First Novel

First Novel
Mujahadah Cinta

Saturday, 6 October 2012

Rindu Sentuhan Ayah

Aku merenung potret keluarga yang setia bergantungan pada dinding bilikku. Lengkap sebuah keluarga. Tanpa lompang walau seorang pun. Keluarga bahagia. Ibu, ayah dan adik beradik yang amat aku rindui. Terasa mereka terlalu dekat di hati. Walau kini terpaksa berjauhan demi sebuah masa depan. Keluarga bahagia asas paduan ummah. Itulah bingkisan yang pernah si ayah titipkan untuk anak-anak kesayangan.

"Ingat, walau di mana kita berada, kita tetap sujudkan kiblat yang sama," Pesanan sang ayah sentiasa memekar di hati. Ayah, seorang lelaki yang pandai membeli jiwaku dengan nasihat berharganya. Walau aku kesulitan, walau ditimpa kepayahan, ayah tak pernah meninggalkan. Malah dia setia memberi kata semangat dan bicara hikmat agar aku bangkit kembali meneruskan masa depan.

Ayah seorang yang amat tegas. Tetapi disebalik ketegasan, kelembutan jelas terukir di riak wajah. Menjadi sahabat bila anak-anaknya memerlukan nasihat. Ayah....

"Ayah, dah besar nanti Intan nak jadi cikgu. Ayah suka tak?" Masih aku teringat kasih ayah sewaktu aku menceritakan tentang cita-citaku. Ayah senyum dan menggosok lembut rambutku. Terasa tenang dalam  dakapan seorang ayah.

"Suka. Kalau nak jadi cikgu, Intan kena belajar rajin-rajin. Boleh masuk universiti." Ayah meniupkan kata semangat.

"Susah ke nak jadi cikgu?" Ayah menggeleng mendengar pertanyaanku. Aku senyum. Terasa lega dengan tindak balas yang ayah berikan.

"Intan nak jadi cikgu apa?" Ayah bertanya lembut.

"Nak jadi cikgu ajar agama. Intan nak jadi macam ayah dan ibu. Ayah baca al-quran best sangat. Ibu pulak pandai berzikir." Ayah tergelak kecil mendengar jawapanku. Aku tahu, ayah bahagia dengan cita-citaku. Mahu megikut jejak mereka. Syurga cinta dalam hatiku.

"InsyaAllah. Intan kena doa banyak-banyak tau. Minta pada Allah, tunaikan impian Intan tu." Ibu pula bersuara. Pipiku dicium mereka. Aku terasa terlalu disayangi.

Aku tersentak apabila mendengar pinti bilikku diketuk. Cepat-cepat aku mengesat air mata yang membasahi pipi. Allahu Rabbi. Apakah aku tidak boleh menerima takdirMU ini?

"Boleh ibu masuk?" Aku hanya mengangguk. Apabila terpandang saja wajah si ibu, hatiku bergetar sayu. Lantas, ku dakap ibu ke dalam pelukanku. Tangisan kami berpadu. Tetapi, tangisanku lebih lagi. Aku tahu ibu menyembunyikan kesedihannya di sebalik sebuah runtunan senyuman.

"Dah takdir Allah sayang. Redhakan." Aku memandang wajah ibu. Ada air yang cuba ditahan dari mengalir. Aku memegang muka suci ibuku.

"Intan tahu bu. Ini takdir Allah. Intan terima dan Intan redha." Aku cuba menipu. Aku tidak mahu ibu lagi sedih melihat kesedihanku.

 
**************************
 
Masih terbayang di ruang minda, bagaimana peritnya ayah menanggung kesakitan. Walau dia cuba menafikan, namun aku tahu dia sekadar tidak mahu aku bersedih. Adik-adikku juga tidak dapat menahan tangis apabila melihat ayah memegang perutnya.
 
"Ayah sakit?" Adik kedua ku bertanya? Ayah hanya menggeleng kepalanya. Aku tahu ayah tipu. Kerut di wajahnya menggambarkan kesakitan yang ditanggungnya saat itu.
 
