Kupaskan bawang ke? Kacang je tu,”Zafira mengenyitkan matanya. Zahiril ketawa melihat gelagat manja Zafira. Airil janji ayah, Airil akan jaga keluarga kita. Airil rindukan ayah!!
Tepat pukul tujuh pagi, Zahiril ke sekolah bersama adik-adiknya. Zafira yang berada di tingkatan empat dan juga Zaim yang merupakan salah seorang pelajar yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah. Zahiril juga merupakan calon bagi Sijil Pelajaran Malaysia untuk tahun ini.
Sudah hampir tiga bulan Zahiril berubah sikap. Hanya bercakap bila perlu. Keadaanya amat merisaukan hampir kesemua guru-gurunya. Dahulu walaupun Zahiril terkenal dengan kenakalannya, tetapi Zahiril juga salah seorang pelajar yang selalu naik ke pentas untuk menerima anugerah. Semasa di tingkatan tiga juga Zahiril merupakan pelajar yang cemerlang apabila dia berjaya meraih 7A dalam Penilaian Menengah Rendah.

Tetapi sejak Zahiril kehilangan ayahnya, sikap Zahiril terus berubah. Dia bukan lagi seorang remaja yang aktif, bijak dan nakal seperti dulu. Prestasi pelajarannya juga begitu merosot. Dia seperti tiada semangat untuk meneruskan persekolahannya. Guru-guru juga ramai yang memberi kaunseling dan nasihat tetapi sikap Zahiril masih sama. Berbeza dengan sikap Zafira dan Zaim, mereka masih seperti dulu. Bijak dalam membentangkan idea-idea dalam sesuatu isu.
“Zahiril, cikgu tak mahu kamu terus-terusan macam ni. Kamu mesti kuat. Cikgu tahu kamu kehilangan tapi kamu masih ada ibu. Ibu kamu perlukan kamu. Kamu mesti buktikan kejayaan kamu pada Zafira dan Zaim. Kamu mesti jadi contoh pada mereka. Cikgu mahu kamu tumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran kamu,” Cikgu Ain menasihati. Zahiril hanya menunduk. Dia sedar yang dia bukan pelajar yang bijak lagi. Dia selalu hilang tumpuan sewaktu di dalam kelas. Dia selalu terlelap apabila sedang belajar. Mungkin kepenatannya itu berpunca daripada kerja sambilannya sebagai pelayan di sebuah gerai.
“Cikgu tak ada di tempat saya. Saya ada tanggungjawab cikgu. Saya kena jaga ibu dan adik-adik saya. Saya tak mahu kehilangan mereka pula. Cikgu tak rasa derita dan susahnya kami sejak ayah pergi. Kalau bukan saya yang bersusah payah, siapa lagi cikgu?” Zahiril berlalu meninggalkan Cikgu Ain. Untuk kesekian kalinya, Zahiril menitiskan airmatanya. Ayah!! Airil rindu ayah!!
Pulang saja dari sekolah, Zahiril terus bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Ibunya masih tidur. Mungkin kesihatan ibunya yang semakin merosot sejak dua menjak ini telah membataskan pergerakan ibunya.  Sayu hatinya apabila melihat keadaan wanita yang telah melahirkannya begitu.
“Fira, Im, abang pergi kerja dulu. Jaga ibu ya. Jangan lupa buat kerja rumah yang cikgu bagi.” Zahiril menitip pesan kepada adik-adiknya.
“Abang tak ada kerja sekolah ke? Abang tak payah pergi kerjalah. Im selalu dengar kawan-kawan Im kata abang dah tak pandai macam dulu. Im malulah abang. Dulu Im bangga sebab abang Im pandai.” Zaim meluahkan rasa. Zafira hanya memandang tepat pada wajah adiknya. Zafira tidak menyangka Zaim begitu berani meluahkan apa yang didengarinya di sekolah.
“Im jangan dengar cakap orang boleh tak?”Zafira memarahi. Mahu dijaga hati abangnya agar tidak terasa dengan kelancangan mulut adiknya itu.
Zahiril merapati kedua-dua adiknya. Diusap rambut Zaim. Walaupun Zaim sudah berada di tingkatan tiga tetapi Zaim masih mentah tentang hidup. Apalah sangat yang dia faham tentang kehidupan. Zahiril tersenyum.
“Zaim, abang buat semua ni untuk kita. Untuk Zaim, kakak dan ibu. Bukan untuk abang semata. Abang nak kita semua gembira. Hidup senang. Abang bukan nak jadi kaya raya tapi cukuplah sekadar kita cukup makan pakai. Kalau  bukan abang yang keluar bekerja, siapa lagi? Ayah dah tak ada nak kerja untuk kita. Ibu pun bukan sihat sangat. Siapa yang nak bagi duit belanja sekolah pada Im dan kakak? Siapa yang nak belikan ubat untuk ibu?” Zahiril menerangkan. Zaim hanya berdiam. Zafira menggosok lembut bahu abangnya. Dia faham penderitaan abangnya. Dia hormatkan abangnya. Dia hormati keputusan abangnya walaupun pada mulanya Zafira juga tidak bersetuju.
“Im faham bang tapi Im tak mahu abang sia-siakan pelajaran abang. Im tahu abang Im pandai. Kalau abang sayangkan Im, sayangkan ibu dan kakak, abang janji abang mesti jadi pandai macam dulu. Im sayangkan abang. Im sakit hati dengar kawan-kawan Im kutuk abang.” Zahiril sedih mendengar kata-kata yang keluar dari mulut adik bongsunya. Zaim memang bijak berkata-kata. Sesuailah dengan cita-citanya untuk menjadi seorang peguam.
“Biarlah apa orang nak kata dik. Mereka tak rasa apa yang kita rasa. Mereka boleh bercakap. Bila dah penat nanti mesti mereka berhenti bercakap tentang abang. Abang dah lambat ni. Abang pergi dulu.” Zahiril melangkah keluar selepas Zafira dan Zaim menyalaminya.
“Dik, tak baik cakap macam tu pada abang. Adik tahu kan kenapa abang jadi macam tu? Kakak pasti abang pun tak mahu jadi macam sekarang ni dik. Abang sanggup korbankan masa depan dia demi kita dik. Demi adik, demi kakak dan demi ibu. Kakak bangga dapat abang macam dia. Zaim sepatutnya bangga punyai abang seperti dia.” Zafira menegur Zaim. Bukan niatnya untuk mempertahankan apa yang Zahiril lakukan tetapi pengorbanan Zahiril sangat dihargainya.
“Zaim tahu kak. Tapi zaim tak mahu tengok abang gagal. Tahun ni kan abang nak ambil SPM. Abang pernah cakap yang dia nak jadi doktor. Dia nak rawat orang sakit. Tapi kalau abang macam ni, macam mana abang nak jadi doktor? Zaim kasihankan abang.” Zaim memandang kakaknya. Minta pengertian atas kata-katanya tadi.
“Entahlah dik. Kakak tak tahu nak cakap macam mana. Nanti kakak cuba pujuk abang.” Zafira meneruskan kerja rumahnya yang terhenti. Tanpa disedari, Puan Zarina terdengar kata-kata mereka. Dikuatkan hati agar tidak mengalirkan airmata dihadapan anak-anaknya.
“Kakak dengan adik buat apa?” Puan Zarina menegur.

