First Novel

First Novel
Mujahadah Cinta

Sunday, 11 August 2013

Buatmu Sahabat

Ya Allah..

Sungguh hambaMU ini tidak mampu untuk terus berdiam. Saat cinta yang Kau hadirkan setelah sekian lama dipendam. Tanpa suara. Tanpa kata. Sungguh Tuhan, hambaMU ini tidak kuat untuk menanggung beban perasaan. Walau ada cinta lain yang menjengah namun, apabila dia kembali di depan mata, terungkai semula rasa yang pernah cuba untuk dipadamkan dulu.

Ya Allah..

Lewat istikharah, aku memohon Kau berikan petunjuk. Agar aku bisa membuat keputusan hati. Aku tidak mahu terburu-buru dalam mentaklik diri. Kadang aku terasa penat. Terasa rapuhnya aku apabila berdepan dengan soal hati. Namun, aku terus bangkit kerana aku yakin Kau akan memberikan jodoh yang terbaik buatku. Aku lemah Ya Rabb. Sangat lemah.

Ya Allah..

Dalam setiap sujud cintaku, aku tidak pernah meninggalkan nama dia dari meniti di bibirku. Nama dia sentiasa menjengah pintu hatiku. Bahagiakan dia Tuhan walau bukan bersama aku. Bahagiakan dia Tuhan meski aku bukan pilihannya. Sungguh, aku mencintai dia kerana agamaNya. Dia terlalu baik untuk aku terus bermimpi menjadi pendamping hidupnya. 

Ya Allah..

Dari kejauhan, ada doa yang aku titipkan buat dirinya. Dari kejauhan, ada rindu yang tercipta untuk dia. Dari kejauhan, ada rasa yang aku rahsiakan dari pengetahuan dia. Bukan tidak mahu untuk berterus terang tentang hakikat perasaan, tetapi aku takut jika ianya melemahkan persahabatan. Dia sahabat dan mungkin selamanya akan kekal sahabat.

Ya Allah..

Saat ini, hatiku bukan lagi untuk dia. Benar, dahulu dialah yang menjuarai carta hatiku selepas Allah dan Rasul namun, apabila aku terlalu akrab dengannya, aku yakin dan semakin yakin, Allah takdirkan aku dan dia hanya sebagai sahabat. Mungkin dia memerlukan aku seperti mana aku perlukan dia dalam hidupku. Hanya sahabat. Sampai bila-bila pun dia tetap sahabat.

Sahabat..

Hanya aku pohon sekalung doa buat aku dan dia agar dapat bersama bercinta di atas cintaNYA. Aku mohon titipan doa darimu agar aku tetap berdiri saat ada yang menguji sabar. Aku mohon jangan pernah tinggalkan nama aku dalam setiap tadahan tanganMU kepadaNYA. Aku mohon sahabat. Sungguh aku mohon.

Biar cinta itu terkubur kerana aku yakin kau pasti temui cinta yang telah DIA tetapkan buatmu sahabatku.

p/s : InsyaAllah, nanti aku kenalkan kau pada dia. Lelaki yang berjaya membuka kunci hati sahabatmu ini ^___^


SahabatMu : Aimuni Marjono

Friday, 9 August 2013

Al-Fatihah rantaian Rindu

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركته


Alhamdulillah, masih diberi keizinan oleh Allah untuk melakar cinta melalui kalam bisu ini. Dengan nikmat Iman dan Islam. Dengan nikmat kasih dan sayang. Selawat dan salam buat junjungan mulia, Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Raya tahun ini merupakan raya kedua tanpa seorang wali bergelar AYAH. Tidak mampu untuk saya tipu diri apabila saya mengatakan raya ini menggembirakan. Mungkin pada insan lain ya, tetapi tidak pada diri ini. Saya terlalu rindu kehadirannya di hari-hari saya. 