"Intan, panggil ibu. Bacakan yaasin untuk ayah. Mana tahu, bila isteri dan anak-anak ayah bacakan yaasin, sakit ayah boleh berkurangan. Boleh?" Aku mengangguk. air mata sudah lencun membasahi pipi. Lantas kami mengalunkan bacaan yaasin. Tidak sanggup rasanya melihat wajah tua ayah. Ya, Allah, sembuhkan ayahku.
 
Selesai membaca yaasin, ayah senyum. Seorang demi seorang dari kami dipanggilnya. Dia meletakkan bibir keringnya pada dahi setiap kami. Hangat kucupannya. Aku memeluk ayah sekuat hatiku. Tidak mahu melepaskan. Aku terlalu rindukan ayah. Dua tahun aku di luar negara demi menggapai cita, kini aku bercuti kerana mahu dekat dengan ayah.
 
"Ayah, Intan sayang ayah." Terluah kata sayangku pada ayah. Ayah senyum. Kuat dakapannya pada tubuhku. Lemah tubuh ayah membuatku bertambah sedih. Jika diizinkan Allah, aku mahu memeluk ayah buat selamanya. Tetapi siapalah aku untuk meminta yang berlebihan? Hanya doa yang mampu aku titipkan.
 
**************************
 
Hari pernikahanku tiba. Ayah begitu bersemangat untuk menikahkan ku dengan kudratnya sendiri kerana aku anak sulungnya. Upacara pernikahan tiba. Segaknya ayah mengenakan gamis putih. Bercahaya wajahnya. Aku lihat ayah sihat seperti dulu.
 
Selesai saja suamiku melafaz akad, ayahku jatuh menyembah bumi. Aku kaget. Ayah.....
 
"Ayah, bangun ayah. Jangan tinggalkan Intan. Intan perlukan ayah. Hari ni hari bahagia Intan." Tersedu-sedu aku merayu ayah bangun kembali. Namun ternyata Allah lebih menyayangi. Kini perginya seorang wali. Nabil, lelaki yang baru saja menjadi suamiku menenangkanku. Aku memeluk ibu dan adik-adikku. Begitu cepat rasanya ayah pergi meninggalkan kami. Ayah pergi di saat inaiku masih merah di jari. Baru saja mewalikan pernikahanku, kini ayah pergi buat selamanya.
 
Majlis walimah menjadi majlis tahlil juga. Hari bahagiaku tiada makna tanpa ayah. Segala kenangan bersama ayah kekal bersemadi dalam sanubari.
 
"Intan, jadilah isteri yang solehah dan ibu mithali. Jadi macam ibu. Syurga hati suami. Ayah lepaskan Intan pada Nabil dengan ikhlas hati ayah." Kata-kata ayah malam semalam begitu menggamit hati. Kini, ayah melepaskan ku selamanya.
 
"Intan janji akan jadi syurga buat suami Intan. Intan sayang ayah."
 
Wali yang tiada berganti. Ayah yang tidak mampu ditandingi. Lelaki yang sentiasa memberi kasih sejati juga suami buat isteri yang melahirkan cahaya hati. Terima kasih Ayah.
 
Tinta Pena : Aimuni Marjono
 


Langit Cinta

Di bawah langit cintaMU,
Aku berdiri dan berlari,
Ingin aku melangkah sendiri,
Namun kegagalan ku temui,

Kerana aku perlukan cinta Ilahi,
Untuk ku lenyapkan noktah emosi..


Ingin sekali aku berjalan,              
Mencari hala tuju diri,
Namun ternyata aku lemah,
Kerana aku terlalu goyah,
Dengan dunia yang serba indah..

Di bawah langit cintaMU,     
KAU kuatkan aku dengan MEHNAH,
KAU ajar aku dengan MUSIBAH,      
KAU didik aku dengan MUJAHADAH,
Sehingga aku mampu menggenggam TABAH..