“ Kami buat kerja sekolah ibu. Banyak sangat latihan cikgu bagi.” Zafira menjawab lembut. Dia mengelus lembut jemari tua ibunya. Walaupun umur Puan Zarina baru mencecah 42 tahun tetapi akibat daripada penyakit yang dialaminya sejak kematian suami yang dicintai, telah membuat wajah menelan usianya.
“Abang pergi mana kakak? Dari tadi ibu tak nampak abang pun.” Puan Zarina pura-pura bertanya. Zaim merenung kakaknya. Dia cuba untuk tidak menjawab pertanyaan ibunya.
“Ibu dah makan?Kalau ibu nak makan, kakak ambilkan bubur untuk ibu.” Zafira sekadar menutup cerita mengenai abangnya, Zahiril. Di dalam hati berdoa agar ibu tidak bertanya lagi.
“Tak apa kakak. Ibu boleh ambil sendiri. Ibu pun dah sihat. Esok ibu boleh bekerja semula.” Puan Zarina bertutur lembut. Dia tahu anak gadisnya cuba untuk menutup persoalan yang bermain di benaknya. Tanpa menunggu lama, Puan Zarina meninggalkan kedua-dua anaknya dan menuju ke dapur. Tanpa disedari ada air yang bertakung di kelopak matanya. Besar pengorbanan abang pada keluarga ini. Ya Allah, Kau jadikan anak-anak hamba manusia yang berjaya. Puan Zarina berdoa dalam hati.
Ketika Puan Zarina duduk di sebelah anak bujangnya, Zahiril kelihatan sedang menyiapkan tugasan yang diberi cikgu. Puan Zarina sedar akan perubahan anak sulungnya itu. Dalam pelajaran mahupun sikap. Zahiril bukan seorang yang periang seperti sebelum ini. Zahiril telah berubah menjadi seorang anak yang sangat bertanggungjawab dalam menjaga keluarganya. Jelas terpamer sifat ayah mereka di dalam diri Zahiril. Dalam diam, Puan Zarina bangga punyai anak seperti Zahiril.
“Abang, kalau ibu tanya, ibu mahu abang jawab jujur ya sayang.” Puan Zarina menyusun ayat. Tidak mahu anaknya berkecil hati. Dia tahu Zahiril telah menjadi seorang yang terlalu sensitif semenjak pemergian arwah suaminya. Peristiwa itu juga telah memberi impak yang besar dalam diri Zahiril. Cuma, anaknya itu suka memendam perasaan. Tiada siapa yang dapat menelah apa sebenarnya yang terbuku di hati seorang Zahiril Muzammir. Berbeza dengar sikap Zarina Muzaira dan Zaim Muzammil yang masih seperti dulu.
“Apa dia bu?” Zahiril merenung wajah kesayangannya.
“Abang kerja apa selepas habis waktu sekolah?”
“Mana ibu tahu abang kerja?Zaim atau Zafira beritahu pada ibu?” Zahiril menyoal semula ibunya. Puan Zarina menggeleng. Dia memegang bahu milik anak bujangnya itu.