Cemburu melihat sahabat-sahabat yang masih punya ayah. Beraya bersama. Masih berpeluang menyalami tangan seorang lelaki kuat. Masih berpeluang mencium pipinya. Masih berpeluang memeluknya. Allah. Rindu. Hanya Dia yang Maha Tahu. Saya tidak lagi berpeluang untuk melakukan sedemikian. Ayah saya sudah dipanggil Tuhan. Hanya Al-Fatihah yang saya mampu kirimkan. Hanya untaian doa buat pengubat kerinduan.

Ambillah peluang selagi ada waktu untuk menghargai seorang ayah. Setiap titis peluh yang mengalir dari tubuh seorang ayah adalah bukti kasih dan sayangnya dia kepada kita. Bukan mudah menggalas tanggungjawab sebagai seorang ayah. Saya lihat sendiri bagaimana susahnya ayah sewaktu mahu menafkahi kami. Bersengkang mata, berpenat lelah. Sekali pun saya tidak pernah dengar keluhan dari mulutnya. Dia kuat. Sangat kuat. Dia tabah. Sangat tabah. Ayah saya bukanlah seorang yang berharta. Tetapi dia sentiasa cuba untuk memberi yang terbaik buat kami adik beradik. Juga buat isteri tercinta. Dia sentiasa ajar kami tentang Tuhan. Dia seorang yang sangat rajin mengkaji tentang Islam. Selepas itu, dia akan bercerita kepada kami. Dia akan terapkan mesej-mesej penting kepada kami.

Masih saya ingat, saya akan buat-buat tidur di ruang tamu semasa saya kecil semata-mata mahu didukung oleh si ayah. Sukanya apabila ayah mendukung saya ke bilik tidur. Hanya ayah satu-satunya insan yang memanggil saya dengan gelaran Dek 'A'. Ketika saya menginjak ke sekolah menengah, saya tidak izinkan ayah memanggil saya sebegitu. Namun kini saya amat merindui panggilan itu dari seorang ayah. 

Ayah tidak pernah menunjukkan kesakitan yang dia tanggung sehingga kami menyedari bahawa dia sedang menanggung kesakitan. Dia sebolehnya menyorokkan dari pengetahuan kami. Ketika dia tenat dulu, terasa tak berdaya untuk saya lihat keadaannya. Setiap hari saya mohon agar Allah memindahkan rasa sakit ayah itu kepada saya. Biar saya yang menanggungnya. Biar saya yang rasa sakitnya. Biar saya. Namun saya tak mampu untuk menidakkan Takdir apabila pada raya kelapan tahun 2011, ayah menghembuskan nafas terakhir dipangkuan kami sekeluarga. Ayah sangat kuat walaupun ketika dicabut nyawanya. Sedikitpun saya tak dengar erangan sakit ayah. Dia pergi dengan tenang dan dalam keadaan senyum. Alhamdulillah.

Jujurnya, susah untuk saya terima pemergian ayah. Namun kerana takdir, saya relakan sepenuh hati saya. Masih saya ingat kata-kata seorang sahabat saya, Khidir Hassan saat saya menangisi pemergian ayah saya. Dia kuatkan saya dengan kata-kata yang membuat saya berfikir : 'Ayah kau pergi jumpa Pencipta Dia. Dia dah rindu pada Allah tu. Sepatutnya kau tumpang gembira sebab dia pergi dengan senyuman.' Kata-kata itulah yang menjadi penguat saya apabila saja saya menangis kerana rindukan ayah.

Sesusuk tubuh ayah masih segar dalam ingatan saya. Sampai bila-bila. Pengorbanannya akan menjadi saksinya di sana. Walaupun ayah tidak sempat melihat saya berjaya sebagai seorang penulis novel, at least saya bersyukur kerana ayah sempat melihat saya berubah menjadi muslimah. Semangat ayah yang saya bawa ke mana pun saya pergi. 

Ayah..

