Rusydi bingung. Bukan dia tidak mahu untuk turut serta
dalam Pertandingan Qasidah Peringkat Universiti tetapi ibubapanya tidak
mengizinkan. Sebaik sahaja dia memberitu keduanya bahawa dia mahu dan
melibatkan diri di dalam pertandingan tersebut, ibu dan ayahnya membantah
keras. Rusydi faham. Ibu dan ayahnya tidak menggemari qasidah kerana bagi
mereka itu hanyalah bidaah.
“Ibu
tidak suka Rusydi libatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah.
Tidak ada manfaat semua tu. Qasidah pula dah sekarang ni. Lebih baik Rusydi
tumpukan pada pelajaran.” Ibunya bertegas. Seperti tiada kompromi.
“Tapi
bu, Rusydi orang penting dalam kelab qasidah bu. Kali ni je bu. Please,” Rusydi
terusan merayu. Semoga hati ibunya cair dengan rayuannya.
“Ayah
rasa, kamu tak perlulah nak melibatkan diri dalam qasidah tu. Ayah pernah
tengok di TV. Teruk sangat. Sampai berjoget-joget. Macam sesat dah ayah tengok.
Ayah tak mahu kamu jadi seperti itu.” Ayah Rusydi, Encik Ramlan pula bersuara.
Menyokong kuat tentangan ibunya, Puan Zaima.
“Tapi
ibu, ayah, qasidah tu bukan bidaah. Bukan sesat. Qasidah tu puji pujian buat
Allah dan rasul. Syair.” Rusydi cuba untuk menerangkan. Moga-moga ibu dan
ayahnya faham.
“Sudah.
Keputusan kami muktamad. Pergi masuk bilik, tidur.” Encik Ramlan menggunakan
kuasa vetonya. Rusydi melangkah longlai menuju ke kamar bujangnya. Susahnya
mahu membuka hati orang untuk menerima qasidah.
Dalam
kebingungan, Rusydi meneruskan latihan qasidahnya secara perseorangan. Dia tahu,
sahabat-sahabat qasidahnya pasti sedang ternanti-nanti jawapan daripadanya. Dia
merupakan orang penting dalam kelab qasidah universiti. Sebelum ini, ibu dan
ayahnya tiada masalah jika dia terus bergiat aktif dalam qasidah tetapi selepas
mereka menonton qasidah secara live di TV, mereka terus menfatwakan yang
qasidah itu bidaah. Allahu.
Alunan
qasidah Ya Badrotim bermain di bibirnya. Semakin kuat dan kuat. Dalam diam dia
memprotes keputusan dan tindakan kedua orang tuanya. Tanpa sedar, matanya
mula basah dengan titisan jernih. Dia sangat merindui suasana qasidah. Terlalu
rindu.
*Sewaktu Di Asrama*
“Ayah
dan ibu ana tak izinkan ana untuk turut serta dalam pertandingan tu.” Rusydi
berterus terang. Dia serba salah. Keputusannya sekaligus telah menghancurkan
harapan sahabat-sahabatnya. Seorang demi seorang mata sahabatnya dipandang. Dia
tahu mereka kecewa.
“Tak
mengapalah Di. Kami faham. Tak semua orang boleh terima qasidah. Mungkin ianya
terlalu baru bagi mereka yang tidak pernah dengar tentang qasidah. Minat macam
mana pun, kalau tidak mendapat restu ibu ayah pun, Allah tak redha Di. Cuma
kami mohon, enta ada time pertandingan nanti. Beri semangat pada kami. Boleh?”
Tutur Halim. Dia terharu dengan pengertian sahabat-sahabatnya.
“InsyaAllah.
Ana akan hadir. Syukran. Tapi kalau ana nak join untuk sesi latihan boleh? Ana
dah rindu nak berqasidah ramai-ramai macam dulu.” Rusydi meminta izin.
Sahabat-sahabatnya mengukir senyuman. Tangan Rusydi diraih.