“Tak abang. Tak ada sesiapa pun yang beritahu ibu. Ibu terdengar perbualan kamu adik  beradik petang tadi. Ibu tak melarang abang nak kerja, tapi abang masih bersekolah. Ibu mahu abang tumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran abang. Soal duit biar ibu yang uruskan. Lagipun duit yang arwah ayah tinggalkan masih cukup untuk tampung perbelanjaan walaupun untuk abang ke universiti nanti. Abang dah lupa janji abang pada arwah ayah dulu?” Puan Zarina berkata lembut. Cuba untuk memujuk anak lelakinya. Zahiril hanya menundukkan wajahnya. Tidak sanggup untuk membantah kata-kata ibunya.
“Sekarang ni ibu tak mahu abang kerja lagi. Ibu pun dah semakin sihat. Ibu boleh bekerja. Lagipun tempat kerja ibu bukannya dah pecat ibu. Esok ibu mula bekerja. Ibu tak mahu abang dan adik-adik jadi macam ibu dan arwah ayah. Hanya jadi kerani. Itu saja yang layak untuk kami nak.” Puan Zarina menokok. Zahiril membenarkan kata-kata ibunya. Sayu hati apabila ibu menyebut tentang ayah. Pasti ibu juga merindui arwah ayah.
“Abang minta maaf bu. Abang tak bermaksud nak buat ibu risau pasal abang. Abang Cuma nak bantu ibu. Abang tak mahu ibu jadi macam ayah. Abang sayangkan ibu. Sayangkan adik-adik. Kalau bukan abang yang berkorban, siapa lagi bu?” Zahiril meluahkan. Dicapai tangan ibunya lalu mengucup tangan itu. Tangan yang telah membesarkan dirinya dan adik-adik.
“Ibu bangga dengan abang. Ibu tahu abang anak yang baik. Tapi masa depan abang jauh lagi sayang. Ibu nak abang berjaya. Abang kata dulu abang nak jadi doktor. Kalau nak jadi doktor, abang mesti belajar sungguh-sungguh.” Puan Zarina menyuntik semangat.
“Abang fikir, lepas SPM nanti, abang tak mahu sambung belajarlah ibu. Abang nak kerja. Lagipun abang tak mahu susahkan ibu. Biar abang kerja. Bagi peluang pada Zafira dan Zaim pula bu. Masa depan adik-adik abang lagi penting.” Puan Zarina tersenyum mendengar kata-kata Zahiril. Dia mengeluarkan sesuatu dari bawah silaannya.
“Abang, cuba abang tengok ni.” Puan Zarina menghulurkan buku akaun Bank Simpanan Nasional kepada Zahiril.
“Apa ni bu?” Zahiril menyambut huluran ibunya. Pelik menguasai diri.
Cuba abang tengok dalam buku tu.” Puan Zarina masih tersenyum. Zahiril membuka buku akaun yang berada di genggamannya kini. Zahiril terpaku melihat jumlah yang tertera di dalam buku akaun tersebut.
“Banyaknya bu. Semua ni duit siapa bu?” Zahiril menyoal tidak percaya.