Tak mungkin dapat orang hitung kasih sayang ayah kepada kami. Tak mungkin orang dapat balas semua jasa dan pengorbanan ayah yang terlalu banyak. Orang tak tahu apakah suami orang nanti hebat seperti ayah dalam mendidik anak-anak. Dalam menafkahi keluarga. Orang rindu ayah. Sangat rindu. Tapi orang hanya mampu luahkan dengan bait-bait tulisan, melalui doa dan melalui kenangan. Walau jasad ayah tak lagi bersama tapi ayah tetap hidup dalam jiwa. Ayah, bersemadilah dengan aman di sana. Orang yakin, ayah sedang bahagia. Orang titipkan al-fatihah buat ayah disepanjang masa dan usia. 

Ayah, kami ada khalifah kecil. Syabil Aiman nama dia. Wajah ayah menjadi sinar kepada wajah dia. Serupa. Bila tengok muka dia, pasti akan terbayang wajah bersih ayah. InsyaAllah, kami akan ingatkan dia tentang ayah. Hero kami dunia akhirat. 

Ya Allah, Kau cucurilah rahmat ke atas roh ayahku dan tempatkanlah dia di syurga yang selayaknya untuk seorang ayah yang mithali dan suami yang soleh. Aku merindui tiap alunan al-Quran dari bibirnya. Aku rindu untuk menjadi makmumnya dalam solat. Aku rindu bacaan al-ma'thurat darinya. Aku rindu untuk menyalami dan mengucupi tangannya. Semoga Kau himpunkan aku, keluargaku dan dia di jannahMu kelak.

Arwah Ayah (Marjono Tasmin) - AlFatihah

Dikejauhan Rindu : Aimuni Marjono

Thursday, 8 August 2013

Takdir Cinta

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركته

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan oleh Allah SWT menulis dan berkongsi di laman sesawang ini. Syukur kerana dengan nikmat nafas yang berpanjangan sehingga selesai bulan Ramadhan untuk tahun 1434 Hijrah ini. Esok 8 Ogos 2013 bersamaan 1 Syawal 1434 Hijrah, ummat Islam akan meraikan hari kemenangan iaitu Eid Fitri. Semoga raya kali ini kita raikan dengan penuh keImanan dan ketaqwaan. InsyaAllah.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya hanya beraya di Gombak Selangor kerana ibu dan arwah ayah sememangnya berasal dari sini. Tidak pernah merasai nikmat pulang ke kampung. InsyaAllah, kalau dipanjangkan umur dan diberi keizinan oleh Allah, mana tahu Allah kurniakan kepada saya seorang pendamping yang sememangnya punya kampung halaman. Siapa tahu kan? Mohon doa.

Okaylah, stop topik raya. Kita berbalik kepada tajuk sebenar penulisan saya kali ini. Takdir Cinta. Kenapa Cinta ya? Okay, begini. Cinta itu fitrah dan anugerah. Setiap makhluk, Allah akan titipkan rasa untuk mencintai dan dicintai. Tetapi sejauh mana kita memahami maksud cinta itu terpulang pada diri kita sendiri. Tepuk dada tanya Iman bukan? So, kita akan ketemu jawapan. Mudah dan simple. InsyaAllah.

MENCINTAI ITU PENAT...

Tidak saya nafikan, mencintai makhluk itu sangat penat. Tambah lagi jikalau kita mencintai dalam diam. Hanya kita dan Allah yang tahu. Saya sudah merasainya. Terkadang kita rasa mengalah. Rasa macam nak berhenti berharap. Tapi dari sudut lain kata, kita harus berjuang. Berjalan tanpa henti (pinjam tagline Devotees). Kadang-kadang tertanya pada diri sendiri, layakkah aku untuk dia. Plus yang wanita. Kita sememangnya dikurniakan Allah sifat malu. Apabila menyukai dan menyintai, sehabis baik kita cuba untuk menutupi perasaan itu. Biarlah dia tidak tahu. Biarlah. Sakit perit kita yang tanggung. Hanya tembak doa. Moga-moga Allah makbulkan doa kita.