Walau dalam hati mengharap Rusydi untuk turut serta dalam
pertandingan tersebut, namun Halim sebagai sahabat yang paling akrab dengannya
memahami keadaan Rusydi. Antara ibu bapa dan qasidah buat Kekasih tercinta. Dia
cukup mengenali Rusydi. Malah keluarga Rusydi juga. Pertama kali dia membawa
Rusydi bersama-sama dalam Majlis Ta’lim Darul Murtadza yang dipimpin oleh Habib
Ali Zaenal Abidin, dia sudah menjangkakan penerimaan Rusydi. Kini, dia dan
Rusydi masih berkongsi minat yang sama.
*Di Rumah*
“Ayah,
ibu, Rusydi tidak akan membantah keputusan ayah dan ibu untuk tidak mengizinkan
Rusydi turut serta dalam pertandingan. Cuma Rusydi minta, ayah dan ibu
sama-sama ikut Rusydi beri semangat kepada sahabat-sahabat Rusydi.” Tutur
Rusydi. Dia berharap ibu dan ayahnya akan mempertimbangkan permintaannya.
“Bila
pertandingan tu?” Encik Ramlan bertanya.
“Sabtu
ni ayah. Di Universiti Rusydi. Kami jadi tuan rumah.” Ada bunga harapan.
“Okey.
Sabtu ni kita pergi sama-sama.” Rusydi senyum. Dia mengucapkan terima kasih
kepada ayah dan ibunya. Terima kasih Allah.
Walaupun dia tidak dapat turut serta dalam pertandingan
qasidah itu namun dia masih boleh bersama-sama dalam Majlis Qasidah Buat
Kekasih itu. Betapa dia bersyukur atas nikmatNya.
Seperti yang dirancang, Pertandingan Qasidah Peringkat
Universiti berlangsung pada tarikh dan waktu yang ditetapkan. Pada saat
terakhir, Izzul, merupakan suara penting dalam Kumpulan Qasidah Saff tidak
dapat hadir atas faktor kesihatan. Halim buntu. Perlukah dia memujuk Rusydi?
“Di,
Izzul tak sihat. Kita kekurangan suara. Tolong Di.” Halim merayu. Rusydi serba
salah.
“Ibu,
ayah, Rusydi mohon untuk kali ini, izinkan Rusydi untuk bersama mereka di atas
pentas ayah. Kali ini je.” Rusydi merayu. Encik Ramlan dan Puan Zaima saling
berpandangan. Encik Ramlan menganggukkan kepalanya. Rusydi memeluk ayah dan
ibunya persis anak kecil yang baru mendapat alatan mainan.
Rusydi terus ke bilik persalinan untuk menukar seragam
qasidah. Bibirnya sentiasa mengukir senyum. Pertandingan bermula. Kini tiba
kumpulan Qasidah Saff mengalunkan qasidah. Semua seperti terpana mendengar
alunan qasidah dari Rusydi sebagai vokal utama. Encik Ramlan dan Puan Zaima
turut terpegun. Tidak pernah mereka menyangka aura suara anak mereka begitu
asyik. Allahuakhbar.
Pertandingan ditamatkan dengan alunan qasidah terakhir
dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini, mereka hanya menunggu keputusan
penobatan juara qasidah. Dalam debaran, Rusydi berharap mereka menjadi juara
dalam pertandingan ini. Ketika MC menobatkan juara Pertandingan Qasidah
Peringkat Universiti, Rusydi dan sahabat-sahabatnya jelas terkejut. Mereka
berpelukan. Tidak sia-sia usaha mereka. Syukur.
Encik Ramlan dan Puan Zaima sedar. Mereka tidak boleh
menghalang Rusydi dari minatnya. Anak mereka berbakat. Sepatutnya mereka
memberi sokongan bukan halangan.
Rusydi melakukan sujud syukur. Terima Kasih Allah.
Qasidah Buat Kekasih ini terlalu bererti padanya. Dia yakin ibu dan ayahnya
akan mengizinkan dia untuk terus memartabatkan qasidah di mata dunia. Senyuman
Rusydi semakin melebar.
![]() |
Gambar hanya hiasan. Qasidah Kolej Islam As-Sofa yang dipimpin oleh Ustaz Najib. |
Tinta Pena : Aimuni Marjono
No comments:
Post a Comment