“Semua ni hak abang. Duit ni arwah ayah yang simpan untuk abang dari abang lahir lagi. Untuk Zafira dan Zaim, mereka ada bahagian mereka sendiri. Bila mereka dah tingkatan 5 nanti baru ibu akan tunjukkan pada mereka. Sekarang ibu tak mahu mereka tahu tentang duit ni. Ibu mahu mereka berjaya dulu.”Zahiril memeluk erat ibunya. Dia tidak menyangka arwah ayahnya ada membuat simpanan untuk dia dan adik beradiknya. Syukur ya Tuhan. Aku berjanji akan menjadi seorang yang berguna dan berjaya. Zahiril menitiskan air mata kegembiraannya.
Puan Zarina turut mengalirkan air mata gembiranya. Sudah lama dia tidak melihat wajah kegembiraan anak sulungnya itu. Semoga kebahagiaan Zahiril berpanjangan.
“Terima kasih ibu. Abang sayangkan ibu dan arwah ayah. Abang janji akan belajar bersungguh-sungguh. Abang tak akan hampakan harapan ibu nak tengok abang berjaya.” Zahiril tekad kini. Dia harus belajar dengan lebih tekun lagi. Dia tidak mahu musnahkan pengharapan ibu dan adik-adik kepadanya.
Pagi itu Zahiril bangun dengan penuh bersemangat. Dia akan mulakan kehidupan dan pengharapan yang baru. Dia mahu jadi seseorang yang berguna. Senyuman sentiasa mekar dibibirnya. Dia hendak menjadi Zahiril Muzammir yang baru. Bukan lagi Zahiril Muzammir yang tewas. Sampai saja di hadapan pagar sekolah, Zahiril melangkah ke kelas dengan senyuman yang ceria. Dia tahu pasti ramai yang terkejut dengan perubahannya yang tiba-tiba tapi dia tak peduli. Dia juga berhak untuk berubah.
“Assalamualaikum cikgu,” Zahiril mengucap salam.
“Waalaikumsalam. Oh Zahiril. Nampak ceria pagi ni?” Cikgu Maya menyoal. Pelik dengan sikap pelajar kelasnya pagi itu.
“Tak ada lah cikgu. Saya minta diri dulu cikgu.” Zahiril melangkah menuju ke kelasnya. Kelas 5 Gamma. Satu-satunya kelas aliran sains tulin di sekolahnya bagi pelajar tingkatan 5.
“Hai Airil. Gembira namapak hari ni? Kau dah ok?” Sufian merangkap kawan baik Zahiril menyoal. Zahiril hanya menggerakkan keningnya. Ya, dia sedang gembira. Kegembiraan yang telah diberi oleh ibu dan arwah ayahnya. Terima kasih ayah!!
“Senang hati aku tengok kau macam ni Ril. Tak adalah diam je,”Benar Sufian gembira melihat perubahan positif kawannya itu. Semoga kebahagiaan menjadi milik kekal Zahiril.
“Mestilah Pian. Aku mesti hidup positif. Bila dah positif, barulah bahagia. Kalau asyik bersedih je, rugilah kan?Betul tak Pian?” Dipeluk mesra bahu Sufian. Dia memang akan berubah kearah yang lebih positif. Kehilangan ayah tak bererti dia juga harus sentiasa bersikap negatif. Kalau ayah masih ada, pasti ayah juga tak mahu dia bermurung.
“Baguslah kalau kau dah boleh berfikiran positif macam tu Airil. Yang pergi tetap pergi. Kita yang hidup ni mesti teruskan hidup. Teruskan berdoa semoga ayah kau berada di FirdausiNya. Doa anak lelaki tu kan penyambung pahala untuk ibu bapa.” Mereka melangkah ke dataran minda untuk perhimpunan harian.
Semasa di dalam kelas, Zahiril begitu memberi tumpuan pada pembelajarannya. Rugi rasanya tertinggal walau sesaat pun penerangan dari gurunya. Cukuplah dia kerugian selama tiga bulan. Dia nekad tidak akan rugi lagi.