Saya juga sebegitu. Saya bukanlah seorang yang suka tayang cinta saya. Sangat susah untuk saya jatuh cinta. Pada saya, biarlah saya mencintai lelaki yang selayaknya untuk bergelar SUAMI. Bukan sekadar boyfie yang tidak nampak hala tuju sesebuah hubungan. Tidak saya nafikan, mencintai ini terlalu penat. Saya sendiri kadang-kadang rasa give up. Lebih-lebih lagi bila kita tak sedar diri mencintai lelaki yang ilmunya tinggi. Lelaki soleh. Allah, terasa tidak layaknya kita untuk berdampingan dengan dia. Dalam anganan mungkin Realiti? Allahurabbi.

TAQDIM..

Pernah saya terfikir untuk taqdim dia. Tetapi memandangkan kami masih terikat dengan pelajaran, saya akur dengan kehendak takdir. Saya teringat satu hadith Rasulullah SAW berkenaan dengan wanita melamar lelaki untuk di jadikan suami.

Wahai rasulullah apakah engkau berhajat kepada aku?” lalu ketika menceritakan hadith ini maka menyampuklah anak perempuan Anas ra dengan mengatakan sungguh kurang malu perempuan itu dan buruk akhlaknya, lalu dijawab oleh Anas ra : “Sesungguhnya dia itu (perempuan yang menawar diri) lebih mulia dan baik darimu kerana dia mencintai nabi salallahualaihiwasalam dan menawar dirinya demi kebaikan”. (lihat hadith sahih dalam riwayat Bukhari no 5120 , Nasaie dan Ibn Majah)

Hadith ini bukanlah merujuk kepada Nabi Muhammad sahaja bahkan ianya menjadi contoh untuk kaum hawa seandainya ada lelaki yang dia redhai agamanya, maka sunat untuk kita memulakan lamaran. 

Bukankah Siti Khadijah dulu yang melamar Rasulullah? Tidak menjadi kesalahan untuk kita mencontohi cara Siti Khadijah. Mungkin lamaran itulah yang akan membawa kebahagiaan sehingga ke syurgawi. Siapa tahu?

Tapi kita tak sehebat Siti Khadijah..

Ya, saya akui, kita bukanlah sehebat Saidatina Khadijah. Terlalu jauh untuk menjadi seperti dia. Seorang isteri kesayangan Rasul tercinta. Tetapi tidak salah sekiranya kita mencontohi caranya. Meminang seorang lelaki bagi tujuan untuk mendirikan masjid. Tak salah kan?



HADIRNYA TANPA DISEDARI..

Betul. Cinta tu hadir tanpa kita sedar sebenarnya. Ada yang bermula dari pandang pertama. Ada yang dari rasa benci. Apa pun semua tu aturan Allah. Lain orang lain citarasa dia. Tetapi yakinlah, cinta dari Allah itulah cinta yang sebenarnya. 

Saya teringat lirik lagu Dhearthy - Permata Yang Dicari

'Hadirnya tanpa ku sedari,
Menggamit kasih cinta bersemi,
Hadir cinta insan padaku ini,
Anugerah kurniaan Ilahi.'

Nah. Betulkan? Tapi ingat, bagaimana pun cinta itu hadir, cinta Allah kita raih dulu. Takkan kita nak bercinta tapi mendapat murka kan? Kalau benar cinta, bawa dia ke Syurga.

Jangan bercinta atas tiket nafsu. Sebab tu dalam Islam, bercinta selepas nikah itu lebih indah. Lihat saja qudwah hasanah kita. Bukankah baginda merasai cinta Saidatina Khadijah selepas bernikah? Ali dan Fatimah juga. Ayuh, kejar pahala dalam cinta.

Allah dah rangka takdir kita. Kalau betul kita suka pada seseorang itu, tembak doa. Allah tidak akan menghampakan hambaNYA yang tak pernah berhenti berdoa. Yakin takdir dan janji Allah. InsyaAllah, bahagia akan kita peroleh jua.

Sisipan Rasa : Aimuni Marjono