Di bawah langit cintaMU,
Bermula tarikan nafasku,
Sehingga hujung pernafasanku,
Setiaku hanya padaMU,
Cintaku satu hanya untuk Yang Maha Tahu.. 

Hamba Langit CintaMU : Aimuni Marjono

 




Friday, 5 October 2012

Artis..Mereka Juga Manusia Biasa

MENG'IDOLA'KAN ARTIS BARAT

Benar atau tidak, segelintir masyarakat khususnya golongan belia remaja punya artis kegemaran mereka dalam atau luar negara. Sejauh mana minat itu, hanya hati yang mampu memberi jawapan. Sekadar minat kerana bakat, suara, lakonan atau pun peribadi seseorang artis itu? Ataupun minat kerana ketampanan wajah atau pun kecantikan rupa? Check your heart. Zaman kini, sememangnya seseorang artis itu akan dijadikan idola tidak kiralah dari segi apa sekalipun. Baik atau tidak corak kehidupan artis tersebut, tidak diambil peduli. Apa yang penting, lakonannya mantap, suaranya tip top. Bila menari, alahai mampu menggetarkan hati. Bila menyanyi, mampu menggoncang nurani.

"Hensemnya dia ni"

"Seksinya. Comel."

"Aduh muka dia, boleh terpikat ni."

Inilah antara komentar-komentar buat si artis.

Apakah kita lupa, Allah melihat pada hati kita? Apakah layak kamu memuji dan memuja manusia yang juga makhluk ciptaanNya? Menjadikan artis kegemaranmu sebagai idola walau sahih yang artis tersebut bukanlah artis yang beragama Islam. Mengikut tariannya, mengikut trend dia berpakaian yang jelas jauh tersasar dari ajaran dan panduan Islam. Apakah kita lupa, cara Islam itu lebih indah? Fikirkan... Apakah perlu kita menjadikan artis yang sudah nyata tiada tamadunnya, tiada cara Islamnya, juga yang menyembah tuhan selain Tuhan kita sebagai idola? Naudzubillah.

Usahlah terlalu meng'idola'kan mereka yang tidak pernah meng'idola'kan Nabi kita sebagai ikon mereka. Hanya buang masa! Apakah kamu rela kiranya ada sesetengah dari lirik lagu dan jalan cerita yang dicipta bangsa mereka, menghentam kita sebagai Islam? Menghina nabi kita dengan sewenangnya? Mempermainkan Allah, Tuhan kita umpama mempersendakan kekuasaannya. Lihat saja lirik lagu It Will Rain yang boleh menyebabkan kita terkeluar dari landasan aqidah lantas menjadi kaffir tanpa kita sedar.

There’s no religion that could save me

Seronok menyanyi tanpa sedar liriknya akan menjadikan Iman kita runtuh. Punah ranah dalam sekelip mata. Jika kita tersedar yang lirik tersebut akan menyebabkan Allah murka, lantas kita kembali bersyahadah cinta, Alhamdulillah. Masih ada Iman yang bertapak di hati. Tetapi kiranya kita bernyanyi tanpa menyedari lirik tersebut telah menyebabkan kita termasuk dalam golongan yang kufur dan tiada sempat untuk kembali mengucap kalimah syahadah, apakah pengakhiran kehidupan kita? Murtad tanpa sedar!


FITRAH NALURI MANUSIA

Ya, sememangnya lumrah manusia meminati. Tidak saya nafikan, saya juga turut meminati segelintir artis. Tetapi sejauh manakah rasa minat tersebut? Adakah dengan benar-benar mencintai sehinggakan 'Lautan Api Sanggup Ku Redahi'? Atau hanya sekadar meminati tanpa punya apa-apa 'feeling'? Tanya sama hati...
 