Selesai habis waktu persekolahan, Zahiril menunggu Zafira dan Zaim di luar pagar sekolah. Dia tersenyum apabila melihat adik-adiknya sedang menuju ke arahnya. Mereka berpamitan untuk pulang ke rumah.
“Macam mana hari ni abang?” Zafira memulakan perbualan.
“Lebih baik dari sebelum ni Fira. Terima kasih pada adik-adik abang ni. Banyak bantu abang,” Usapan lembut dikepala kedua-dua adiknya menambahkan lagi kebahagian Zahiril.
“Abang kan abang Im dan kakak. Mestilah kami bantu abang.” Zaim kelihatan gembira dengan perubahan abangnya. Dia hanya ada satu abang dunia akhiratnya.
   Mereka terus berjalan. Sampai saja di rumah Zahiril membersihkan diri dan menunaikan solat zohor sebelum menyediakan makanan tengahari untuk keluarganya. Zafira dan Zaim turut membantu. Mereka memasak dan diselangi dengan gurauan. Sudah lama mereka tidak bergurau sebegini.
“Dah lama kan bang kita tak bergurau macam ni. Im ingat kali terakhir masa arwah ayah ada dulu. Zaim rindulah pada arwah ayah.” Kedengaran sayu rintihan Zaim. Zahiril cuba kuat. Dia tidak mahu kelihattan lemah dihadapan adik-adiknya walaupun dia terasa mahu menangis.
“Kakak pun rindukan arwah ayah dik. Dah lama kakak tak dengar ayah nyanyikan untuk kita. Lagu apa tu? Sepi seorang perindu? Abang ingat tak?” Zafira sudah menitiskan airmatanya. Mudah benar dia menangis.
“Abang ingat. Petang ni kita ajak ibu pergi kubur arwah ayah nak tak?” Zahiril member cadangan. Tidak mahu kesedihan terus menyelubungi mereka tiga beradik.
“Nak!!” Zafira dan Zaim menjawab serentak. Zahiril menarik kedua-dua adiknya dalam pelukan.
Petang itu mereka menziarahi kubur arwah ayah mereka. Walaupun hanya sekadar melihat tanah pusara, mereka tetap gembira. Semoga arwah ayah tenang di sana.
Ayah..Airil janji akan jaga keluarga kita macam mana ayah jaga kami dulu. Airil akan belajar bersungguh-sungguh. Walaupun ayah dah tiada tapi Airil mahu ayah bangga dengan Airil.
Jelas wajah duka ibunya sewaktu membacakan surah yasin. Zafira dan Zaim juga begitu. Mereka sangat berasa kehilangan. Hilang ayah mereka maka hilanglah tunggak keluarga. Tetapi mereka akur dengan kehendak Tuhan. DaripadaNya kita datang, kepadaNya kita kembali.
“Jom bu..kita balik. Hari pun dah nak masuk senja,” Zahiril membantu ibunya bangun. Cuba ditahan airmata yang mahu menitis. Tidak akan sekali-kali dia membiarkan mereka melihat tangisannya. Dia mahu kuat menempuh dugaan hidup.

6 tahun kemudian……….

Kini Zahiril Muzammir telah bergelar seorang pakar sakit puan. Alhamdulillah. Berkat usaha dan kesabaran menempuh dugaan hidup, dia telah berjaya buktikan pada semua dia mampu berjaya walaupun ayah tercinta telah tiada. Walau dulu dia pernah terkandas impak daripada kehilangan insan yang paling dicintai, tetapi kini Zahiril berjaya mengubah nasib keluarga. Zafira juga telah berjaya menjadi seorang guru. Hanya Zaim yang masih menuntut di Institut Pengajian Tinggi.
Terima kasih ayah!!! Terima kasih ibu!!!

**cerpen ni sy pertaruhkan untuk Antologi sekolah..please gv me some support k...

~Aimuni Marjono~

No comments:

Post a Comment