Berhabis duit beratus-ratus semata-mata mahu ke konsert. Bukankah pembaziran namanya. Tidak salah jika konsert tersebut dianjurkan kerana memberi kebaikan, seperti Konsert Amal atau pun konsert-konsert untuk menyumbang kepada negara-negara Islam kita di luar sana. Mungkin dengan cara sebegitu, tabung derma untuk mereka yang memerlukan, akan terisi dan dapat pula disalurkan untuk kegunaan saudara kita di sana. Konsert yang mengasingkan lelaki dan wanita. Juga konsert Ilmu yang turut menjemput penceramah dan pendakwah-pendakwah untuk berdakwah. Bukan sekadar konsert nyanyian. Tetapi, jika kita menghabiskan beratus-ratus malah ada yang sanggup berhabisan semata-mata kerana mahu ke konsert-konsert liar yang menjemput artis-artis barat yang sudah kita ketahui akan berpesta muda-mudi, bercampur gaul tanpa peduli agama yang dianuti. Berpakaian seksi, berpelukan bagai suami isteri. Tak kurang juga, yang membawa minuman 'syaitan' untuk menambah lagi keasyikan. Di manakah nilaian diri kita ketika itu? Kerana terlalu meminati, lantas harga, maruah dan jati diri rela menjadi korban.
 
Fitrah itu Anugerah tetapi jangan sampai ia menjadi fitnah.


FACEBOOK SEBAGAI MOMENTUM MELUAH RASA

Hebatnya dunia masa kini. Facebook, twitter menjadi momentum utama untuk berhubung. Lebih indah lagi bila artis kegemaran kita 'friend' di alam maya tersebut. Indahnya dunia, seperti ana yang punya. Tetapi, apakah kita lupa, Allah menyuruh kita menjaga maruah diri. Harga diri sepatutnya diletak tinggi. Jangan biarkan orang memandang kita sebagai 'gedik'. Kalau boleh, semua status artis tersebut kita nak COMMENT, nak LIKE. Terkadang tu sehingga lupa, yang sikap kita itu mengundang benci.
 
Tanya hati, bila difikirkan semula, apakah kita pernah terfikir bila kita memuji fizikal atau apa saja yang berkenaan dengan artis yang kita 'gila'kan tu, artis tu suka ke? Pernah tak fikir persepsi artis itu sendiri kepada diri kita? Artis juga manusia. Punya hati dan juga rasa. Tak mustahil kiranya artis tersebut turut 'meluat' dengan sikap kita yang terlebih batas. Itu belum lagi jumpa berdepan.
 
Di laman sosial juga seharusnya kita menjaga adab. Lebih-lebih lagi peminat wanita. Jangan sewenangnya membiarkan orang mentafsir dirimu hanya kerana apa yang kita taip di FB mahupun twitter. Cukuplah kiranya kamu hanya meminatinya sebagai artis. Usah terlalu taksub seperti kamu mahu memberitahu dunia 'AKU PEMINAT NOMBOR 1 DIA'.


ANDAI BERTEMU

Ingat! Jika bertemu secara sengaja atau tidak dengan artis yang kamu minati, istiqamahlah untuk menjaga mata dan hati. Jangan terlalu menunjukkan rasa 'cinta' dan 'suka' kamu terhadap artis tersebut sehinggakan kamu telah 'berjaya' menunjukkan siapa kamu sebenarnya.

Elakkan bergambar berduaan. Takut-takut nanti menjadi fitnah. Sukakah kiranya diri kita dijadikan bahan fitnah dunia? Melainkan artis tersebut sama jantina. Silakan jika kamu mahu berbuat demikian. Jika benar kamu menyayangi artis yang kamu minati itu, jangan biarkan dia juga mendapat saham dosa akibat daripada sikap kamu yang terlampau mengagungkan sehinggakan kamu turut mengheret dia ke kancah dosa apabila kamu dengan slumbernya memuji dia seperti dialah segala-galanya.

Jaga Iman agar tak berkurangan. Jaga Hati agar tak tersakiti. Jaga Diri agar tak dimurka Ilahi.


Tulusly : Aimuni Marjono